STREPSILS (GULA-GULA BATUK)
STREPSILS (GULA-GULA BATUK)
Oleh: faridul farhan abd wahab
AlhamduliLLAH, saya sudah selesai “signing off” sempena “On Job Training” (OJT) company saya. Suka dan duka perjalanan prosesnya, dengan tekak yang kering dan selsema yang teruk, dengan demam yang mengintai-intai, tetap membuahkan rasa syukur di dalam diri buat Ilahi di atas segala yang telah disuratkan oleh-Nya.
Sungguhpun menghadapi minggu ini dengan tekak yang sebegini, tetap saja saya diminta mengimamkan solat, memberikan tazkirah, dan lain sebagainya. Sehingga menekadkan saya membuahkan suatu kesimpulan: betapa berharganya kata-kata, kepada manusia!
Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, daripada lidah seorang yang lemah-lembut[1].
Syeikh da’wah tersohor, Muhammad Ahmad ar-Rasyid kelihatan senggaja memperkenalkan method penulisannya, tatkala memulakan bicara di dalam karangan monumentalnya al-Munthalaq. Keindahan kata, dengan menyelitkan puisi ataupun kata-kata puitis, semacam menjadi trademark sang penulis buku-buku best seller ini. “Bersama fitrah keindahan” kata beliau, tatkala memperkuat lagi memperkukuhkan lagi bicaranya itu, agar para da’ie Muslim harap-harapnya, dapat memperbaiki gaya penyampaian lagi memperindah sasterakan ucapan-ucapan dan tulisan-tulisan mereka, supaya lenggok bahasa mereka bisa mencairkan hati siapa sahaja, seperti Romeo mencairkan Juliet hendaknya.
Saya sebetulnya setuju dengan pandangan beliau, sungguhpun nukilan karya saya kebelakangan ini, sering kering daripada disirami bahana syair mahupun puisi. Kata-kata yang baik lagi tepat, bisa merungkaikan masalah apa sahaja –insyaALLAH- sepertimana gaya bicara wakil Muslimin di Habsyah, Ja’far ibnu Abi Talib tatkala berbicara indah demi meyakinkan Raja Habsyah tatkala wakil Quraisy memujuk rayu beliau, seperti mana yang di-ibrahkan oleh Munir Muhammad Ghadban di dalam Manhaj Harakinya.
Kepentingan susunan kata-kata: Bukan calang-calang!
Lihatlah sahaja bagaimana dengan susunan kata-kata yang bijak, seorang pengikut Nabi Musa A.S bisa menegur dan memberi saranan kepada Firaun, sedang keimanan masih bisa ia sembunyikan.
“Dan seorang laki-laki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata: "Apakah kamu akan membunuh seorang laki-laki karena dia menyatakan: "Tuhanku ialah Allah, padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika ia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika ia seorang yang benar niscaya sebagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu". Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.”
(Surah Ghafir [40]:28)
Seandainya sang beriman itu menyatakan “kiranya dia benar” terlebih dahulu sebelum menyatakan “kiranya dia dusta”, maka sudah barang tentunya motif saranan yang ia lemparkan kepada Firaun, pasti dapat dikesan oleh sang mahazalim itu, lalu bukan sahaja ideanya ditolak, tetapi bahkan dirinya itu pasti akan dibinasakan.
Susunan kata-kata jugalah yang memainkan peranan, tatkala ghulam yang beriman di dalam kisah ashabul ukhdud (lihat surah al-Buruj) menyiapkan prosedur akan cara-cara menewaskan dan membunuh dirinya kepada raja dikatator yang zalim itu. Sehinggakan sang raja yang pada awalnya mahu menghapuskan seorang sahaja sosok individu yang beriman, kemudiannya bahkan melahirkan sebuah masyarakat yang semuanya beriman, sehinggakan terpaksa di campakkan ke parit yang marak dengan api yang menjulang!
Begitulah keajaiban kata-kata. Bahkan, Hisyam Soqr ketika membahaskan kisah ini di dalam bukunya “Ghulamud Da’wah”[2] memetik berbagai macam pelajaran di dalam bermacam jenis situasi yang dihadapi oleh sang Ghulamyang mana ia menampilkan keindahan dan ketelitian susun alur kata-kata.
Anis Sorosh pemidato yang hebat!
Dalam banyak-banyak pendeta dan paderi yang berbahas dengan Syeikh Ahmed Deedat, maka Anis Sorosh, seorang warga Palestin beragama Kristian, adalah di antara salah seorang penentang yang hebat. Dengan kehebatannya berkata-kata, tentu mengagumkan siapa sahaja. Jika bukan kerana kebenaran itu datang daripada ALLAH, maka sudah barang tentu ramai yang terpedaya dengan hujah yang beliau keutarakan.
Angka 250,000 umat Malaysia yang murtad, sewajarnya menyimpulkan kita dengan suatu perkara, bahawa susunan kata-kata memainkan peranan yang besar di sini. Berapa ramai sudah umat disesatkan lantaran termakan kata-kata dan bicara yang hebat lagi meyakinkan?
“Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penantang yang paling keras.”
(Surah al-Baqarah [2]:204)
Itulah sebabnya Nabi SAW sendiri memperingatkan akan peri pentingnya kata-kata ini tatkala berhadapan dengan masyarakat, lantaran output yang ingin dihasilkan sangat bergantung kepada sejauh mana keberkesanan input yang kita hadirkan lewat kata-kata.
“kami diperintah supaya berbicara kpd manusia menurut kadar aqal (kecerdasan) mereka masing-masing”
(HR Muslim)[3]
Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa!
Pepatah Melayu yang memperingatkan betapa kata-kata bisa memusnah dan memakan diri, sangat bertepatan dengan saranan ulama’ akan peri pentingnya aafatul lisan (memelihara lidah), sehinggakan “imam akhlaq” al-Ghazali menukilkan satu bab khas tentangnya di dalam kitab Ihya’ Ulumuddinnya.[4]
Marilah kita renungkan sejenak potret hidup kita, sudah berapa ramai insan yang kita lukai, atau kita kecewakan, hanya dengan kelemahan kita bermain kata-kata? Sedang para penyeru kebatilan, sudah berapa ramai mereka sesatkan, hanya bermodalkan kebijaksanaan mereka menutur bicara?
Sayang seribu kali sayang, berapa ramai di kalangan kita yang sememangnya dianugerahi dengan kelebihan menyusun bicara, namun tidak ia manfaatkan untuk menyeru umat kepada cahaya Islam? Sedang yang tersisa di kalangan mereka –contohnya saya- yang terpaksa berhempas pulas lagi berhati-hati menyusun kata dan memperbaiki method berbicara, tetapi dengan segala kelemahan ini, tetap menyerahkan jiwa dan raga demi menyeru umat kepada Islam. Apalah erti potensi anda berbicara, kiranya tidak kalian ucapkan “sebaik-baik bicara”?
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?"
(Surah al-Fushilat [41]:33)
Biarlah saya tidak mempunyai potensi berbicara seperti anda, namun setidak-tidaknya saya punyai keazaman dan kesungguhan untuk muncul sebagai “pembela.” Pembela agama daripada gejala kemurtadan. Pembela adik-adik remaja daripada gejala kehancuran. Pembela kebenaran daripada terus dihina-hinakan. Sedangkan anda yang mahir bicara, ke sudut manakah telah anda corongkan suara dan percakapan indah kalian? Kepada kebenaran, atau kepada kebatilan?
“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kami lah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.”
(Srah as-Shaff [61]:14)
Inilah yang saya pelajari, daripada tekak kering yang membelenggu diri. Sungguhpun sudah berapa paket gula-gula batuk saya telan, tetap tidak mengkontribusi kepada pemulihan tekakku ini. Kenapa? Kerana when I am ill, it is ALLAH who cures me.[5]
RUJUKAN
[1] Taarikhul Baghdaad: 14/209. Perkataan ini adalah perkataan yahya Bin Mu’az.
[2] Sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk “Iman dan harakah”
[3] Rujuk hadith ini di dalam buku M. Natsir, “Fiqhud Da’wah”, ms. 159
[4] Rujuk syarah kitab ini oleh Sa’id Hawwa di dalam Tazkiyatun Nafs-nya.
[5] Surah as-Syuara’ [26]:80
1 Comments:
Ermmm...minta maaf kalau kata2 sy menyinggung faridul,mungkin 'gula-gula batuk' tu bole melegakan / mengkontribusi kpd pemulihan tekak sesiapa sj jika kena pd cara mknnyer...kenapa faridul telan 'gula-gula batuk' tu...bukankah ianya perlu dihisap...it's just lozenges...for relief purposes...mungkin teknik telan x sesuai, skali lg minta maaf yer jika ader bahase di atas yg menyinggung...
SFazs
FZA
Port Klg
Post a Comment
<< Home