Wednesday, December 20, 2006

Bumi Yang Sfera

BUMI YANG SFERA
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab

Celakalah Cristopher Columbus, celakah ahli geografi, celakalah ahli sains moden! Disebabkan orang-orang seperti mereka, bumi yang selama ini disangkakan leper, kemudiannya terbukti berbentuk sfera. Kenapa mereka sibuk mahu membuktikan bentuk sebenar bumi sebagai sfera, sedang umum masyarakat seluruhnya merasakan bahkan meyakini bahawa bumi ini berbentuk leper? Ini pandangan (baca: pembuktian) yang menyanggahi arus! Ini hujah yang menimbulkan huru-hara dan porak-peranda mayarakat!




Celakalah ilmu sains dan teknologi kini yang tak henti-henti meminta pembuktian dalam memegang sesuatu teori. Kenapa anda tidak biarkan saja masyarakat berpegang kepada tradisi, dan kepercayaan yang diwarisi turun-temurun? Jika bumi tidak leper pun, sekurang-kurangnya, ia “kesalahan yang baik” (bid’ah hasanah)?




Untuk apa anda sibuk mahu bersikap professional, melakukan pekerjaan yang berkualit, membuktikan sesuatu kenyataan dengan pembuktian dan fakta, bukankah semua itu menyusahkan dan menyulitkan umat? Tidak bolehkah anda menjadi seperti agama, yang bersifat kolot dan ta’sub, tanpa langsung bisa disesuaikan dengan zaman? Ini belajat sains mahu berfakta, belajar engineering mahu pengiraan, belajar matematik mahu pembuktian… aduh… rimaslah!

Adakah anda, wahai ahli sains, lebih bijak daripada tok nenek moyang kita, yang lebih dahulu menghuni muka bumi ini? Tentu mereka lebih tahu bentuk muka bumi ini berbanding anda, maka patuh dan terima sajalah kenyataan ini!

Maka, kita tegur Imam Syafi’e kerana mengatakan “apabila ada hadith yang shahih, maka itulah mazhabku!” Kita marah Imam Syafi’e kerana mengatakan “jika ada pendapatku yang bertentangan dengan hadith yang shahih, maka campakkkanlah pendapat aku ke dinding.” Hoi Imam Syafi’e! Engkau tahu tak kita wajib ikut mazhab engkau aje! Yang engkau dok sibuk nak suruh orang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah sebab apa! Kita wajib ikut satu mazhab aje, engkau tahu tak! Bersyukurlah kita orang nak ikut mazhab engkau aje, yang engkau dok suruh ikut al-Quran hadith sebab apa?

Aku dah bosan la dengan sistem pendidikan Negara kita. Ada ke patut anak aku diminta membuktikan jawapan dia dalam soalan pereksa matematik. Ternyata syitem pendidikan hari ni dok sibuk nak bagi orang faham, bukan sekadar menghafal atau mengikut membabi buta mahupun membabi celik semata-mata. Macamlah depa pandai sangat, nak suruh orang bukti-buktikan jawapan kononnya!

Maka nasihat aku pada para pengeluat handset, tok sah la sibuk nak mencanggih-canggihkan design telepon korang tu. Guna la balik bentuk asal handset yang besar bak botol air, apa korang lagi bijak dari Alexander Graham Bell ke?

Juga pada angkasawan-angkawan dan kapal-kapal angkasa yang dok tangkap gambar bumi sampai ternyata bentuk bumi ni sfera, fakta-fakta macam tu orang tak suka. Engkau diam-diam saja sudahlah! Biarkan manusia tak sedar bahawa bentuk bumi ni bulat, macam gak manusia tak sedar bahawa orang-orang Kafir dok hentam, bunuh, rogol umat Islam serata dunia.

Agama ni harus seperti yang diamalkan dahulu iaitu tatkala kereta takde lagi, kapal terbang takde lagi, internet takde lagi. Seperti anda hidup di tengah padang pasir. Kalau orang Eskimo tak sesuai, lantak dialah. Eh, tapi Islam sesuai untuk semua zaman dan keadaan kan? Ahh… lupakan itu semua, hang ikut aje cakap tok nenek moyang kita!

Maka sekali lagi aku ingatkan, jangan dok pandai-pandai nak bagi tahu orang bumi ni bentuk sebenarnya sfera! Anda hanya memecah-belahkan masyarakat sahaja. Selagi kita berjalan nampak bumi ni rata, maka terima sajalah bahawa bumi ni leper. Noktah.

Saudara-saudara diizinkan untuk menyebarkan/ menyiarkan artikel-artikel dalam blog ini, dengan memberikan kredit kepada blog asal ini, demi tujuan da'wah.

Mudah-mudahan saya dan anda diberikan ganjaran di atas usaha da'wah kita.

MENTOL


MENTOL
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab


Serapat mana pun anda dengan pekerja power plant, atau sebesar mana pun power plant di tempat anda, sungguh pun ianya milik syarikat swasta, tatkala terpadam saja lampu dan bekalan elektrik di rumah anda, pantas yang terbayang di benak pemikiran anda cuma satu: TNB!

Ya, anda tidak akan terbayang syarikat Jimah, atau Malakoff, atau YTL, atau lain-lain syarikat power plant swasta tanah air yang juga disebut sebagai IPP, sungguh pun terpadamnya mentol yang menerangi kegelapan anda disebabkan oleh salah satu IPP terbabit, tetapi yang tetap akan disalahkan dan dicemuhkan tetap saja adalah TNB; Tenaga Nasional Berhad. Ini kerana elektrik terlalu sinonim dengan mereka, apatah lagi simbol “mentol” sebagai logo “trade mark” mereka, menjadikan kegelapan akibat terpadamnya mentol rumah anda itu, harus tetap menjadi salah TNB!

Masakan tidak orang ramai marah, sedang tanpa kehadiran si mentol di malam hari, kegelapan malam pasti meresahkan para penghuni. Kegelapan, pada sudut tanggapan manusia, adalah suatu malapetaka yang sering cuba sedaya upaya dihindarkan. Berjalan di lorong gelap misalannya, pasti mecemaskan lantaran lorong gelap sering menjadi pusat segala macam kes jenayah untuk beraksi. Lalu, kehadiran si mentol ternyata membawa kebahagiaan dan keceriaan yang diharap impikan oleh seluruh pelusuk penghuni rumah kediaman.

Jika sebegitu penting mentol kepada kehidupan anda di malam hari, maka sebegitu penting jugalah al-Quran buat mengeluarkan manusia daripada kegelapan Jahiliyah. Sampai-sampai begitu al-Quran ditinggalkan, maka umat Islam lalu “hidup segan mati tak mahu.” Dihinakan dan ditindas, umpama mayat tidak bernyawa, tanpa mendapat sebarang pembelaan.

“Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? ..”
(Surah al-An’am [6]:122)

Itulah sebabnya jika umat ini ingin menjadi umat yang “hidup”, maka menyambut sahutan al-Quran sudah menjadi kewajipan yang tidak bisa ditinggalkan.

“Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu..”
(Surah al-Anfal [8]:24)

Betapa umat manusia ini teraba-raba di dalam gelap, mencari identiti diri, seraya menyelongkar lohong gelap dan mengambil syaitan manusia sebagai idola penyelamat yang harus mereka turuti. Alangkah baiknya andai mereka membuka saja “mentol” al-Quran untuk menyinari minda mereka, sehingga mereka nampak dengan jelas “peta” yang harus dan wajar untuk mereka susuri. Dan peta yang mereka cari-cari itu, justeru adalah sunnah Nabi-Nya SAW sebagaimana sinar cahaya al-Quran itu sudah mengindikasikan.

“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (nabi Muhammad SAW), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah ali Imran [3]:31)

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
(Surah al-Ahzab [33]:21)

“Aku tinggalkan sesuatu untuk kalian, yang jika kalian berpegang teguh, kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu: Kitabullah dan sunnah nabi-Nya.”
(Khutbah wida’ Nabi SAW, rujuk Fiqh Sirah Said Ramadhan al-Butty)

Mentol telah menyala, jalan sudah bercahaya. Maka turutilah jalan yang seharusnya, agar kegelapan tidak memesongkan anda sehingga bisa masuk ke longkang atau terpijak duri di jalanan.

Dari Abi Najih al-Irbad bin Sariah R.A katanya: telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggeletarkan hati daripadanya dan menitis air mata. Lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Seolah-olah inilah nasihat terakhir, maka berilah kepada kami satu pesanan.
Ia bersabda: “Aku berwasiat kepada kamu dengan bertaqwa kepada ALLAH Azza Wa Jalla dan mendengarkan serta taat, sekalipun kepada seorang hamba yang memerintahkan kamu, kerana sesungguhnya barangsiapa yang hidup daripada kamu, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Sebab itu, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah khalifah ar-Rasyidin al-Mahdiyyin dan gigitlah kamu dengan geraham gigi kamu.
Dan jauhilah olehmu akan perkara-perkara yang baru diada-adakan. Kerana sesungguhnya setiap bid’ah (perkara baru yang diada-adakan) itu adalah sesat”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi. Lihat hadith 28 daripada hadith arbain Imam Nawawi)

Begitulah Nabi berpesan, betapa untuk mengelakkan “black out” dalam bentuk bid’ah, maka tekanlah “suis” yang berupa sunnah, lalu terang benderanglah kehidupan anda dengan keceriaan dan kebahagiaan. Dan TNB tak perlu menjadi mangsa hitam lagi…

TNB; jangan marah ya…


(saya akan berpindah ke Jimah Site Office, P.D bermula Januari 2007. Hari ini adalah hari terakhir untuk packing, maka blog ini -kemungkinan- tidak akan di update sehingga saya berpindah ke site. Doakan saya tetap istiqamah berda'wah via internet.)

Wednesday, December 13, 2006

Kiamat Sudah Dekat

Kiamat Sudah Dekat
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
B.Eng (Hons) Electrical Engineering, Cert. Syari'ah, GIEM

“Eh, engkau ni hodoh betullah.”

Beluncas diam. Masakan dia menjawab, tatkala ia sedar diri, betapa ia memang serangga yang hodoh. Ulat gonggok ternyata belum habis mengutuk lagi, lalu kembali membuka mulutnya yang kerdil tapi lancang;

“Aku rasa, kalaulah ada pertandingan serangga paling hodoh, kaulah pemenangnya. Dahulu, kini, dan selamanya.”

“Ya, kaulah satu-satunya pemenang. Sebab, tak ada yang lebih hodoh berbanding engkau.”

Aduh, betapa pedihnya hinaan si gonggok itu. Tajam menikam, merobek-robek jantung yang sedia kecil ini. Sungguhpun sama-sama daripada keluarga ulat, tak sangka gonggok bisa menghina beluncas sambil begitu sekali.

“Kalau sampai ada yang mengatakan engkau cantik, nescaya kiamat sudah dekatlah nampaknya…”

Memang, beluncas adalah seekor serangga yang hodoh. Hal itu tidak perlu pembuktian lagi. Mana ada manusia yang menjadikan beluncas sebagai “binatang peliharaannya”, dek kerana tiadanya nilai-nilai keindahan dan kemanjaan pada dirinya. Atau, mana ada kedai haiwan yang sanggup memperdagangkan dirinya, lantaran tiadanya nilai-nilai komersial pada “pemenang ratu hodoh antara serangga” ini.

Namun, suatu hal yang harus anda sedar, betapa deria manusia, sama ada ia pendengaran, penglihatan, pertuturan mahupun pemikiran, mempunyai batasnya yang tertentu. Sehingga, betapa banyak hal-hal maujud yang tidak bisa ditangkap oleh kedhaifan indera manusiawi ini.

Tahukah anda bahawa tenaga elektrik adalah berbentuk arus sinusoidal, bererti ia mengalami terang dan malap yang silih berganti. Namun, silih bergantinya terang cahaya mentol ini mana mungkin bisa ditangkap oleh deria mata kita, seperti mana juga kita tak bisa melihat udara, proses kondensasi, jin dan makhluk-makhluk halus yang lain.

Bagitu juga dengan deria pendengaran, betapa kita tak bisa menangkap nyanyian-nyanyian dan zikir-zikir sang alam, lantaran ia berlegar pada frekuensi tertentu, hingga mana suara mereka sekadar bisikan-bisikan bisu pada gegendang telinga sang manusia. Atau, takdir dan perencanaan Sang Maha Kuasa, yang tak terjangkau oleh benak pemikiran manusia yang hina dina ini.

Lalu, siapa sangka sang hodoh bernama beluncas ini bisa mengejutkan seantero rakyat daulah serangga tatkala tampil sebagai rama-rama yang indah di kemudian harinya, hingga membuat terlopongnya sang gonggok seraya berkata (seraya melopong); “wah…kiamat memang sudah dekat!”

Saudaraku,
Ingatlah bahawa belum tentu orang yang mempunyai “sisi hodoh” atau “sejarah hitam” dalam diari kehidupannya, tak kan mungkin bisa tampil di kemudian harinya sebagai perwira yang membangun dan menyelamatkan bangsa dan negara. Betapa Umar al-Khattab R.A misalannya, dengan status “kaki pukul” yang sedemikian hodohnya, kelak tampil sebagai khalifah ar-rasyidin yang dijamin sebagai ahli syurga oleh Nabi SAW yang mulia. Atau, sang petualang bernama Khalid al-Walid yang menjadi “sang perencana” tatkala tentera Quraisy menyerang hendap lalu menewaskan pasukan Muslimin di medan peperangan Uhud, namun di kemudian harinya tampil sebagai tokoh pembawa panji perjuangan Islam. Lalu, apalah yang hendak dihairan kiranya orang seperti “Fandy” lewat filem dan sinetron “Kiamat Sudah Dekat” bisa menjumpai cahaya keinsafan, tatkala sang beluncas saja bisa menukar nasibnya daripada haiwan yang sedemikian hodoh, untuk muncul sebagai rama-rama yang sedemikian indah.

“Maka demi ALLAH yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengerjakan amal ahli Syurga sehingga tidak ada jarak antara dia dengan Syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu ke atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli Neraka, maka masuklah ia ke dalamnya (Neraka). Dan sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengerjakan amal ahli Neraka sehingga tidak ada jarak antara dia dengan Neraka melainkan sehasta, kemudian terdahulu ke atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli Syurga, maka masuklah ia ke dalamnya (Syurga).”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim. Hadith ke-4 dalam Hadith Arbainnya Imam Nawawi)


Kejaguhan seseorang tatkala bergelumang dengan alam dan perilaku yang “hodoh”, sering bisa ia translasikan kejaguhannya itu untuk menonjol dengan amal yang sedemikian “cantik”, persis yang diisyaratkan oleh Nabi SAW yang mulia;

“Orang yang paling baik di antara mereka pada masa Jahiliyah adalah orang yang paling baik pada masa Islam..”
(Hadith muttafaqun ‘alaih.Hadith no. 69 dalam kitab Riyadhus Shalihin Imam Nawawi)

Benar, kiamat sudah semakin dekat. Maka marilah kita menjadi “anak-anak Akhirat”, sehingga mana dunia menjadi “anak-anak” kita. “Ya ALLAH, jadikanlah dunia di genggaman tangan kami, jangan Engkau jadikan dunia mengulit hati-hati kami.”

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri”
(Surah ar-Ra’ad [13]:11)


(Artikel ini ditulis sempena MABIT (Malam Bina Iman Taqwa) di Surau al-Munawwarah, Seksyen 13, Shah Alam dengan ucap utama oleh sdr. Mohd Saufy Rohmad pada 16hb Disember ini. Saudara-saudari dijemput hadir)

Monday, December 11, 2006

Syair Abu al-Atahiah


Ketahuilah bahawa setiap kita baru bermula,
anak Adam manakah yag hidup kekal??

Permulaan mereka adalah dari Tuhan mereka,
dan setiap orang akan kembali kepada Tuhannya

Alangkah peliknya bagaimana mereka boleh mengingkari Tuhan,
atau bagaimanakah orang ingkar itu boleh mengingkarinya

Dan Allah bersama dalam semua gerakan,
Dan menjadi saksi bagi semua yang tidak bergerak

Dalam setiap perkara ada tanda kebesaran Tuhan,
yang menunjukkan bahawa Tuhan itu Esa...

Gambar - sang mujaddid Islam, yang mengingatkan kembali betapa ni'matnya menjadi "anak-anak tarbiyyah", as-syahid Hassan al-Banna

Cicak-Man

Cicak-Man

Salah seorang superior saya pernah berseloroh tatkala merujuk kepada suasana Masjid Bukit Damansara ketika masuk waktu solat Jumaat yang dipenuhi oleh peniaga-peniaga yang mendagangkan barangan apa sahaja; “kalau kat masjid ni, jual apa pun, akan ada orang beli.” Ternyata, kata-kata beliau itu ada kebenarannya. Manakan tidak, di masjid-masjid di sekitar ibu kota, demi mendekati waktu solat Jumaat, akan anda jumpai bermacam jenis barang, dari pelbagai watak peniaga, kepada beragam jenis pembeli. Hinggakan barangan yang tak logik untuk dijual, tetap akan ada pembelinya. Demikianlah berpengaruhnya hujah sang salesman dalam meyakinkan dan “mengelabui” mata para pembeli.




Lalu, apa pula kaitan peniaga “pasar Jumaat” ini dengan Cicak-Man? Ada pun Cicak-Man, adalah hero fiksyen sains pertama garapan rakyat tempatan kita (tidak termasuk Chempiang). Yang tentunya, ianya menggabung special effect untuk mewujudkan suasana dan mood watak dan bandaraya cerita tersebut yang sekaligus merupakan kekuatan utama filem keluaran KRU Productions ini, selain adunan barisan pelakon popular lagi seksi (perlu saya nyatakan seksi di sini supaya anda tahu, jika anda menontonnya, anda akan melihat aurat wanita. Lalu, faham-faham sendirilah apa hukum menontonnya.)

Konon cerita, bandaraya di dalam fiksyen Cicak-Man ini dihasilkan lewat special effect, lantaran sukarnya untuk menjelmakan suasana sedemikian di alam reality. Lalu di sinilah persamaan dan hubungkaitnya (pasar Jumaat dan Cicak Man). Ilusi, sama ada kepetahan sang peniaga bercakap, mahupun hasil garapan special effect, sering mengelabui mata manusia. Maka, tidak hairanlah bilamana masih ada yang tertipu dengan Skim Cepat Kaya dan seumpamanya, lantaran umat Melayu berada di alam ilusi dan khayalannya yang tersendiri.

Inilah yang mungkin saya simpulkan sebagai menyingkap gerakan-gerakan yang sering dipertanyakan kepada saya dewasa ini. Ada yang bertanyakan berkenaan Rufaqa’, lantaran ramainya pengikut gerakan pimpinan Abuya ini, dek tergoda dengan kekaguman terhadap kekuatan dan keutuhan ekonomi mereka. Ramai juga yang terpengaruh dan terpedaya dengan Syiah –sambil menganggapnya sekadar salah satu mazhab di dalam islam, yang tidak banyak bezanya dengan mazhab Syafi’e, Maliki, Hanbali, Hanafi dan lain-lain- lantaran kekaguman mereka kepada keberanian dan kekuatan ketenteraan Iran dan HizbuLLAH dalam berhadapan dengan Amerika dan juga Israel.

Inilah sebabnya saya mulakan bicara dengan kisah “pasar Jumaat” tadi. Supaya anda tidak hairan, andainya kertas sampah pun bisa dijual di sana, lantaran hebatnya sang peniaga mewujudkan “ilusi indah” kepada orang ramai guna meyakinkan akan hikmah dan kelebihan produk dagangannya. Juga, special effect filem Cicak Man turut sama berperanan mewujudkan ilusi buat umat, guna merasai kebenaran suasananya. Namun, segala ilusi ini bukanlah apa-apa bukti bahawa realiti bisa dijamin oleh kata-kata dan special effect yang mengelabui mata kita.

“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penantang yang paling keras.
Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerusakan padanya, dan merusak tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah [2]:204-205)


Betapa ada manusia, seperti yang diungkapkan oleh al-Quran, bisa menjadi ta’sub kepada figur-figur tertentu, sehingga sanggup menolak fakta, dalil dan bukti, lantaran telah terpedaya dengan semua ilusi ini tadi. Dan bahkan, bukankah banyak manusia, yang kini menjadi mangsa fatamorgana ilusi akibat keta’suban yang luar biasa terhadap fahaman-fahaman yang menyimpangi fakta sebegini?

Itulah sebabnya, jika anda mahu masuk ke dalam Islam, masuklah melalui pintu aqidah. Bukan yang lain-lainnya. Kerana jika aqidah sudah rosak, maka apakah lagi yang anda harapkan daripada yang lain-lainnya?

Lalu, jika di segi aqidah sudah menganggap pemimpin itu bisa bertemu Nabi SAW, mengetahui tarikh kematian seseorang, menyatakan al-Quran yang ada di tangan manusia sekadar 1/3 daripada yang asal, mengkafirkan semua sahabat-sahabat Nabi SAW, dan lain-lain ciri yang memesongkan aqidah, apalah yang anda harapkan daripada mereka yang mengungguli ekonomi, ketenteraan dan sebagainya, sambil bertopeng dengan wajah Islami? Tidakkah ALLAH SWT telah memperingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan ilusi-ilusi fana ini?

“Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.
Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahanam; dan Jahanam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.”
(Surah ali Imran [3]:196-197)


Nah, inilah respon saya terhadap senario yang melanda umat sekarang, di mana makin ramai yang menyatakan kekaguman dan sokongan kepada “ilusi-ilusi” ini. Mengkagumi mereka dalam nada mencontohi, tiada salahnya. Jangankan mereka yang mengakui Islami ini, bahkan orang kafir pun boleh anda contohi. Bahkan binatang pun –seperti kes Qabil dan Habil- bisa anda contohi, selagi ia mendatangkan manfaat buat manusia, dan tidak melanggar syariat Ilahi. Tetapi tatkala kekaguman tadi bertukar menjadi pembenaran semua ilusi ini sebagai suatu realiti, maka mana mungkin kita berlapang dada lagi.

Dewasalah dengan cepat, agar anda tidak hidup di alam fantasi, sambil memberikan tokoh Hollywood tersenyum simpul, lantaran berjayanya mereka menghidup ilusi di medan pemikiran manusia. Dan berbelanjalah dengan cermat, agar anda tidak sembrono membeli, barangan tak bermanfaat di pasar hari Jumaat nanti.


(Artikel ini ditulis sebelum berangkat ke "High Voltage Operation, Maintenance & Electrical Safety" Conference di PJ Hilton pada 7-8 Disember 2006. Ditulis ketika sibuk menyiapkan design review disamping dicelah-celah oleh group discussion untuk pembentangan logic diagram minggu ini)

Thank you.

Best Regards,
Faridul Farhan Abd Wahab
Electrical Engineer
Jimah O&M Sdn. Bhd.
Email:
faridul@jimahev.com

Saturday, December 09, 2006

Sahabatku seiman

Sahabatku seiman…..
Ku ibaratkan dirimu sekuntum bunga….
Mekar menguntum tidak pernah layu…..
Harummu semerbak baunya…….
Membuatku ingin mendampingimu sentiasa….

Sahabatku seiman…..
Akhlak islami mu sungguh indah….
Subur dibajai dengan zikrullah dan tilawah….
Tutur kata mu adalah bicara tazkirah…..
Membuat diri ku berasa sangat bertuah….
Mempunyai sahabat sepertimu ukhuwwah fillah…..

Sahabatku seiman…..
Mutaba’ah mu sangat aku kagumi…..
Menjadi motivasi untuk diriku ini…...
Tilawah satu juz sehari engkau lazimi….
Matamu basah dalam tahajjud di dini hari…
Sunnah Baginda Rasul engkau usaha ikuti…
Mentadabbur al-Quran menjadi hobimu setiap hari….

Sahabatku seiman….
Engkau tidak pernah memusuhi sesiapa….
Bahkan engkau berukhuwwah tanpa mengenal usia….
Berdebat dan bertengkar sangat engkau tidak suka….
Kerana ia merosak hati mengundang sengketa…..
Mati di jalan Allah adalah cita-citamu yang mulia….
Sanggup kau berkorban wang,harta dan raga….
Demi membela islam yang tercinta….

Sahabatku seiman….
Tatkala aku futur engkau ingatkan….
Wajah mu ceria mencerminkan keikhlasan….
Bersama senyuman manis terpancar nur keimanan….
Kata nasihatmu sangat menghiburkan….
Tehadap diriku yang serba kekurangan….
Engkau mengajarku erti kesabaran….
Dalam menghadapi mehnah dan ujian…


Sahabatku seiman……
Engkau tidak pernah leka dengan dunia…
Bagimu dunia tidak bererti apa-apa…..
Kerana kau kata akhirat yang lebih utama…..
Dan dunia hanya jambatan sahaja….
Untuk meraih syurga yang dijanjikan Yang Maha Esa….

Sahabatku seiman……
Dakwahmu luar biasa mantap….
Kau daie yang tak pernah kenal erti penat…..
Dirimu umpama singa kelaparan….
Mencari mangsa untuk didakwahkan…..
Kata nista tidak pernah kau endahkan….
Kerana itu jalan berduri yang terpaksa kau lalui……
Demi menegakkan kalimah ilahi……
Agar islam kembali gemilang…..
Seperti zaman Rasul dan para sahabat……

Sahabatku seiman….
Terima kasih di atas segala bimbingan….
Aku pasti takkan membiarkan dirimu keseorangan….
Menjadi teman setiamu di medan perjuangan….
Al-Quran dan as-sunnah menjadi panduan….
Agar kita bisa meraih kejayaan….
Islam kan kembali gemilang dan dijulang….
Dan kita bisa meraih syurga yang dijanjikan….
Subhanallah…Allahu akbar…!!!!!

(puisi nukilan ukht yang dicintai, Pn. Nur Hanani Makhtar)

Monday, December 04, 2006

Berhati-hatilah menyebar berita....

Dari Abu Hurairah R.A;
كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
terjemahnya: "Cukuplah sebagai pendusta bagi seseorang jika ia menyalurkan apa saja yang ia dengar."
(Muqaddimah Sahih Muslim #5)

Ukhwah.com :: Top Blog