Ucapan Ketua Pengawas SKBK sempena Sambutan Hari Guru 2004
Dauru Atfal fi hamli risalatil Islam
“Jika semangat kamu kuat;” kata Syeikh Muhammad Iqbal, “batu-batu di jalanan yang menghalang langkahmu itu akan menjadi air!”
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Kata-kata sang pujangga terkenal itu sewajarnya menjadi salah satu item yang menghias peribadi kanak-kanak kini. Kerana dengan keazaman yang kuat itu, ‘litar kehidupan’ dapat berfungsi dengan baik, seterusnya menyalurkan ‘tenaga kehidupan’ yang diperlukan untuk memainkan ‘pita kebahagiaan’ yang kita idam-idamkan. Ini kerana kanak-kanak, dalam pemahaman Bill Cosby (barangkali), merupakan peribadi peribadi jernih yang menjadi refleksi pada orang dewasa sekitarnya. Dek kerana itu, Rasulullah SAW sahaja menekankan pendidikan keagamaan harus dimulakan sejak peringkat kanak-kanak lagi.
Sahabat sekalian,
Berbekal semangat yang kuat inilah, ulamak agung Hassan al-Banna menubuhkan semacam ‘Kelab Membanteras Maksiat’ di masa kanak-kanaknya lagi. Maka tidak hairanlah, dek kerana telah mengukir keagungan sejak zaman mudanya lagi, ketika menjangkau dewasa, beliau mampu menjadikan dirinya ‘Hero Mukmin Sejati’. Beliau mampu menyumbang sebuah karya yang cukup berharga buat umat, kerana tinta untuk melakar karya kepahlawanan itu telah ia asah sejak zaman kanak-kanaknya lagi. Bahkan ulamak-ulamak besar lainnya - yang semuanya turut menjadi ‘Hero Mukmin Sejati’ – yang namanya Syed Qutub, yang namanya Yusuf al-Qaradhawi, yang namanya Abdullah Azam, telah mampu menghafal al-Quran sejak kanak-kanak lagi.
Maka tidak hairanlah penyanyi Yusuf Islam memfungsikan kanak-kanak di dalam album terbarunya. Kerana Yusuf Islam sedar barangkali, bahawa jiwa-jiwa suci kanak-kanak harus diajar, dibentuk dan dididik untuk memberikan sumbangan kepada umat, agar kelak dengan mendewasanya mereka, mereka mampu menjadi ‘perwira-perwira’ yang memimpin umat kepada keredhaan Ilahi. Kita harus menjadi – berbekalkan semangat yang kuat tadi – kanak-kanak yang dewasa, bukan kanak-kanak yang kebudak-budakan.
Berbeza sungguh kanak-kanak di Malaysia dengan kanak-kanak di belahan bumi sana: di Palestin. Mereka menjadi anak-anak berjiwa pahlawan, sedangkan kita dilentur menjadi kanak-kanak yang asyik dengan keseronokan. Maka, bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia, marilah kita garap potensi kita agar mampu menjadi kanak-kanak berjiwa ‘Hero Mukmin Sejati’.
(Petikan di atas merupakan teks ucapan Ketua Pengawas Sek. Keb. Bukit Kapar, sdr. Faridul Fawzan Abd Wahab bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia peringkat sekolah pada 8 Oktober 2004 yang lalu.)
1 Comments:
MasyaALLAH mantap nya ucapan . Agaknya guru besar dia pun mesti tercengang dengar =D
Post a Comment
<< Home