[dengarlah jeritan batinku]: Marilah kita "berjiwa besar"!
Dengan Nama ALLAh Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Kalau dipantau antara sifat yang paling kerap diungkapkan oleh al-Quran, maka sifat “SABAR” adalah salah satu di antaranya. Bahkan, saling berpesan dan nasihat-menasihati untuk mengunggulkan sifat sabar ini dalam diari kehidupan, menjadi salah satu syarat untuk mengelak daripada menjadi orang yang rugi.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugiaan. Kecuali orang yang beriman, dan beramal shalih, dan saling berpesan tentang kebenaran, dan saling berpesan tentang KESABARAN.”
(surah al-Ashr [103]:1-3)
Bahkan, sifat sabar ini jugalah pra-syarat dalam menggapai pertolongan daripada ALLAH SWT.
“Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah..”
(surah an-Nahl [16]:127)
Sifat sabar jugalah yang terpaksa harus dikumpul, tatkala jari-jemari ini pantas menyentuh kekunci pada muka keyboard, membelah ribut badai kesibukan –dengan design reviewnya yang “menggila”, dengan inspectionnya, dengan meetingnya, dengan program bersama PD Power Plant-nya sebentar lagi-, juga membungkus habis segala musykilah-muskilah dan jeritan suara hati, demi menitipkan sebutir nasihat, buat diri ini dan ikhwah-ikhwah yang dikasihi, agar mudah-mudahan kita kembali ingat dan tetap terus berada dalam peringatan.
Namun, tentunya bukan semudah itu untuk berpaksi pada sifat sabar ini. Anda harus “berjiwa besar”, untuk menjadikan dakwah di atas segalanya. Air mata yang ingin anda tangiskan guna menangisi musibah dan kepedihan yang menimpa anda, terpaksa anda tahan, kerana air mata anda terhad, sedang permasalahan umat terlalu banyak. Maka biarlah air mata kita yang terhad ini hanya habis kita curahkan, guna menangisi permasalahan umat.
Suara hati anda menjerit tanpa suara, kerana biarlah sedu tangis dan jeritan tragis umat yang hanya kedengaran di corong-corong telinga, berbanding kepedihan batin kita yang tak tertanggungkan.
Hak diri anda tidak terpenuhi, lantaran jasad, tenaga dan pemikiran anda lebih diperlukan oleh umat, sehingga lemah longlainya anda, tiada siapa yang dapat mengetahui.
Anda harus “berjiwa besar”, biarpun tubuh dan kesanggupan anda sebenarnya kecil. Namun, lantaran anda telah dikurniakan oleh ALLAH dengan “KEMULIAAN”, tatkala ditemukan-NYA anda dengan tarbiyah ini, hingga mana anda tidak akan pernah sanggup untuk melempar “kemuliaan” ini, sungguhpun dalam nada ketidak mampuan memenuhi tuntutan berjiwa besar yang disyaratkan.
Kerana kemuliaan itu hanya datang dengan pengurniaan, bukan atas dasar kehendak. Lalu siapa yang ALLAH berkehendak dia beroleh kemuliaan, tidak seharusnya dia kembali berganjak.
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam..”
(Surah al-Israk [17]:70)
Sebagai contoh, ulama’ yang sangat anda kasihi, Tuan Guru Nik Aziz misalannya, berkunjung ke tempat anda. Berebut-rebut orang mengofferkan kenderaannya guna ditumpangi oleh Tuan Guru, termasuk anda, sungguh pun kenderaan andalah yang paling cikai di antara semuanya. Sekadar kereta Toyota Corolla keluaran 1978 misalannya, menjadikan anda kerdil dan “tidak layak” berbanding yang lain-lainnya. Namun, tatkala Tuan Guru memilih untuk mengenderai kenderaan anda, itu justeru adalah satu “PENGHORMATAN” atau “KEMULIAAN” yang ia berikan pada anda, sehingga tidak wajar untuk anda kufuri, lantaran jika anda tidak mahu, masih banyak kenderaan-kenderaan yang lebih baik, lebih selesa, atau lebih “LAYAK” berbanding kenderaan anda. Lalu, yang ruginya bukan Tuan Guru, kerana ia akan tetap sampai ke destinasinya, tapi yang ruginya adalah kita, lantaran mensia-siakan kemuliaan yang ingin diberikannya kepada kita.
Sebegitulah juga dengan diri kita, wahai sahabatku. Kita hanyalah sebuah ASBAB daripada sekian banyak asbab-asbab lain yang bisa ALLAH gunakan untuk memenangkan agama-NYA. Kita hanyalah semacam “kenderaan” yang di atasnya, manusia menduduki guna mencapai redha Ilahi, dari sekian banyak “kenderaan-kenderaan” lain yang bisa ALLAH utuskan. Kerana kemenangan agama-NYA adalah pasti, sedang terpilihnya kita sebagai asbab, hanyalah sebuah nikmat kemuliaan, yang hanya dikurniakan kepada orang-orang pilihan di kalangan hamba-hamba-NYA.
“Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik benci.”
(Surah as-Shaf [61]:8)
“Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu, itu lebih baik daripada unta merah” (hadith shahih)
“Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu, itu lebih baik daripada dunia dan se-isinya” (hadith shahih)
Ternyata, tidak semudah itu berjiwa besar rupanya, wahai kawanku. Kerana di sana, anda terpaksa melupakan muskilah anda, demi mendengar musykilah saudaramu. Kerana di sana, keperluanmu terpaksa kau pendamkan, demi memenuhi keperluan dan tuntutan saudaramu. Jiwamu sendiri terpaksa kau lupakan, kerana anda harus berjiwa besar, mempunyai sekian banyak watak penyelesai dan pembantu, demi memenuhi tuntutan jiwa saudaramu.
Anda hidup justeru tidak lagi untuk diri anda, bahkan hidup anda menjadi milik saudara-saudaramu, milik umatmu. Maka hanya jiwa yang besar, yang bisa menanggung tuntutan kesabaran yang menggunung besar.
Biarpun anda sebetulnya sekadar mencari kedamaian dalam tarbiyah ini, namun tuntutan jiwa saudara-saudaramu, serta requirement umat, menjadikan anda terpaksa mencari kebahagiaan di sana; dalam kebahagian orang lain.
Tapi itulah kemuliaan yang ALLAH berkehendak menemuimu, tatkala hidupmu itu mempunyai pengertian yang lebih luas, iaitu hidup untuk umat! Biarkan apa pun terjadi pada dirimu, biarlah semua musibah menimpa dirimu, namun itu semua tidak terlalu memeningkan kepalamu, lantaran dirimu bukan untuk kau tanggisi nasibnya sendiri, tetapi untuk kau tolong menangisi nasib umatmu.
Inilah sebuah kemuliaan, wahai saudaraku, tatkala setiap sedutan nafas, dengupan jantung, denyutan nadi dan langkah kaki mu, adalah untuk umat. Hingga tatkala Malaikat Maut datang menjemputmu, dikau dijemput dalam sebuah kemuliaan, iaitu sedang layer kehidupanmu digunakan untuk umat.
Berapa ramai yang mencari kemuliaan hidup dan kemudian mendapatinya, sedang ramai pula yang mengingkan kemuliaan tatkala maut, tapi tidak berjaya meraihnya.
Ini kemuliaan wahai sahabatku! Kemuliaan tatkala diberikan peluang oleh ALLAH untuk mencuba beroleh jiwa besar, tatkala kemampuan kita sebenarnya kecil. Kemuliaan tatkala hidup ini menjadi milik umat, bukan milik “seorang ikan” (selfish). Kemuliaan tatkala beroleh semulia kematian, hingga anda kepinggin untuk mati lagi, hingga 10 kali, dalam suasana hidup anda untuk dakwah ini, lantaran melihat betapa besarnya kemuliaan insan-insan yang menjumpai kematian di atas dasar fi sabiliLLAH, persis seperti jiwa para syuhada’ yang digambarkan oleh baginda Nabi.
Maka curahkanlah sedu tangismu di sujud pada malam yang syahdu, seraya berdoa; “Ya ALLAH, bantulah diri ini, dengan APA CARA yang kamu sukai!” Ya akhi, bukan cara yang kita hendaki, tapi apa saja cara yang DIA kehendaki!
2 Comments:
entry nta ni help me ease my pain, alhamdulillah...keep on writing!
jazakallah..menyedarkan saya agar sentiasa berjiwa besar ..
Post a Comment
<< Home