Tuesday, February 06, 2007

AGAR CINTA MEMPUNYAI MAKNA

“Ada tujuh golongan yang akan dinanungi ALLAH pada hari yang tak ada naungan selain naungan-NYA;
-pemimpin yang adil
-pemuda yang giat beribadah kepada RABBnya
-seorang yang hatinya selalu lekat dengan masjid
-dua orang yang saling mencintai kerana ALLAH, mereka bertemu dan berpisah kerana ALLAH
-seorang pemuda yang dirayu oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, namun ia berkata “inni akhafaLLAH” (aku takut pada ALLAH)
- seseorang yang infak dengan sembunyi-sembunyi, sampai tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya
- dan seorang yang mengingati ALLAH dalam kesendirian sampai menangis.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Memetik kata-kata Syeikh Muhammad Iqbal; “Kalau saja aku adalah Muhammad, aku takkan turun kembali ke bumi setelah sampai di Sidratul Muntaha.”

Syeikh Iqbal barangkali menukilkan perasaan kita semua: pesona keteduhan di haribaan ALLAH, di puncak langit ke-tujuh , di Sidratul Muntaha, puncak segala keindahan, puncak segala kenikmatan, puncak segala kedamaian, untuk apa lagi berundur pulang ke bumi, tambahan pula yang menanti sekadar perjuangan yang penuh dengan air mata dan darah. Tambahan pula orang-orang tercinta yang menjadi tempat bergantung –Khadijah dan Abu Thalib- sudah tiada lagi untuk menyambut kepulangan baginda yang mulia.

Tapi, Sidratul Muntaha bukanlah destinasinya. Lalu sang Nabi turun juga ke bumi, menembus kegelapan hati kemanusiaan dan menyalakannya dengan api cinta. Cintalah yang menggerakkannya. Cinta jugalah yang mengilhami batinnya dengan kearifan saat ia berdoa setelah anak-anak Thaif melemparinya dengan batu sampai kakinya berdarah; “Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada umatku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Cinta jugalah yang menjadi dasar pergerakan, tatkala as-Syahid Hassan al-Banna hadir 13 kurun kemudian, untuk mewarnai manusia dengan makna-makna cinta. “Kami bekerja untuk manusia (kerana ALLAH),” kata Hassan al-Banna, “lebih daripada kami bekerja untuk diri kami sendiri.” Di sinilah, cinta menemukan maknanya.

“Demikian juga kita mengharapkan agar bangsa kita mengetahui bahawa kita mengasihi mereka lebih daripada diri kita sendiri. Kita mengharapkan mereka mengetahui bahawa jiwa-jiwa ini sanggup menjadi tebusan demi kepentingan mereka, andainya ketinggian itu meminta tebusan. Jiwa-jiwa ini sanggup dicabut sebagai harga kepada keagungan, kemuliaan, agama dan cita-cita mereka, andainya perkara-perkara ini menuntut demikian. Kita bersikap demikian terhadap mereka hanyalah kerana kasih sayang yang telah sebati dan merajai perasaan kita, membuatkan kita tidak nyenyak tidur dan mengalirkan air mata. Ini kerana kita tidak sanggup melihat bencana yang terus menimpa bangsa kita sedang kita terus menyerah diri kepada kehinaan atau merelakannya atau kita terus berputus asa. Kami bekerja kerana ALLAh untuk manusia lebih daripada kami bekerja untuk diri kami sendiri. Kami untuk kamu, bukan untuk orang lain,” demikianlah Hassan al-Banna me”makna”kan cinta untuk kita.

Lalu tatkala rumahtangga para artis hancur berantakan lantaran gagal memahami makna cinta, para mukmin pencintai sejati diteduhi naungan pada hari manusia terpinga-pinga mencari naungan, berkat pemahaman terhadap makna cinta sejati: “dua orang yang saling mencintai kerana ALLAH, mereka bertemu dan berpisah kerana ALLAH.”

Ya, cinta itu mempunya erti, tatkala semuanya kerana ALLAH. Dengan makna cinta inilah, kota Madinah menyala dengan api cinta. Kemudian Jazirah Arab. Lalu Parsi. Lalu Romawi. Lalu dunia. Dan A’idh al-Qarni pun bersenandung riang:


Kemarilah! Kemarilah!
Kita akan mengukir “cinta”
Sebuah janji setia dengan derasnya air mata
Yang akan membersihkan segala penyakit dan dosa
Kemarilah!
Kita perbaharui janji setia itu di dalam hati kita
Kami mendatangimu dengan penuh sukarela
Dan kami akan membalasimu dengan cinta.
Jika cintamu itu sudah mempunyai makna, maka, untuk apa lagi dunia ini?
Faridul Farhan Abd Wahab
Electrical Engineer
Jimah O&M Sdn. Bhd.(Jimah Power Plant),
PT 7308 & PT 7309,
Mukim Jimah, Daerah Port Dickson,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
(Tel: 06-658 1158/ 06-658 1149 Ext: 1090)

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum wbt,
Faridul,
Teruskan menulis tentang cinta yang hakiki yang jarang-jarang manusia mencari kerana ia sentiasa diselubungi kepahitan. Kecuali keimanan dan pandangan mata hati yg mampu menilai hakikat cinta sebenar .. cinta pada Allah dan KekasihNya.. kemanisannya di akhirat sana..

wassalam.

10:31 AM  

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog