MAGNET FUEL-SAVER
MAGNET FUEL-SAVER
-pemandu kereta Proton Perdana v6 2.0a
-pemandu kereta Toyota Vios 1.5
Bagi alat penjimat minyak berasaskan magnet, ia dipasang di hos minyak untuk membantu pemecahan molekul bahanapi (hidrokarbon) dengan lebih efisien. Hasil penyelidikan membuktikan bahawa super-magnet NdFeB boleh membantu pemecahan kelompok molekul bahanapi (petrol/ diesel/ gas). Ini membantu pembakaran enjin lebih efisien yang membantu mengurangkan penggunaan petrol serta meningkatkan kuasa. Maklumbalas pelanggan juga membuktikan ia membantu 10 hingga 35% lebih kilometer.
Namun, produk penjimatan minyak yang manakah merupakan yang terbaik dan harus menjadi pilihan? Yang berasaskan pil kah, atau yang tampil dalam bentuk magnet yang lebih berkesan? Produk terbitan Jerman kah, atau yang ditampilkan Jepun yang lebih membawa penjimatan?
Di sini, setiap pengeluar alat fuel-saver harus menguasai ilmu marketing, jika ingin melihat produknya menguasai pasaran. Sungguhpun benar produk fuel-saver jenama A misalnya lebih terbukti berkesan berbanding produk fuel-saver jenama B, semua itu tiada ertinya jika produk B lebih terjual lagi menguasai pasaran berbanding A yang hakikatnya lebih berkesan.
Semacam suatu tindakan yang bodoh jika pengeluar jenama A tetap sombong dan angkuh dengan spesifikasinya yang justeru lebih baik dan lebih berkesan berbanding jenama-jenama lainnya, hingga enggan memperbaiki marketing produknya sungguhpun produknya itu paling tidak laris di pasaran. Apa ertinya andalah yang paling benar, jika langsung tidak ada orang yang mahu membeli produk anda, hanya kerana kegagalan anda dalam permasalahan marketing?
Lalu, begitulah juga dengan kita, wahai pengikut sunnah, wahai pengikut manhaj salaf. Apalah ertinya dalil kita yang paling benar, hadith kita yang paling sahih, namun kedegilan kita berpegang pada pendapat kita, lalu menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak hingga langsung menolak seruan kebenaran yang kita bawakan? Benar, pendapat kita yang paling kuat, tapi adakah memenangkan pendapat yang paling kuat sahaja yang harus kita laksanakan, sedang marketing kepada masyarakat agar mereka pula bisa menerima pendapat yang paling kuat itu tidak sangat penting sehingga kita sanggup bergaduh dan enggan memikirkan pendekatan yang lain hanya kerana pendapat yang paling kuat yang padanya kita bersandar tadi?
Bukankah Nabi kita yang mulia –selawat dan salam ke atas-nya- pernah memperingatkan tentang pentingnya marketing da’wah ini lewat hadithnya; “Kami diperintah, supaya berbicara kepada manusia menurut kadar akal (kecerdesan) mereka masing-masing.” (Hadith rowayat Muslim)
Bukankah menyelesaikan segala kezaliman dan kerusakan secepatnya –misalnya- adalah antara pendapat yang paling benar, sehinggakan anak kepada Umar Abdul Aziz sahaja pernah bertanya pada ayahnya atas gerangan apa ayahnya kelihatan semacam bertangguh-tangguh untuk menegakkan sebuah kebenaran? Lalu, Umar sebagai bukan sahaja pengeluar “produk kebenaran” tetapi juga “pemasar produk kebenaran”, dalam pengertian bukan sahaja ingin menegakkan kebenaran tetapi juga inginkan umat mengikuti kebenaran itu tadi, lantas menjawab [1];
“Wahai anakku, janganlah engkau tergesa-gesa! Sesungguhnya ALLAH telah mencela khamar lewat al-Quran sebanyak 2 kali, dan mengharamkannya pada kali yang ke-3.Jika aku memaksakan kebenaran pada manusia dengan sekaligus, aku khuatir mereka akan menolaknya sekaligus pula, sehingga hal itu menjadi fitnah.”
Umpama produk fuel-saver, kita bukan hanya mahu berbangga sebagai produk penjimat minyak yang paling benar dan terbaik, tetapi kita juga inginkan agar produk kita menjadi yang terlaris dan paling laku di pasaran.
Adakah kita wahai pencinta sunnah memahami apa yang pernah dilakukan oleh baginda Nabi S.A.W pada saat Fathu Mekah, iaitu tatkala baginda membiarkan Baitul Haram (Ka’bah) apa adanya, padahal sebenarnya beliau ingin mengembalikan keaslian bangunan itu sebagaimana ia dipancangkan pertama kali oleh Nabiyullah Ibrahim A.S, seperti hadith-nya seperti yang diceritakan oleh Aisyah R.A;
“Seandainya kaummu bukan kamu m yang baru sahaja meninggalkan Jahiliyah, nescaya akan aku robohkan Baitullah itu dan akan kubangunkan kembali berdasarkan fondasi (Nabi) Ibrahim.”[2]
Maka marilah perbaiki “marketing dakwah” kita, wahai pengikut sunnah, agar bisa menepati da’wah bil-hikmah yang dilaung-laungkan oleh al-Quran, insyaALLAH. Kita mula mendengar keluhan dan cemuhan para “pengkritik AF” yang hanya tahu mengkritik kita, untuk kita bina suatu strategi baru demi memastikan masyarakat menerima hujah kita. Kerana “Fuel save”r yang terbaiklah, yang harus menguasai pasaran!
RUJUKAN
[1] Dr. Yusuf Qardhawi, “Fatwa-fatwa Kontemporer (Jilid 2)”, Gema Insani Press (1995), ms. 1040-1041
[2] Jum’ah Amin Abdul Aziz, “ad-Da’wah, Qawa’id wa Ushul (Fiqih Dakwah: Prinsip dan Kaidah Asasi Dakwah Islam)”, Era Intermedia (2003), ms. 169
*Penulis adalah Graduate Member kepada Institution of Engineers Malaysia (IEM) yang membawa gelaran “Engineer (Engr.)”. Berkelulusan B.Eng (Hons) Electrical Engineering dan Sijil Pengajian Syari’ah. Kini bekerja sebagai engineer di sebuah power plant.
1 Comments:
Good for people to know.
Post a Comment
<< Home