Monday, January 08, 2007

[ibroh idul adha]: MERDEKA: Siapa Yang Menang?

MERDEKA: Siapa Yang Menang?
Oleh: Engr. Faridul Farhan Abd Wahab

Saat itu sangat getir. Mimpi itu sangat mencemaskan. Bagi para penumpu kehidupan dunia, sebuah pengingkaran dan penafian terhadap wahyu Ilahi lebih diterima-pakai, berbanding ketaatan yang justeru merupakan sebuah pengorbanan. Tetapi tidak bagi Ibrahim (A.S) dan anaknya Ismail (A.S). Buat keduanya, menurut titah perintah Tuhan-nya, justeru merupakan sebuah kemenangan nan abadi.

Lalu disitulah berkecainya teori goyah manusia. Melarikan diri daripada sebuah ketaatan, pada sudut pandangan mereka, adalah sebuah kemenangan yang mereka cari-cari, tetapi pengorbanan kerana sebuah ketaatan –seperti yang dibuktikan oleh kedua “bapak para anbiya’” ini- ternyata adalah kemenangan yang sejati. Kemenangan apa lagi yang bisa dicari, kenikmatan apa lagi yang dapat diraih, tatkala ALLAH menggantikan Ismail di saat penyembelihan dengan binatang ternak, untuk kemudiannya peristiwa kesanggupan pengorbanan kedua nabi ini, diabadikan di dalam bingkai permaidani sejarah? Lalu menjadi amalan turun-terumurun untuk sekian banyak generasi sehingga tiba penghujung zaman? Ternyata kemenangan itu bukanlah diukur menurut zahiriah inderawi, bahkan berada di dalam lipatan dustur Ilahi.

Atau, saat para penganut Yahudi mentertawa seraya mengejek-ejek baginda Nabi (SAW), tatkala turun ayat tentang pemindahan kiblat;

“Orang-orang yang kurang akalnya di antara manusia akan berkata: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitulmakdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?" Katakanlah: "Kepunyaan Allah-lah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”
(Surah al-Baqarah [2]:142)

Tetapi, hikmah di balik pemindahan itu jauh lebih agung, kemenangan di balik penukaran kiblat itu jauh lebih abadi, sebagai pembelaan terhadap kemurniaan dan kesucian Islam sebagai satu-satunya agama di sisi Tuhan yang masih kekal suci. Selain kembali kepada warisan masjid yang dibangun Ibrahim dan Ismail –keabadian kemenangan hasil ketaatan mereka- pemindahan itu perlu –menurut Syed Qutb- untuk membezakan secara khusus antara umat Islam dengan umat yang lain, baik tentang pengenalan indrawi mahupun secara citarasa [1]. Lalu, terpeliharalah umat Islam daripada tipu-daya Yahudi andainya kekal berkiblatkan ke Baitul Maqdis, iaitu dakyah betapa kiblat umat Muslimin dengan Yahudi adalah sama, maka untuk apa berpindah ke agama Islam yang baru?

Ertinya, sekali lagi, kemenangan itu bukanlah semestinya pada zahiriah indrawi. Seperti yang pernah disimpulkan oleh Sun Tzu, si panglima perang China yang agung; “mencapai seratus kemenangan dalam seratus pertempuran bukanlah puncak kemahiran. Sebaliknya mengalahkan musuh tanpa bertempur itulah mercu kecemerlangan[2].” Lalu, pernyataan beliau di dalam karya monumentalnya “Sun Tzu’s The Art of War” ini semakin menampakkan kebenaran, apatah lagi setelah diibrahi oleh musuh-musuh Islam dikalangan Yahudi dan Nasrani.

Bagaimana bisa kemerdekaan lewat perjanjian –seperti yang dikecapi oleh Malaysia- dilihat sebagai sebuah kemenangan dan kebanggaan, dibanding dengan perjuangan yang menuntut pengorbanan titisan air mata dan darah –seperti kemerdekaan Indonesia misalnya- andainya terbukti bahawa justeru kemerdekaan itu adalah “kemenangan” musuh tanpa pertempuran? Apalah erti sebuah kemerdekaan, andainya budaya dan jati diri bangsa, masih berada dalam kepompong “jajahan” lalu bisa diatur dan dicaturkan oleh bangsa penjajah? Bagaimana mungkin ini sebuah kemerdekaan, tatkala Tahun Baru tetap ingin disambut dengan pesta hiburan (oleh rakyat jelata) sedang Aidil Adha dan bencana banjir masih berlangsungan? Apalah merdekanya negara Afgan, atau Sudan, atau Iraq, andainya seorang Muslim, sungguh pun namanya Saddam Hussein, tetapi digantung walau di hari perayaan “Idul Adha”, hari di mana umat Islam merayakan pengorbanan?

Sun Tzu telah merumuskannya, musuh Islam telah mengambilnya, umat Islam menjadi korbannya. Lalu bertanyalah kembali setiap tiba perayaan kemerdekaan; Merdeka: Siapa sebenarnya yang menang? Hanya pengorbanan dalam nada sebuah ketaatan (kepada Islam) adalah benar-benar sebuah kemenangan. Kerana kemenangan, justeru adalah hasil perjuangan yang menuntut titisan air mata dan darah.

“Kamu sekali-kali tidak sampai kepadakebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
(Surah ali Imran [3]:92)

RUJUKAN

[1] Lihat tafsir surah al-Baqarah [2]:142-152 di dalam tafsir Sayyid Qutb, “Tafsir fi Zhilalil Quran (Jilid I,II & III)”, Gema Insani Press(2000M), ms. 224-233.

[2] Jeneral Tao Hanzang, “Seni Perang Sun Tzu: Tafsiran China Moden”, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (2006), ms. 5

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog