Monday, December 11, 2006

Cicak-Man

Cicak-Man

Salah seorang superior saya pernah berseloroh tatkala merujuk kepada suasana Masjid Bukit Damansara ketika masuk waktu solat Jumaat yang dipenuhi oleh peniaga-peniaga yang mendagangkan barangan apa sahaja; “kalau kat masjid ni, jual apa pun, akan ada orang beli.” Ternyata, kata-kata beliau itu ada kebenarannya. Manakan tidak, di masjid-masjid di sekitar ibu kota, demi mendekati waktu solat Jumaat, akan anda jumpai bermacam jenis barang, dari pelbagai watak peniaga, kepada beragam jenis pembeli. Hinggakan barangan yang tak logik untuk dijual, tetap akan ada pembelinya. Demikianlah berpengaruhnya hujah sang salesman dalam meyakinkan dan “mengelabui” mata para pembeli.




Lalu, apa pula kaitan peniaga “pasar Jumaat” ini dengan Cicak-Man? Ada pun Cicak-Man, adalah hero fiksyen sains pertama garapan rakyat tempatan kita (tidak termasuk Chempiang). Yang tentunya, ianya menggabung special effect untuk mewujudkan suasana dan mood watak dan bandaraya cerita tersebut yang sekaligus merupakan kekuatan utama filem keluaran KRU Productions ini, selain adunan barisan pelakon popular lagi seksi (perlu saya nyatakan seksi di sini supaya anda tahu, jika anda menontonnya, anda akan melihat aurat wanita. Lalu, faham-faham sendirilah apa hukum menontonnya.)

Konon cerita, bandaraya di dalam fiksyen Cicak-Man ini dihasilkan lewat special effect, lantaran sukarnya untuk menjelmakan suasana sedemikian di alam reality. Lalu di sinilah persamaan dan hubungkaitnya (pasar Jumaat dan Cicak Man). Ilusi, sama ada kepetahan sang peniaga bercakap, mahupun hasil garapan special effect, sering mengelabui mata manusia. Maka, tidak hairanlah bilamana masih ada yang tertipu dengan Skim Cepat Kaya dan seumpamanya, lantaran umat Melayu berada di alam ilusi dan khayalannya yang tersendiri.

Inilah yang mungkin saya simpulkan sebagai menyingkap gerakan-gerakan yang sering dipertanyakan kepada saya dewasa ini. Ada yang bertanyakan berkenaan Rufaqa’, lantaran ramainya pengikut gerakan pimpinan Abuya ini, dek tergoda dengan kekaguman terhadap kekuatan dan keutuhan ekonomi mereka. Ramai juga yang terpengaruh dan terpedaya dengan Syiah –sambil menganggapnya sekadar salah satu mazhab di dalam islam, yang tidak banyak bezanya dengan mazhab Syafi’e, Maliki, Hanbali, Hanafi dan lain-lain- lantaran kekaguman mereka kepada keberanian dan kekuatan ketenteraan Iran dan HizbuLLAH dalam berhadapan dengan Amerika dan juga Israel.

Inilah sebabnya saya mulakan bicara dengan kisah “pasar Jumaat” tadi. Supaya anda tidak hairan, andainya kertas sampah pun bisa dijual di sana, lantaran hebatnya sang peniaga mewujudkan “ilusi indah” kepada orang ramai guna meyakinkan akan hikmah dan kelebihan produk dagangannya. Juga, special effect filem Cicak Man turut sama berperanan mewujudkan ilusi buat umat, guna merasai kebenaran suasananya. Namun, segala ilusi ini bukanlah apa-apa bukti bahawa realiti bisa dijamin oleh kata-kata dan special effect yang mengelabui mata kita.

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penantang yang paling keras.
Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerusakan padanya, dan merusak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah [2]:204-205)


Betapa ada manusia, seperti yang diungkapkan oleh al-Quran, bisa menjadi ta’sub kepada figur-figur tertentu, sehingga sanggup menolak fakta, dalil dan bukti, lantaran telah terpedaya dengan semua ilusi ini tadi. Dan bahkan, bukankah banyak manusia, yang kini menjadi mangsa fatamorgana ilusi akibat keta’suban yang luar biasa terhadap fahaman-fahaman yang menyimpangi fakta sebegini?

Itulah sebabnya, jika anda mahu masuk ke dalam Islam, masuklah melalui pintu aqidah. Bukan yang lain-lainnya. Kerana jika aqidah sudah rosak, maka apakah lagi yang anda harapkan daripada yang lain-lainnya?

Lalu, jika di segi aqidah sudah menganggap pemimpin itu bisa bertemu Nabi SAW, mengetahui tarikh kematian seseorang, menyatakan al-Quran yang ada di tangan manusia sekadar 1/3 daripada yang asal, mengkafirkan semua sahabat-sahabat Nabi SAW, dan lain-lain ciri yang memesongkan aqidah, apalah yang anda harapkan daripada mereka yang mengungguli ekonomi, ketenteraan dan sebagainya, sambil bertopeng dengan wajah Islami? Tidakkah ALLAH SWT telah memperingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan ilusi-ilusi fana ini?

“Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.
Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahanam; dan Jahanam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.”
(Surah ali Imran [3]:196-197)


Nah, inilah respon saya terhadap senario yang melanda umat sekarang, di mana makin ramai yang menyatakan kekaguman dan sokongan kepada “ilusi-ilusi” ini. Mengkagumi mereka dalam nada mencontohi, tiada salahnya. Jangankan mereka yang mengakui Islami ini, bahkan orang kafir pun boleh anda contohi. Bahkan binatang pun –seperti kes Qabil dan Habil- bisa anda contohi, selagi ia mendatangkan manfaat buat manusia, dan tidak melanggar syariat Ilahi. Tetapi tatkala kekaguman tadi bertukar menjadi pembenaran semua ilusi ini sebagai suatu realiti, maka mana mungkin kita berlapang dada lagi.

Dewasalah dengan cepat, agar anda tidak hidup di alam fantasi, sambil memberikan tokoh Hollywood tersenyum simpul, lantaran berjayanya mereka menghidup ilusi di medan pemikiran manusia. Dan berbelanjalah dengan cermat, agar anda tidak sembrono membeli, barangan tak bermanfaat di pasar hari Jumaat nanti.


(Artikel ini ditulis sebelum berangkat ke "High Voltage Operation, Maintenance & Electrical Safety" Conference di PJ Hilton pada 7-8 Disember 2006. Ditulis ketika sibuk menyiapkan design review disamping dicelah-celah oleh group discussion untuk pembentangan logic diagram minggu ini)

Thank you.

Best Regards,
Faridul Farhan Abd Wahab
Electrical Engineer
Jimah O&M Sdn. Bhd.
Email:
faridul@jimahev.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog