Tuesday, February 27, 2007

Mari menyokong para penghina isteri Nabi SAW?

MARI MENYOKONG ROSNAH MAT ARIS?

Seluruh Negara telah digemparkan oleh kenyataan seorang pelakon bernama Rosnah Mat Aris tatkala diwawancara dalam rancangan “Sensasi”. Kenyataan beliau yang telah menghina isteri Nabi SAW yang tercinta –dan setiap isteri Nabi SAW adalah “ibu-ibu” kita (ummahatul mu’minin)- telah mengundang konterversi dan kemarahan semua. Kenyataan beliau yang sangat cabul lagi kurang ajar itu akhirnya telah membawa kepada terkuburnya rancangan “Sensasi” itu.

Dalam pada kita bersyukur kerana kes ini membuktikan betapa umat Islam Negara ini masih mempunyai sensitiviti dan kecintaan yang mendalam terhadap baginda Nabi, kita lupa satu hal, betapa dalam sedar-tidak sedar, satu kelompok lain yang turut menghina bukan sahaja isteri Nabi, bahkan sahabat-sahabat Nabi SAW semakin mendapat simpati, sokongan dan pengikut bahkan di kalangan aktivis gerakan Islam sendiri. Bahkan tatkala saya menghantarkan email berkaitan bahaya Syiah ini, saya sampai telah ditegur oleh seorang sahabat “aktivis da’wah” betapa email-email dan peringatan tentang bahaya Syi’ah ini hanyalah “suatu yang merugikan masa, tenaga dan wang untuk kita terlibat dalam polemik yang tidak berkesudahan dan berlanjutan sejak dahulu lagi” dan katanya lagi “....we should learn from history.” Malang sekali, lantaran dangkal dan jahil tentang Syiah, umat Islam terpedaya dengan “polemik” yang justeru Syiah lakukan, sehingga akhirnya membawa kepada kesyirikan.

Apa beza Rosnah Mat Aris dengan Syiah?

Jika anda marah dengan Rosnah Mat Aris kerana menghina isteri Rasulullah, anda juga harus marah pada kelompok Syiah. Mereka bukan sahaja turut menghina isteri rasulullah, bahkan mereka sampai ke tahap mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi SAW yang mulia. Sampai-sampai mereka berpendapat, betapa Imam Mahdi sewaktu muncul nanti, semua musuh-musuh Islam (baca: musuh-musuh Syiah, iaitu para sahabat R.A) akan dibangkitkan semula (raj’ah) untuk diberi pembalasan. Lihatlah sendiri penjelasan dari kitab mereka sendiri (dan belum pernah dibantah oleh ulama’-ulama’ Syiah):

Berkata sayid al-Murtadho di dalam kitabnya “Masail an-Nashiriyah”: “Sesungguhnya Abu Bakr dan Umar disalib pada saat itu di atas suatu pohon di zaman al-Mahdi yakni imam mereka yang kedua belas –yang mereka beri nama Qaaim Ali Muhammad (penegak keluarga Muhammad) dan pohon itu pertamanya basah sebelum penyaliban, lalu menjadi kering setelahnya (Syeikh al-Muufid, Awaailul Maqaalat, Hal:95)

“Dari Muhammad al-Baqir (berkata): Jika al-Mahdi telah keluar, maka sesungguhnya ia akan menghidupkan Aisyah Ummul Mukminin dan ia akan melaksanakan (menjatuhkan) hukum had (hudud) atas diri Aisyah.” (Muhammad al-Baqir al-Majlisi, Haqul Yakiin, hal: 347)

Apa, adakah orang Syiah menganggap kebangkitan mayat sebelum hari kiamat, seperti yang digambarkan oleh video klip “Thriller” Michael Jackson itu betul? Atau, adengan tatkala Ramli bertapa di kubur lalu dibangkitkan mayat-mayat dalam filem “Pendekar Bujang Lapok” juga sebuah kisah yang benar-benar terjadi?

Mari bongkar siapa itu Syiah

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dewasa ini, semakin ramai ulama’-ulama’ Islam yang membongkarkan tentang siapa sebenarnya Syiah. Pujian juga harus diberikan kepada majalah “i” terbitan terbaru (Mac 2007) yang memberikan input-input yang sangat berharga tentang Syiah. Hal ini sangat perlu, apatah lagi tatkala seorang novelis terkemuka tanah air tidak henti-henti menyebarkan fahaman Syiahnya secara halus, sambil menjadikan puak “Wahabi” sebagai kambing hitam baru.

Jika tidak dibongkar, makin ramai orang yang akan terpedaya, bersimpati lalu akhirnya aqidah mereka akan dirosakkan oleh taktik-taktik halus kelompok yang menjadikan “Taqiyyah” (menipu/ berpura-pura) ini sebagai sebahagian agama ini.

Aqidah adalah agenda utama

Lantaran fahaman Syiah ini menyangkut persoalan aqidah, bukan persoalan ranting yang bisa kita toleransikan seperti mazhab-mazhab fiqh misalnya, maka, bagaimana mungkin kita menganggap usaha memahamkan umat ini tentang bahaya Syiah sebagai usaha yang remeh-temeh. Apa bezanya sesat Syiah jika dibandingkan dengan kesesatan Ayah Pin? Atau al-Arqam? Atau ajaran-ajaran sesat lainnya?

Apa bezanya hinaan dan pengkafiran Syiah terhadap sahabat-sahabat dan ister-isteri Nabi SAW jika dibandingkan dengan kenyataan Rosnah Mat Aris?

Apa bezanya fahaman Syiah yang menjadikan imam-imam mereka lebih agung dan mulia berbanding malaikat dan bahkan Rasulullah SAW sendiri, berbanding orang-orang Kristian yang mengatakan Tuhan itu mempunyai anak?

Sehingga mana ulama’ sekarisma Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang merupakan ketua persatuan ulama’ sedunia, dan selama ini terkenal dengan kelemah-lembutan dan kesungguhan untuk melakukan penyatuan Sunni-Syiah ini akhirnya bersuara, tatkala menutup Muktamar Antarabangsa Pendekatan Antara Mazhab;

“Tidak mungkin berlaku pendekatan jika Syiah masih berpegang teguh dengan aqidah mencela sahabat R.A…”

Katanya lagi: “Tidak mungkin boleh berlaku pendekatan Antara orang yang mengatakan (kita, orang Sunni) Umar radhiyallhu angu (semoga ALLAH meredhainya) dengan orang yang mengatakan (orang Syiah) Umat la’natullahu(semoga ALLAH melaknatinya). Atau Antara orang yang mengatakan (kita-Sunni) Aisyah radhiallahu anha dengan orang yang (Syiah) mencaci dan menghinanya dengan tuduhan yang sangat keji..” (
www.al-qaradhawi.net)

Dalam banyak-banyak kerosakan aqidah yang melanda umat, daripada isu murtad kepada isu ajaran sesat, daripada isu karikartun menghina nabi kepada kenyataan menghina isteri nabi, ternyata hanya fahaman Syiah sahaja yang tidak menggertak sensiviti umat, bahkan mendapat sokongan pula, lantaran terpesona dengan “keberanian” dan “kelantangan” tokoh-tokoh Syiah seperti Iran dan Hizbullah Lubnan. Tidak pelikkah anda, tatkala pembesar-pembesar Sunni seperti Ziaul-Haq atau King Faisal lantang mempertahankan Islam, mereka pantas dibunuh dan dihapuskan, atau HAMAS pantas dikenakan tekanan macam-macam, tokoh-tokohnya seperti si lumpuh Syaikh Ahmad Yassin sampai dibedil 3 biji peluru berpandu, tetapi pemimpin Iran tatkala menghina Bush di persidangan PBB, langsung tidak terancam nyawanya? Tidakkah anda merasa hairan?

Adakah hanya kerana berani berhadapan dengan kuffar, menjadikan kelompok yang mengatakan al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini sebagai tidak lengkap sebagai model terbaik umat Islam? Dari sudut sejarah pun, ustaz hasrizal abdul Jamil (
www.saifulislam.com) telah menjawab semua ini. Maka, hati-hatilah, jangan sampai anda terpedaya lagi. Ingatlah, Dajjal juga kelak tatkala muncul, akan menunjukkan macam-macam keajaiban yang membuatkan kita terpesona. Maka pohonlah perlindungan dari fitnah Dajjal.

Jangan sampai anda menjadi “penyokong (kenyataan) Rosnah Mat Aris” dalam tak sedar.






Monday, February 12, 2007

FOOD POISONING

Ceritanya sama di seluruh dunia. Waktu hujung minggu, Sabtu atau Ahad –atau kedua-duanya sekali- sering dioptimumkan oleh golongan pekerja dengan setidak-tidaknya satu aktiviti penting; tidur (berehat)!

Begitulah dakwaan sub-kontraktor yang saya temui di India. Masakan tidak, 5 atau 6 hari menempuh samudera pekerjaan, demi mencari sesuap rezeki yang halal, pastinya menjelmakan kelelahan dan kepenatan lantaran tulang empat kerat dan juga minda teruk dikerah. Bayangkan pula mereka yang sehari-harinya terperangkap dengan kesesakan trafik kota, atau bekerja di lokasi jauhnya 2 marhalah daripada rumah (seperti saya), tentunya segala tekanan, kelelahan, kepenatan dan keperitan ini harus segera ditebus dengan hari-hari aman di waktu cuti, lantaran cukuplah majoriti harinya ditempuh dalam “ribut pekerjaan” yang cukup melelahkan.

Namun, itu semua faktor luaran sahaja. Sering kelelahan dan kepenatan itu turut disumbangkan oleh faktor yang satu lagi, iaitu faktor dalaman. Ambillah saja food poisoning sebagai misalannya.

Lantaran food poisoning, terkadang tidur anda terganggu, selain pintu tandas, kiranya ditempatkan plaza tol di sana, tentu akan meraih untung yang maha besar. Citir birit yang berterusan itu mengakibatkan badan anda kehilangan banyak air, lalu efek-efek lain seperti tekak kering, batuk, dan lain sebagainya, menjadikan kesan faktor dalaman ini, mengatasi kesan yang diakibatkan oleh faktor luaran yang kita bincangkan tadi.

Sayyid Qutb, Yusuf Hawwas, dan Abdul Fattah Ismail. Tatkala mereka mengakhiri hidup mereka di tiangan gantungan belumpun fajar Isnin tanggal 29 Ogos 1966 menjelma, sebuah episod kehidupan lantas berakhir dalam cereka kefanaan kehidupan dunia. Tapi, sebuah potret kehormatan justeru telah terpahat dalam frame keabadian perkampungan Akhirat. Sebuah cerita kebatilan telah dilangsungkan dengan sempurna. Tapi, sebuah sketsa kepahlawanan baru saja dimulai dengan indah. Itu antara peristiwa besar dalam harakah islam yang kita catat dengan penuh kebanggaan, dan akan tetap kita kenang dengan penuh kebanggaan.

Lelaki yang menggantung tokoh pemikir nombor-2 gerakan Ikhwanul Muslimin setelah Hassan al-Banna itu, justeru bukanlah “kelelahan/ kepenatan luaran”, tapi justeru “food poisoning di dalam” tubuh harakah Islam itu sendiri. Jamal Abdul Nasser, di samping merupakan perwira tinggi militer –yang kemudiannya diangkat menjadi Presiden Mesir- juga merupakan kader inti Ikhwan sendiri. Ertinya, dalam segala hal, Sayyid Qutb adalah seniornya, sehingga pantas Jamal Nasser memanggilnya “abang”. Bahkan setelah menjadi presiden pun, Nasser menawarkan jabatan apapun yang diinginkan Sayyid Qutb. Tapi, empat belas tahun kemudian, Nasser pulalah yang menggantung seniornya, abangnya.

BELAJAR DARI SEJARAH

Lihatlah tatkala konflik internal pertama di kalangan kelompok Muslimin bermula, di zaman Uthman al-Affan R.A. “Faktor Dalaman” jugalah yang memicu perseteruannya. Abdullah Bin Saba’, sang Yahudi yang pura-pura memeluk Islam lalu memulakan “food poisoning” dalam tubuh umat Islam dengan fahaman Syiahnya, adalah key-player kepada pertentangan dan perbezaan pendapat para sahabat. Jika selama ini, segala perbezaan itu disikapi dengan lapang dada, kali ini, sudah ada batu api yang mempermasalahkan setiap ketidak samaan yang muncul di tengah-tengah tubuh umat.

PALESTIN vs ISRAEL, ATAU PALESTIN vs PALESTIN?

Lihatlah juga tatkala mujahidin HAMAS, setelah melalui perjuangan yang sangat panjang, akhirnya berjaya mengungguli pilihanraya, dan pantas membentuk sebuah kerajaan. Cara apa lagi yang anda inginkan untuk HAMAS tampil; setelah melaksanakan gerakan jihad yang dianggap tidak legal oleh Barat, kini mereka “menyempurnakan” seraya “memenuhi kehendak” yang sering di minta-minta oleh Barat, dengan kemenangan mutlak lewat sistem legalistatif.

Namun, sedang HAMAS berhadapan dengan Israel, US, embargo dan dunia, “sakit dalaman” pulalah yang banyak mengerahkan tenaga dan masa mereka, tatkala FATAH memilih untuk melakukan perlawanan dengan saudara seiman dan sebangsa mereka. FATAH menjadi food poisoning buat HAMAS, sehingga kepenatan dan kelelahan dengan “alam kerja (baca: faktor luaran)” belum pun mula mereka rasakan, sudah lelah pula menahan sakit dari dalam tubuh mereka sendiri.

ADAKAH KITA “FAKTOR DALAMAN” (FOOD POISONING) ITU?

Tatkala pensyarah muda aliran salaf, Dr. Mohd Asri Zainol Abidin diangkat menjadi sahibus samahah negeri Perlis, situasi yang sangat aneh bahkan tercetus. Sudahlah fatwa sang mufti muda ini pun sudah aneh, gelagat dan tingkah laku “orang-orang agama” menjadikan umat bertambah aneh lantaran melihat pejuang Islam sesama pejuang Islam, ulama’ sesama ulama’, pendakwah sesama pendakwah, bergaduh dan mencaci sesama sendiri. Ertinya umat, tidak lagi menyibukkan diri dengan musuh yang sebenarnya atau kerja yang sepatutnya, sebaliknya menyibukkan diri untuk berbalah dan bergaduh sesama “teman”nya. Aneh, sejak bila Islam mengajarkan kita untuk tidak berbaik sangka, dan berlapang dada?

MEMPERBAIKI UKHWAH, BUKAN SEKADAR BERUKHWAH

Maka marilah kita kepada kesimpulan yang satu, bahawa “memperbaiki” ukhwah, adalah sama pentingnya, dengan “membina” ukhwah. Maka janganlah anda terpedaya lagi terpengaruh dengan “Abdullah B. Saba’” moden yang menyelinap ke dalam tubuh umat, umpama food poisoning yang kelak mengakibatkan umat “cirit-birit” hendaknya.

Marilah kita menjadi pendamai, atau orang tengah, tatkala melihat Muslim dengan Muslim bergaduh dan berbalah, bukannya memilih untuk berpihak. Umat kita perlukan pendamai, agar umat dan Islam akan kembali aman-damai. Dan “cirit-birit” umat pun hilang, digantikan dengan “kesihatan” redha Ilahi yang meriangkan.

Tuesday, February 06, 2007

AGAR CINTA MEMPUNYAI MAKNA

“Ada tujuh golongan yang akan dinanungi ALLAH pada hari yang tak ada naungan selain naungan-NYA;
-pemimpin yang adil
-pemuda yang giat beribadah kepada RABBnya
-seorang yang hatinya selalu lekat dengan masjid
-dua orang yang saling mencintai kerana ALLAH, mereka bertemu dan berpisah kerana ALLAH
-seorang pemuda yang dirayu oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, namun ia berkata “inni akhafaLLAH” (aku takut pada ALLAH)
- seseorang yang infak dengan sembunyi-sembunyi, sampai tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya
- dan seorang yang mengingati ALLAH dalam kesendirian sampai menangis.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Memetik kata-kata Syeikh Muhammad Iqbal; “Kalau saja aku adalah Muhammad, aku takkan turun kembali ke bumi setelah sampai di Sidratul Muntaha.”

Syeikh Iqbal barangkali menukilkan perasaan kita semua: pesona keteduhan di haribaan ALLAH, di puncak langit ke-tujuh , di Sidratul Muntaha, puncak segala keindahan, puncak segala kenikmatan, puncak segala kedamaian, untuk apa lagi berundur pulang ke bumi, tambahan pula yang menanti sekadar perjuangan yang penuh dengan air mata dan darah. Tambahan pula orang-orang tercinta yang menjadi tempat bergantung –Khadijah dan Abu Thalib- sudah tiada lagi untuk menyambut kepulangan baginda yang mulia.

Tapi, Sidratul Muntaha bukanlah destinasinya. Lalu sang Nabi turun juga ke bumi, menembus kegelapan hati kemanusiaan dan menyalakannya dengan api cinta. Cintalah yang menggerakkannya. Cinta jugalah yang mengilhami batinnya dengan kearifan saat ia berdoa setelah anak-anak Thaif melemparinya dengan batu sampai kakinya berdarah; “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada umatku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Cinta jugalah yang menjadi dasar pergerakan, tatkala as-Syahid Hassan al-Banna hadir 13 kurun kemudian, untuk mewarnai manusia dengan makna-makna cinta. “Kami bekerja untuk manusia (kerana ALLAH),” kata Hassan al-Banna, “lebih daripada kami bekerja untuk diri kami sendiri.” Di sinilah, cinta menemukan maknanya.

“Demikian juga kita mengharapkan agar bangsa kita mengetahui bahawa kita mengasihi mereka lebih daripada diri kita sendiri. Kita mengharapkan mereka mengetahui bahawa jiwa-jiwa ini sanggup menjadi tebusan demi kepentingan mereka, andainya ketinggian itu meminta tebusan. Jiwa-jiwa ini sanggup dicabut sebagai harga kepada keagungan, kemuliaan, agama dan cita-cita mereka, andainya perkara-perkara ini menuntut demikian. Kita bersikap demikian terhadap mereka hanyalah kerana kasih sayang yang telah sebati dan merajai perasaan kita, membuatkan kita tidak nyenyak tidur dan mengalirkan air mata. Ini kerana kita tidak sanggup melihat bencana yang terus menimpa bangsa kita sedang kita terus menyerah diri kepada kehinaan atau merelakannya atau kita terus berputus asa. Kami bekerja kerana ALLAh untuk manusia lebih daripada kami bekerja untuk diri kami sendiri. Kami untuk kamu, bukan untuk orang lain,” demikianlah Hassan al-Banna me”makna”kan cinta untuk kita.

Lalu tatkala rumahtangga para artis hancur berantakan lantaran gagal memahami makna cinta, para mukmin pencintai sejati diteduhi naungan pada hari manusia terpinga-pinga mencari naungan, berkat pemahaman terhadap makna cinta sejati: “dua orang yang saling mencintai kerana ALLAH, mereka bertemu dan berpisah kerana ALLAH.”

Ya, cinta itu mempunya erti, tatkala semuanya kerana ALLAH. Dengan makna cinta inilah, kota Madinah menyala dengan api cinta. Kemudian Jazirah Arab. Lalu Parsi. Lalu Romawi. Lalu dunia. Dan A’idh al-Qarni pun bersenandung riang:


Kemarilah! Kemarilah!
Kita akan mengukir “cinta”
Sebuah janji setia dengan derasnya air mata
Yang akan membersihkan segala penyakit dan dosa
Kemarilah!
Kita perbaharui janji setia itu di dalam hati kita
Kami mendatangimu dengan penuh sukarela
Dan kami akan membalasimu dengan cinta.
Jika cintamu itu sudah mempunyai makna, maka, untuk apa lagi dunia ini?
Faridul Farhan Abd Wahab
Electrical Engineer
Jimah O&M Sdn. Bhd.(Jimah Power Plant),
PT 7308 & PT 7309,
Mukim Jimah, Daerah Port Dickson,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
(Tel: 06-658 1158/ 06-658 1149 Ext: 1090)

Friday, February 02, 2007

[dengarlah jeritan batinku]: Marilah kita "berjiwa besar"!

Dengan Nama ALLAh Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Kalau dipantau antara sifat yang paling kerap diungkapkan oleh al-Quran, maka sifat “SABAR” adalah salah satu di antaranya. Bahkan, saling berpesan dan nasihat-menasihati untuk mengunggulkan sifat sabar ini dalam diari kehidupan, menjadi salah satu syarat untuk mengelak daripada menjadi orang yang rugi.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugiaan. Kecuali orang yang beriman, dan beramal shalih, dan saling berpesan tentang kebenaran, dan saling berpesan tentang KESABARAN.”
(surah al-Ashr [103]:1-3)

Bahkan, sifat sabar ini jugalah pra-syarat dalam menggapai pertolongan daripada ALLAH SWT.

“Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah..”
(surah an-Nahl [16]:127)

Sifat sabar jugalah yang terpaksa harus dikumpul, tatkala jari-jemari ini pantas menyentuh kekunci pada muka keyboard, membelah ribut badai kesibukan –dengan design reviewnya yang “menggila”, dengan inspectionnya, dengan meetingnya, dengan program bersama PD Power Plant-nya sebentar lagi-, juga membungkus habis segala musykilah-muskilah dan jeritan suara hati, demi menitipkan sebutir nasihat, buat diri ini dan ikhwah-ikhwah yang dikasihi, agar mudah-mudahan kita kembali ingat dan tetap terus berada dalam peringatan.

Namun, tentunya bukan semudah itu untuk berpaksi pada sifat sabar ini. Anda harus “berjiwa besar”, untuk menjadikan dakwah di atas segalanya. Air mata yang ingin anda tangiskan guna menangisi musibah dan kepedihan yang menimpa anda, terpaksa anda tahan, kerana air mata anda terhad, sedang permasalahan umat terlalu banyak. Maka biarlah air mata kita yang terhad ini hanya habis kita curahkan, guna menangisi permasalahan umat.

Suara hati anda menjerit tanpa suara, kerana biarlah sedu tangis dan jeritan tragis umat yang hanya kedengaran di corong-corong telinga, berbanding kepedihan batin kita yang tak tertanggungkan.

Hak diri anda tidak terpenuhi, lantaran jasad, tenaga dan pemikiran anda lebih diperlukan oleh umat, sehingga lemah longlainya anda, tiada siapa yang dapat mengetahui.

Anda harus “berjiwa besar”, biarpun tubuh dan kesanggupan anda sebenarnya kecil. Namun, lantaran anda telah dikurniakan oleh ALLAH dengan “KEMULIAAN”, tatkala ditemukan-NYA anda dengan tarbiyah ini, hingga mana anda tidak akan pernah sanggup untuk melempar “kemuliaan” ini, sungguhpun dalam nada ketidak mampuan memenuhi tuntutan berjiwa besar yang disyaratkan.

Kerana kemuliaan itu hanya datang dengan pengurniaan, bukan atas dasar kehendak. Lalu siapa yang ALLAH berkehendak dia beroleh kemuliaan, tidak seharusnya dia kembali berganjak.

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam..”
(Surah al-Israk [17]:70)

Sebagai contoh, ulama’ yang sangat anda kasihi, Tuan Guru Nik Aziz misalannya, berkunjung ke tempat anda. Berebut-rebut orang mengofferkan kenderaannya guna ditumpangi oleh Tuan Guru, termasuk anda, sungguh pun kenderaan andalah yang paling cikai di antara semuanya. Sekadar kereta Toyota Corolla keluaran 1978 misalannya, menjadikan anda kerdil dan “tidak layak” berbanding yang lain-lainnya. Namun, tatkala Tuan Guru memilih untuk mengenderai kenderaan anda, itu justeru adalah satu “PENGHORMATAN” atau “KEMULIAAN” yang ia berikan pada anda, sehingga tidak wajar untuk anda kufuri, lantaran jika anda tidak mahu, masih banyak kenderaan-kenderaan yang lebih baik, lebih selesa, atau lebih “LAYAK” berbanding kenderaan anda. Lalu, yang ruginya bukan Tuan Guru, kerana ia akan tetap sampai ke destinasinya, tapi yang ruginya adalah kita, lantaran mensia-siakan kemuliaan yang ingin diberikannya kepada kita.

Sebegitulah juga dengan diri kita, wahai sahabatku. Kita hanyalah sebuah ASBAB daripada sekian banyak asbab-asbab lain yang bisa ALLAH gunakan untuk memenangkan agama-NYA. Kita hanyalah semacam “kenderaan” yang di atasnya, manusia menduduki guna mencapai redha Ilahi, dari sekian banyak “kenderaan-kenderaan” lain yang bisa ALLAH utuskan. Kerana kemenangan agama-NYA adalah pasti, sedang terpilihnya kita sebagai asbab, hanyalah sebuah nikmat kemuliaan, yang hanya dikurniakan kepada orang-orang pilihan di kalangan hamba-hamba-NYA.

“Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik benci.”
(Surah as-Shaf [61]:8)

“Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu, itu lebih baik daripada unta merah” (hadith shahih)

“Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu, itu lebih baik daripada dunia dan se-isinya” (hadith shahih)

Ternyata, tidak semudah itu berjiwa besar rupanya, wahai kawanku. Kerana di sana, anda terpaksa melupakan muskilah anda, demi mendengar musykilah saudaramu. Kerana di sana, keperluanmu terpaksa kau pendamkan, demi memenuhi keperluan dan tuntutan saudaramu. Jiwamu sendiri terpaksa kau lupakan, kerana anda harus berjiwa besar, mempunyai sekian banyak watak penyelesai dan pembantu, demi memenuhi tuntutan jiwa saudaramu.

Anda hidup justeru tidak lagi untuk diri anda, bahkan hidup anda menjadi milik saudara-saudaramu, milik umatmu. Maka hanya jiwa yang besar, yang bisa menanggung tuntutan kesabaran yang menggunung besar.

Biarpun anda sebetulnya sekadar mencari kedamaian dalam tarbiyah ini, namun tuntutan jiwa saudara-saudaramu, serta requirement umat, menjadikan anda terpaksa mencari kebahagiaan di sana; dalam kebahagian orang lain.

Tapi itulah kemuliaan yang ALLAH berkehendak menemuimu, tatkala hidupmu itu mempunyai pengertian yang lebih luas, iaitu hidup untuk umat! Biarkan apa pun terjadi pada dirimu, biarlah semua musibah menimpa dirimu, namun itu semua tidak terlalu memeningkan kepalamu, lantaran dirimu bukan untuk kau tanggisi nasibnya sendiri, tetapi untuk kau tolong menangisi nasib umatmu.

Inilah sebuah kemuliaan, wahai saudaraku, tatkala setiap sedutan nafas, dengupan jantung, denyutan nadi dan langkah kaki mu, adalah untuk umat. Hingga tatkala Malaikat Maut datang menjemputmu, dikau dijemput dalam sebuah kemuliaan, iaitu sedang layer kehidupanmu digunakan untuk umat.

Berapa ramai yang mencari kemuliaan hidup dan kemudian mendapatinya, sedang ramai pula yang mengingkan kemuliaan tatkala maut, tapi tidak berjaya meraihnya.

Ini kemuliaan wahai sahabatku! Kemuliaan tatkala diberikan peluang oleh ALLAH untuk mencuba beroleh jiwa besar, tatkala kemampuan kita sebenarnya kecil. Kemuliaan tatkala hidup ini menjadi milik umat, bukan milik “seorang ikan” (selfish). Kemuliaan tatkala beroleh semulia kematian, hingga anda kepinggin untuk mati lagi, hingga 10 kali, dalam suasana hidup anda untuk dakwah ini, lantaran melihat betapa besarnya kemuliaan insan-insan yang menjumpai kematian di atas dasar fi sabiliLLAH, persis seperti jiwa para syuhada’ yang digambarkan oleh baginda Nabi.

Maka curahkanlah sedu tangismu di sujud pada malam yang syahdu, seraya berdoa; “Ya ALLAH, bantulah diri ini, dengan APA CARA yang kamu sukai!” Ya akhi, bukan cara yang kita hendaki, tapi apa saja cara yang DIA kehendaki!

Ukhwah.com :: Top Blog