Tuesday, October 03, 2006

[Membudayakan Islam 2]: “Kata-kata” yang terbaik

[Membudayakan Islam 2]: “Kata-kata” yang terbaik

Saudaraku,
Apalah sebabnya bila kita diminta memberikan tazkirah, kita sering kali menolak, sedangkan memberikan tazkirah itu adalah kesempatan kita untuk mengeluarkan “kata-kata yang terbaik”?

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?"
(Surah al-Fushilat [41]:33)

Saudaraku,
Sedarkah kita betapa di dalam sehari, betapa banyak ungkapan dan perkataan yang keluar daripada mulut kita, hampir semuanya lagha, jika tidak pun membawa kepada dosa. Lalu, mengapa tidak kita biasakan diri kita, dalam sahari, untuk seketika, kita keluarkan pula “kata-kata” terbaik buat menghapus dosa yang terpacul daripada ungkapan kita.

Dan, wahai saudaraku,
Alangkah riangnya amal kita, kalau kiranya “kata-kata” terbaik kita itu berbekas di hati manusia, lalu saham pahala kita pun bertambah, lantaran ada yang mahu mengamalkannya?

“Barangsiapa yang membuat satu sunnah yang baik, maka ia memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal dengannya, tidak berkurang sedikitpun pahala mereka. Barangsiapa yang membuat satu sunnah yang buruk, maka ia memperolehi dosa dan dosa orang yang beramal dengannya tidak berkurang sedikitpun pahala itu.”
(Hadith Shahih Riwayat Imam Muslim)


Lalu ketahuilah saudaraku,
Bukan dirimu sahaja yang tidak petah dan bijak berkata-kata, tetapi bahkan penda’wah agung bernama Nabi Musa A.S pun serupa, lalu ia pintalah pada Tuhannya dengan sebuah doa:

“Berkata Musa: "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku,
dan mudahkanlah untukku urusanku,
dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku,
supaya mereka mengerti perkataanku,”
(Surah Thoha [20]:25-28)

Lalu dia pohonlah pada Tuhannya teman guna menampung kekurangannya, lewat doa:

“Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan) ku; sesungguhnya aku khawatir mereka akan mendustakanku".
(Surah al-Qashas [28]:34)

Maka sedarlah duhai saudaraku,
Jika dirimu rasa tidak cukup ilmu, maka manusia bertuah yang dipilih berbicara dengan ALLAH, Nabi Musa A.S juga tidak cukup ilmu, lalu diperintahkanlah kepadanya supaya mencari Khidir. Tetapi, dengan kekurangan ilmu itu, tetap sahaja beliau mengucapkan “kata-kata” terbaik.

Maka marilah wahai saudaraku, kita gantikan ucapan-ucapan dan perkataan-perkataan dosa atau tidak bermanfaat, menjadi kata-kata berunsur tazkirah dan da’wah.

Biarlah tazkirah dan mesej da’wah menjadi sebuah “budaya” atau “trend” baru dalam hidup kita. Wahai saudaraku, saksikanlah, ALLAH dan Rasul-mu telah pun memberikan “tauliah” kepada mu.

p/s – jangan salah faham. Saya tidak bermaksud mengatakan islam hanya sekadar sebuah budaya. Yang ingin saya maksudkan di sini, agar budaya2 non-Islami mula menyerap gaya hidup Islam. Inilah maksudnya “membudayakan islam”, iaitu Islam dipilih sebagai amalan hidup masyarakat kita.

Assalamualaikum warahmatuLLAH..

Sekali lagi, jazakumuLLAH khairan dan salam ukhwah kepada semua yang berkunjung dan meninggalkan komen di dalam blog saya, juga melalui email...

Akhi Faizul,
Saya masih tidak boleh masuk ke blog anda.

Sis Anie,
Jika mahu menerima artikel-artikel saya melalui email, bolehlah tinggalkan email saudari di sini atau emailkan ke saya faridul@jimahev.com

Ada sesiapa lagi yang sudi berukhwah dengan saya?

Monday, October 02, 2006

(email)

Assalamualaikum Saudara Faridul,

Ada seorang hamba Allah ni bertanya soalan kepada saya,,, tapi saya rasa saya bukanlah orang yang layak nak menjawab
persoalannya, Boleh tak kiranya Farhan meluangkan sedikit masa untuk menjawabnya.

Soalan:

1. Sejak kebelakangan ni beliau merasakan bahawa jiwanya kosong,walaupun dia banyak bertadarus, bertarawikh dan solat.
walaubagaimanapun beliau tidak dapat merasai solat itu sendiri. pendek kata sekadar solat sahaja.

dia juga cuba berdoa kepada Allah tentang masalah dia ini... malah dia berdoa tapi dalam keadaan macam lesu mintak punnn macam tak nak mintakkkk.
tapi bukan dia tidak ikhlas tapi ada semacam rasa tidak berapa semangat nak buat.

lantaran daripada keadaan ini beliau kerap meninggalkan solat terutama solat subuh, beliau selalu berdoa kepada allah agar mengejutkan dia untuk solat subuh,
Tapi allah tu Maha mendengar beliau mesti bangun. tapi tak solat jugak.. rela duduk termenung... apa masalahnya sebenarnya???? dia sendirik pun tak tahu nak carik punca masalah dia....

2. Dia jugak sudah hilang rasa hormat kepada suaminya . katanya dia rasa frust dengan suami dia.. suami dia suka sakitkan hati dia bila bercakap,
tapi dalam masa yang sama dia kata suaminya seorang yang sangat sensitif....sampai satu tahap dia melawan suaminya .... akhirnya suami dia terasa dan merajuk,
walaupun dia minta maaf dengan suaminya hanya sekadar tidak mahu berpanjangan dan mengharapkan redho Allah itu aje,dia tak nak semua makhluk allah melaknatnya...

jauh disudut hatinya nak bagitahu kepada suaminya bahawa apa yang dia lawan/ mengeluarkan kata-kata kasar kepada suaminya adalah satu pengulangan sebagaimana suami dia kata benda yang sama kepadanya. dia nak suami dia rasa macam mana dia rasa... maaflah kalau tak faham.. saya tak berapa reti nak terjemah balik... saya cuba mengikut teks asal...

3. Suami dia ni tak pernah nak melihat kelemahan diri dia sendirik. dia juga seorang yang suka komplennn dalam semua hal kepda semua orang.Suami dia semacam tak berminat sangat... nak berjemaah nihh/... terawih selama 8 hari ni tak peernah pergi.. masjid dekat je ngan rumah.. isteri, maid dan anak-anak semau pergi.dia rela tengok tv kat rumah.lepas tu sambung makan dan makan lagi....tapi suami dia tak pernah alang isterinya unutk membuat kerja-kerja amal khususnya dalam berkaitan agama ni.. malah memberi galakan. Jadi dia tak fahammmm....

itu je setakat ini. Nanti saya sampaikan....
mekasih.



My respon:
Wa’alaikumus salam warahmatuLLAH

Berkenaan jiwa sahabat akak yang terasa kosong, menurut pandangan saya, itulah sebabnya beliau harus hidup dalam lingkungan tarbiyyah, agar suasana keimanan sentiasa membajai hatinya. Diberitakan bahawa Umar al-Khattab pernah berkata, bahawa kalau bukan kerana 3 hal, beliau tak tak merasa kepingin lagi untuk hidup di dunia; iaitu tahajud di malam yang sejuk, puasa di panas yang terik dan berjumpa sahabat seiman dan mengambil kata-kata bermanfaat daripadanya.

Para sahabat sentiasa merasakan kehangatan iman dan UKHWAH tatkala mereka duduk bersama. Maka, itulah sebabnya kita juga harus mewujudkan suasana tersebut. Tarbiyyah seharusnya mampu sentiasa mengingatkan kita pada ALLAH. Tarbiyyah hendaklah sentiasa membuatkan kita terasa kehangatan ukhwah, sampai2 bila berpisah, kita terasa kerinduan yang amat sangat terhadap saudara seiman kita.

Itulah sebabnya di dalam tarbiyyah kami -sepertimana tazkirah sebelum tarawih yang saya sampaikan di Surau semalam- harus kita membudayakan suasana Islam di dalam masyarakat kita (rujuk artikel yang baru saja saya tulis, betajuk "Apa khabar iman?"). Sudah tiba masanya di dalam tarbiyyah, kita bukan sekadar mencari keanggotaan dan keahlian lalu terpesona dengan BILANGAN, tetapi bahkan kita sentiasa bertanya khabar iman saudara kita: berapa kali tahajud dalam seminggu, berapa juz bacaan al-Quran, dan sebagainya, selain bertanya khabar da’wah saudara kita: berapa orang sudah ia jumpa dan ajak pada islam, sudahkah dia mula memegang usrah/halaqah, atau dunia lebih dicintainya lalu melekakannya daripada turun berjuang membela agama suci ini.

Itulah sebabnya di dalam tarbiyyah kami, ditekankah persoalan UKHWAH. Bahawa nilai ukhwah yang tertinggi ialah ITHAR (mengutamakan sahabat lebih dari diri kita sendiri), sedang yang paling cikai adalah BERLAPANG DADA. Bila umat mampu menunaikan hak ukhwah ini, maka akan kuat dan kukuhlah umat islam, seperti mana generasi para sahabat radhiALLAHu anhum waradhu’anh.

Itulah sebabnya di dalam tarbiyyah, kita minta semua peserta tarbiyyah membawa bersama al-Quran terjemahan, agar kita berIslam sepertimana yg telah diwahyukan oleh ALLAH oleh al-Quran. Kita sama-sama menilai kembali status hadith, agar mudah2an kita dapat beramal dengan sunnah Nabi Saw yang shahih. Bukankah nabi SAW telah berpesan; “aku tinggalkan kamu dua perkara yg kamu tidak akan pernah sesat, selagi kamu berpegang teguh kepadanya. Iaitu kitabuLLAH, dan sunnah nabi-Nya”.

Inilah tarbiyyah yang kita inginkan, tarbiyyah islamiyyah harakiyyah. Kenapa tarbiyyah dalam kelompok kecil bernama halaqah/usrah lebih efisyen berbanding ceramah agama dan sebagainya, jawapannya sama dengan perbandingan tutorial dengan kuliah, mana lebih efiktif? Tentunya dalam kelompok kecil seperti tutorial, bukan?

Berkenaan masalah suami, itulah sebabnya Islam menyuruh mencari jodoh di kalangan orang yang beriman. Tak salah nak mencari pasangan dek kerana kehensemannya. Tak juga salah kerana keturunannya, atau kerana hartanya, dsb. Tapi jika ingin bahagia, maka agamalah resepinya.

Saya Cuma mampu mengesyorkan satu website buat sahabat akak,
www.saifulislam.com sebagai suatu website yg sangat menyentuh hati dan mudah2an bisa membantu sahabat akak.

Di sini juga saya meminta izin daripada akak untuk mencoretkan kembali email ini di dalam blog saya sebagai tazkirah dan iktibar untuk semua. (alhamduliLLAH, kemudiannya dizinkan)


Akak juga boleh hubungi isteri saya, Nur Hanani Makhtar (Nanie) di (
maaf, saya terpaksa merahsiakan email isteri saya) jika akak ingin bertanya atau perlukan teman berbual, atau mahu turut serta dalam program-program kami.

Wallahu a’lam, moga ALLAH menurunkan hidayahnya pada kita semua.

Wassalamualaikum warahmatuLLAH

"Salam ukhwah semua.."

Assalamu'alaikum warahmatuLLAH

JazakumuLLAh khairan kathiran saya ucapkan kepada semua yang sudi meninggalkan komen di dalam blog saya, serta menghantar email kepada saya. Salam ukhwah saya ucapkan.

AlhamduliLLAH, bukankah indah bila mana kita bisa berkenalan dan bersahabat dengan sahabat seiman kita, sungguh pun tidak pernah bertemu? ya bukan?

Sesiapa yang ada singgah di blog ini, marilah membina ukhwah. Dipersilakan meninggalkan komen di blog ini, atau menghantar email kepada saya; faridul@jimahev.com.

Moga kekuatan ukhwah ini akan menjadi pemangkin kebangkitan islam yang kita semua idam-idamkan.....

Wassalamualaikum

[Membudayakan Islam 1]: Apa khabar iman?

[Membudayakan Islam 1]: Apa khabar iman?

“Adakah kamu hadir ketika Yakub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apa yang kamu sembah sepeninggalku?" Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (yaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya."
(Surah al-Baqarah [2]:133)

Tuan-tuan dan puan-puan, saya merayu pada anda, seperti mana motto dan slogan para sahabat R.A sesame mereka, ijlis bina, nu’minu sa’atan. Duduklah bersama-sama kami, kita beriman seketika.

Suatu hal yang barangkali tidak kita sedari, bahawa Ramdhan merupakan suatu “madrasah” yang hadir dalam bentuk “pakej”, iaitu bukan sekadar kita berpuasa sahaja. Bukan kita sekadar solat tarawikh sahaja. Tetapi juga, bersempena dengan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini, seharusnya kita bisa mempertingkatkan iman kita. Tadarus al-Quran kita meningkat. Tahajud kita meningkat. Dan, suatu hal yang sering tidak kita sedari, bahawa mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kepada yang mungkar juga termasuk di dalam ibadah. Maka, tazkirah sempena bulan Ramadhan juga termasuk di dalam ibadah, dan turut merupakan salah suatu elemen penting di dalam pakej Ramadhan ini.

Bukankah al-Quran al-Karim telah merakamkan salah satu nasihat Luqmanul Hakim buat anaknya yang tercinta, seraya merangkaikan solat dengan da’wah?

“Hai anakku, dirikanlah salat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”
(Surah Luqman [31]:17)

Maka, sebagaimana kita menekankan kepentingan solat kepada anak kita, kepada adik kita, kepada anak murid kita, sudah tiba masanya kita juga menekankan kepentingan amar ma’ruf nahi mungkar juga kepada anak-anak kita.

Jika yang namanya Jahiliyah, yang namanya maksiat, yang namanya kemungkaran, bisa bercambah sehingga menjadi sebuah budaya di dalam masyarakat kita; menyanyi sudah menjadi suatu budaya, sehingga berbondong-bondong acara hiburan berupa Akademi Fantasia, Mentor, One in a Million, PTPL Idol dan sebagainya; fitnah sudah menjadi sebuah budaya di dalam masyarakat kita, sehingga gossip sudah menjadi perkara biasa lagi lazim, lalu masyarakat pun berpecah belah kerananya; cerai sudah menjadi suatu budaya sehingga akhbar New Strats Times hari Sabtu melaporkan 15,000 pasangan Melayu bercerai pada tahun 2005 berbanding 3000 pasangan Cina, lalu tatkala maksiat-maksiat dan kemungkaran ini menjadi sebuah budaya, lalu kes pecah rumah, kes ragut, kes rompak, kes bunuh dan seumpanya, turut menjadi sebuah budaya di dalam kehidupan kita.

Itulah sebabnya, jika kita ingin terselamat daripada bala bencana berupa pecah rumah, ragut, rompak, bunuh, dan sebagainya, harus kita menggantikan budaya Jahiliyah dan mungkar ini kepada budaya yang Islami. Sudah tiba masanya tuan-tuan dan puan-puan, Islam menjadi sebuah kelaziman sehingga menjadi budaya baru masyarakat kita, lalu menyelamatkan umat daripada anasir kerosakan.

Salah satu budaya yang boleh kita wujudkan kini, ialah seperti mana yang termaktub di dalam surah al-Baqarah, ayat 133 yang saya coretkan di mukaddimah tadi. Ayat itu, di awali oleh ayat sebelumnya (Surah al-Baqarah [2]:132), dengan “telah berwasiat nabi Ibrahim kepada anak-anaknya, demikian pula Nabi Ya’qub…”Bila namanya wasiat, maka, sudah barang tentu pesanan-pesanan yang terkandung di dalam wasiat Nabi Ibrahim itu penting.

Apakah wasiat itu? Ketika Nabi Ya’qub (di dalam surah al-Baqarah [2]:133) kedatangan tanda-tanda maut, lalu berkumpul anak-anaknya sekalian, yang dipertanyakan oleh Nabi Ya’qub pada anak-anaknya bukanlah “apa yang kome semua nak makan sepeninggalanku?” Tidak, bukan itu. Atau, “kamu semua bila besar nak jadi apa? Doktor ke? Engineer ke?” Tidak, bukan itu. Tetapi, yang sangat dirisaukan oleh Nabi ALLAh Ya’qub pada anaknya ialah “Apa yang akan kamu sembah sepeninggalanku?”

Tuan-tuan yang mulia,
Kenapa sehingga 250,000 orang melayu boleh murtad, kerana permasalah aqidah, permasalahan agama tidak menjadi priority yang kita tekankan kepada anak-anak. Kita lebih menekankan kepentingan mereka belajar untuk menjadi engineer, doctor dan sebagainya, atau kepentingan belajar IT, sehingga mana anak-anak tidak mendapat siraman rohani sepertimana yang dikehendaki oleh islam. Masyarakat dibina berasaskan basis kebendaan, keduniaan dan duit semata-mata, bukan atas stand aqidah, yang kemudian tentunya akan membuahkan asas akhlak yang karimah (mulia).

Maka, bak pesanan nabi Ya’qub tadi, marilah kita mulakan membudayakan Islam di dalam kehidupan kita, dengan bertanya khabar iman saudara-sahabat kita. Bila ketemu, marilah kita bertanya “apa khabar iman ya akhi? Ya syeikh? Ya sahabat” instead of just bertanya “apa khabar?” dan sebagainya. “apa khabar tahajud anta ya syeikh?”, “apa khabar tilawah al-Quran anda ya tuan?”, “apa khabar solat Subuh berjemaah anda wahai kawan?”, sehingga mana masyarkat pun mula terasa kepentingan amal ibadah ini, lantaran bertanya khabar iman sudah menjadi budaya di dalam masyarkat kita selepas ini.

Menyusul kemudian ialah budaya miss call sahabat kita untuk menggerakkannya solat tahajud, misalnya. Menyusul kemudian budaya saling bertanya “apa khabar da’wah?” misalnya. Ketika islam sudah menjadi budaya, masyarakat pun mula terikut-ikut rentak Islam, maka ancaman gejala murtad, pecah rumah, rompak, rogol, bunuh dapat kita kurangkan, dan kelak bisa kita hapuskan, insyaALLAH.

Masanya sudah tiba untuk kita membudayakan tazkirah sesama kita. Masanya sudah tiba untuk kita membudayakan bertanya “apa khabar iman” sesama kita. Marilah kita menjadi Islam sebuah budaya hidup kita.



(Artikel ini adalah adaptasi daripada tazkirah Ramadhan yang saya sampaikan di Surau malam semalam. Ingatlah, tazkirah juga adalah sebahagian daripada pakej ramadhan, maka tidak sepatutnya dihalang. Artikel ini, tentunya tidaklah 100% sama dengan tazkirah spontan saya, namun point-point penting yang saya tekankan, telah termuat di dalam artikel ini, insyaALLAH)
Thank you.

Best Regards,
Faridul Farhan Abd Wahab
Electrical Engineer
Jimah O&M Sdn. Bhd.
Email: faridul@jimahev.com
"…like the darkness of a fathomless sea which is covered by waves above which are waves above which are clouds…"
-the Holy Quran on internal waves in the sea, 1400 years ago. Miracle!

Ukhwah.com :: Top Blog