[ibroh idul adha]: BARAKAH SANG PEMBAWA RISALAH
BARAKAH SANG PEMBAWA RISALAH
Halimah hanyalah seorang wanita miskin. Dan perkampungan Bani Sa’ad, ketika itu, sangat kering. Bagaimana mungkin seorang anak –yang kemudiannya bakal menjadi pimpinan umat- bisa hidup di penempatan sefakir itu? Tetapi disitulah keajabaiannya. Jiwa-jiwa pemegang panji kebenaran, sering hadir dengan rezeki penuh barakah yang tidak terjangkakan, sebagai pengiring risalah kebenaran yang bakal mereka perjuangkan.
Lalu, awan pun bergumpalan, hujan pun turun menggembirakan, menyanyikan lagu-lagu riang kepada bumi Bani Sa’ad yang kekontangan. Seketika, sungai-sungai kembali berair dan tanaman pun bertumbuhan, sehingga orang-orang dapat minum dan bercocok tanam sesuka hati mereka. “Kehadiran Nabi Muhammad S.A.W ke tempat kami,” demikian menurut Halimah as-Sa’diyah [1], “sungguh mendatangkan kesuburan dan keberkahan.”
Demikianlah juga dengan tok-moyangnya, Ismail (A.S). Bumi yang tandus itu, serta-merta menjadi subur. Tanah yang sunyi itu, serta-merta menjadi perkampungan orang ramai [2]. Semacam itulah takdir para pembawa risalah kebenaran: sering menjadi rahmat kepada serata alam.
Lalu, jika para pembawa risalah sahaja sering hadir dengan seribu-satu keberkahan, bayangkan pula risalah agung yang mereka perjuangkan. Mana mungkin risalah ini mencetuskan keharuan, mana mungkin risalah ini menebar kezaliman. Bahkan risalah ini, justeru merupakan sebuah “kehidupan.”
“Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) “roh/ kehidupan”[3] dengan perintah-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, yaitu: "Peringatkanlah olehmu sekalian, bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku".
(Surah an-Nahl [16]:2)
Tetapi, sejauh mana risalah ini menjadi sebuah kehidupan yang penuh rahmat, tatkala tiada yang sudi menjadi pejuang panji-panjinya? Atau, adakah wang ringgit dan kekayaan duniawi yang dilihat sebagai kehidupan, berbanding rezeki yang “barakah” tatkala menjadi pemegang panji risalah kebenaran?
“Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”
(Surah al-A’raf [7]:96)
Ternyata, hanya pada tugasan itu –pejuang panji kebenaran- ada barakah dan kerahmatan. Maka marilah bersama-sama, kita penjadi pembawa risalah perjuangan ini, lalu memakmurkan bumi dengan risalah kebenaran.
RUJUKAN
[1] Kisah diambil (dengan mengedit menggunakan ayat sendiri) dari buku Dr. ‘Aid ‘Abdullah al-Qarni, “Al-Quran Berjalan: Potret Keagungan Manusia Agung” (Rahmatan lil ‘Alamin), Sahara Publishers (2006) ms. 17
[2] Kisah dipetik (menggunakan ayat-ayat sendiri) daripada buku Ibnu Katsir, “Kisah Para Nabi” (Qishashul Anbiyaa’: Ibratun li-Ulil Albaab), Perniagaan Jahabersa (2004), ms. 196-198
[3] Maksud “roh/ kehidupan” di sini ialah “wahyu dan rahmat”. Rujuk “mukhtasar tafsir at-Thabari” ms. 267
0 Comments:
Post a Comment
<< Home