Wednesday, August 30, 2006

TANDAS “DUDUK” DAN TANDAS “CANGKUNG”

TANDAS “DUDUK” DAN TANDAS “CANGKUNG
Oleh: Engr*. Faridul Farhan Abd Wahab




Terlebih dahulu, saya mohon maaf andainya isu tandas yang ingin saya bangkitkan ini, dianggap lucah atau jijik oleh sesetengah pihak. Cerita berdasarkan kisah benar saya ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa –apatah lagi jika wataknya pun sememangnya budak-budak- cuma sebuah cereka untuk renungan dan iktibar kita bersama.

Al-kisah, sungguhpun ibubapa saya tinggal di kawasan kampung (dan bahkan beberapa kali terpilih sebagai Kampung Terbaik Negeri Selangor). namun, tandas di rumah ibubapa saya berkonsepkan tandas moden dengan mengimplementasikan stail dan gaya tandas-tandas moden seperti tandas duduk (yang ada mangkuk tandas tu..), shower, dan sebagainya.

Al-kisah juga, sepupu-sepupu saya yang masih kecil (dan comel), sering kali datang berkunjung ke rumah ibubapa saya lantaran mereka juga tinggal di dalam kampung yang sama. Menariknya, terjadi “fenomena aneh” (ceh…macam cerita Seekers TV3 pulak yer..) setiap kali mereka menggunakan tandas untuk menyahut “seruan alam.” Fenomena aneh yang saya maksudkan ialah, paip di dalam tandas itu akan sentiasa terbuka sepanjang mereka “melepaskan perasaan” di dalam tandas yang konon-kononnya serba moden ini.

Kisah ini bukanlah kisah hantu sebenarnya. Dan paip tadi, bukanlah terbuka dengan sendiri sebenarnya. Tetapi, sudah menjadi kelaziman sepupu-sepupu saya tadi untuk membuka paip sepanjang masa mereka berada di dalam tandas. Ketika ditegur oleh ibu, dek kerana amalan ini merupakan sebuah pembaziran, pantas disahut oleh sepupu saya; “ayah suruh buka paip bila berak?”

Terfikirkan anda kenapa sebegitu arahan ayah mereka?

Sebenarnya, tandas di rumah pakcik saya adalah tandas jenis cangkung, yang memang memenuhi rumah-rumah di kampung-kampung. Oleh yang demikianlah, pakcik saya menyuruh anak-anaknya membuka paip sepanjang masa berada di dalam tandas, supaya pengaliran air akan membantu menghilangkan bau busuk tandas (atau lebih kita kenali tandas jenis ini sebagai “jamban”) selain mengelakkan lubang tandas daripada tersumbat. Sayangnya, arahan pakcik saya ini disalah fahami oleh sepupu-sepupu saya, lalu mereka bertaqlid semata-mata, tanpa mengetahui bahawa arahan sang ayah ada ‘illah (sebab)-nya, dan arahan itu bergantung kepada kondisi dan situasi tertentu. ‘illah dan situasi, kedua-duanya turut berperanan dalam pelaksanaan konsep syariat, sehingga lahirlah ilmu yang dikenali sebagai maqashid syariah (tujuan pelaksanaan syariah) dan kaedah fiqh al-adah al-muhakkamah (adat dijadikan sebagai sumber hukum), atau dari segi ushul fiqhnya, al-‘urf atau kondisi.

GURU NANAK DAN KUCING ASHRAM

Kisah di atas mengingatkan saya terhadap situasi yang hampir serupa, tetapi dalam kondisi yang berbeza, berkenaan guru nanak dan kucing ashram[1], yang kisahnya seperti berikut:

Pernah suatu ketika Guru Nanak dan pengikut-pengikutnya mahu mengerjakan sembahyang cara mereka. Tetapi mereka diganggu oleh kucing ashram yang menyelit-nyelit di celah kaki mereka. Lantas Guru Nanak mengarahkan supaya kucing ashram itu diikat di tiang setiap kali mereka mahu bersembahyang.

Selepas beberapa ketika, Guru Nanak telah meninggal dunia. Pengikutnya masih mengamalkan ajaran Guru Nanak seperti biasa dan setiap kali mereka mahu bersembahyang, mereka akan menambat kucing ashram tersebut di tiang. Akan tetapi selepas kucing ashram itu mati, pengikut-pengikut Guru Nanak mencari pula kucing lain untuk diikat setiap kali mereka mahu mengerjakan sembahyang!

Berkurun selepas itu, barulah ahli teologi membongkarkan hal ini, betapa kesilapan telah berlaku apabila pengikut ajaran Guru Nanak menyangkakan bahawa sembahyang mereka tidak sah tanpa kucing yang ditambat di tiang! Mengapa semua ini terjadi? Jawapannya mudah, bertaqlid buta dan agama menjadi ritual. (--"The Guru's Cat" from The Song of the Bird by Anthony De Mello)

MENYAPU MUKA SELEPAS SALAM

Ustaz Hasrizal Jamil menceritakan (di dalam websitenya), tatkala sedang berprogram dengan pelajar-pelajar sebuah kolej di tepi pantai sambil belajar berzikir dan fikir terhadap kebesaran ALLAH berdasarkan surah Ali Imran [3]:190-191, beliau mengkisahkan cerita kucing ashram tersebut selepas solat seraya mengadukan pertanyaan kepada para pelajar, mengapa mereka menyapu muka selepas memberi salam?

Bukankah kita di sekolah pun diajar bahawa definisi solat, seingat saya, ialah “beberapa perkataan dan perbuataan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam.” Bahkan, jika kalian buka kitab-kitab fiqh yang muktabar pun, langsung tidak wujud perbahasan mengenai “menyapu muka selepas salam” di dalam bab solat, sama ada yang rukunnya mahupun yang sunnatnya.

Hal ini tidak akan berlaku, andainya kita memahami ‘illah di dalam amalan Nabi SAW, serta juga memahami keshahihan sesuatu amalan, adakah ianya diamalkan Nabi Saw atau bukan. Pernah tengok filem “ar-Risalah”, sebuah filem berkisar sejarah Nabi Muhammad SAW? Bukankah masjid yang digunakan oleh Nabi Saw dan para sahabat tidak bercarpet seperti mana masjid-masjid dan surau-surau di Malaysia ini, sehinggakan carpet atau sejadah (tikar sembahyang) seolah-olah menjadi syarat sah untuk bersolat?

MEMAHAMI ISLAM SEBAGAI SYARAT MELIHAT KEINDAHAN ISLAM

Maka, inilah sebabnya umat islam, terutamanya di bumi kita Malaysia, mengalami kemerosotan dan kebobrokan yang luar biasa dahsyatnya. Kemuncak kerosakannya, ialah tatkala 250,000 orang melayu murtad daripada agama suci ini. Siapakah yang ingin kita salahkan di dalam hal ini?

Yang engineernya, sibuk dengan urusan keduniaannya. Jika ada masa pun, sekadar untuk bermain futsal atau menonton wayang berbanding berjumpa umat dan mempergunakan sebaik mungkin ilmu engineeringnya untuk menceritakan kehebatan teknologi ALLAH dan betapa tidak mungkin aqidah free thinker bahawa alam semesta ini terjadi dengan sendirinya.

Yang doktornya, sibuk dengan urusan harta. Jika ada masa pun, sekadar untuk membuat kerja part time di klinik-klinik swasta, berbanding memberikan ceramah-ceramah dan halaqah/usrah dan menceritakan betapa tubuh badan manusia sendiri menjadi tanda-tanda kehebatan, kekuasaan dan kewujudan ALLAH.

Yang pelajarnya, sibuk dengan pelajaran semata-mata, lantaran keinginan mereka untuk cemerlang bukanlah berdasarkan niat LiLLAHi Ta’ala, sehinggakan dengan bergraduasinya mereka, bisa bermanfaat untuk islam dan umat. Tetapi, CGPA tinggi yang mereka kejar-kejar itu sekadar untuk memudahkan mereka beroleh kerja makan gaji semata-mata.

Semua ini terjadi lantaran kita tidak diajar dan dibawa untu melihat kesyumulan islam. Betapa islam tidak pernah terpisah daripada ilmu sains moden, sama ada bisnes, IT, engineering, perubatan, lain sebagainya.

SHAOLIN SOCCER

Mungkin ramai yang pernah menonton filem “Shaolin Soccer” lakonan pelawak terkenal Stephen Chow. Lihatlah bagaimana kesungguhan beliau untuk menyebarkan ajaran Shaolin, sehingga melihat Shaolin di mana-mana, di setiap aspek kehidupan. Lantas timbullah idea untuk menyebarkan Shaolin melalui nyanyian: ternyata suatu idea yang bodoh! Kemudian, beliau mendapat ilham untuk menyebarkan Shaolin melalui bola sepak, dan berhasillah beliau dek kerana niat/keazaman dan usaha yang bersungguh lagi gigih.

Zionis Yahudi, tatkala menjadikan niat membuat sebuah negara israel sebagai rukun hidup mereka, lantas belajarnya mereka dan bekerjanya mereka, semuanya bersandar pada landasan itu. Lalu dikuasailah ekonomi oleh mereka. Lalu dikuasailah negara oleh mereka. Lalu, dikuasailah teknologi oleh mereka. Sehinggakan begitu sukarnya kita mahu menjayakan kempen memboikot barangan Israel, lantaran begitu tergantungnya kita pada barangan mereka (sungguh ini semua adalah alasan semata-mata. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih).

Kita perlukan orang seperti Yahya Ayash. Niatnya belajar engineering adalah kerana ALLAH, lantas jadilah beliau pembuat bom pertama di bumi Palestin, dan ilmunya itu bermanfaat untuk perjuangan intifadhah menghalau Yahudi penjajah.

Kita perlukan orang seperti pakar perbandingan agama Dr. Zakir naik, atau rakyat tempatan Dr. Danial Zainal Abidin. Berbekalkan niat ikhlas mereka belajar di bidang perubatan, keilmuan mereka itu mereka gunakan untuk mengaitkan fakta sains dengan al-Quran, lalu ramailah orang memeluk islam di tangan mereka.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa Al Qur'an itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahwa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?”
(Surah Fushilat[41]:53)

Ya, kita memerlukan anda wahai sidang pembaca, kerana sesungguhnya kader-kader atau pejuang kebenaran kekurangan orang untuk mengisi perjuangan mereka. Vacancy yang paling banyak sekarang ialah menjadi penolong agama ALLAH. Anehnya, tidak ramai pula yang memohon untuk tugas tersebut, sedangkan “gaji” dan “bonus”nya dijamin lumayan oleh ALLAH Ta’ala.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”
(surah at-Taubah[9]:111)


“Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka dibunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik (surga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.”
(Surah al-Haj[22]:58)

“Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu “dikembalikan.
(Surah al-Baqarah[2]:245)

TARBIYYAH SEBAGAI SARANA PALING EFEKTIF

Maka, tidak boleh tidak, untuk memahami dan seterusnya melihat keindahan islam ini, haruslah anda berada di dalam suasana tarbiyyah. Hadirlah usrah-usrah atau halaqah-halaqah tidak kira gerakan islam apa pun, mudah-mudahan anda akan nampak keindahan Islam.

Ternyata, agama tidaklah sekompleks dan sesukar yang kita sangkakan. Islam adalah sebenarnya “nur” yakni cahaya yang turun kepada manusia dan menyinari mereka dan mengeluarkan mereka daripada “zulumat” atau kegelapan. Ertinya, agama turun untuk menjadikan kita cerdik, bukan menjadikan umat Islam kelihatan kuno dan kartun.

Sebagai contoh, buat anda yang taksub dengan mazhab Syafi’e dan begitu kuat berpegang bahawa rukhshah solat qasar hanya dibenarkan tatkala musafir kalian sudah melangkau 2 marhalah. Entah berapa 2 marhalah sebenarnya, sering tidak bisa kita jawab. Ada yang kata 96km. Ada yang kata 100km. Ada yang kata 90km. 83km pun ada. Begitu juga 86km. Bahkan, yang kata bahawa 2 marhalah di bawah 30km pun ada! Namun, kita ambillah contoh, bahawa 2 marhalah adalah bersamaan 90km.

Anda sebagai seorang yang teramat fanatik lagi taksub (lagi taqlid) terhadap mazhab Imam yang mulia Imam as-Syafie. Katakan anda telah melakukan musafir berjarak 89.9km. Ertinya hanya kurang 100m sahaja lagi untuk cukup 2marhalah. Bolehkah anda solat qasar, sedangkan jarak musafir anda tidak cukup 2 marhalah? Agak-agak anda, andainya Imam Syafi’e masih hidup, dengan kebijaksanaan beliau, apakah yang akan dijawab olehnya tatkala musafir seseorang hanya tinggal 100m atau lebih parah 1cm sahaja lagi untuk cukup 2 marhalah?

Inilah pentingnya memahami ‘illah ketika para imam mazhab yang mulia mengeluarkan fatwa. Juga memahami kondisi, kerana kondisi jugalah yang mendorong munculkan qaul qadim dan qaul jadid (fatwa lama dan fatwa baru) oleh Imam as-Syafi’e. Jadi, perlukah lagi anda bertanya hukum menyebut dan mengeja Mekah sebagai “Mecca” seperti mana saudara-saudara kita di Barat, dek kerana kononnya ianya di dalam bahasa Yahudi membawa maksud yang tidak baik? Atau, perkataan “bye” yang kononnya sebuah doa yang tidak baik di dalam bahasa yahudi, sedangkan pemahaman orang putih, bahkan seluruh penghuni planet bumi ini, bahawa “bye” itu adalah ucapan selamat tinggal? Jika begitu, perkataan “sabar” tidak boleh kita sebut, kerana kata “bar” di dalam bahasa Inggeris bermaksud “tempat menjual arak”. Adakah begitu fikiran kita?

INILAH LANGKAHNYA

Maka, inilah jawapan saya kepada pihak yang mempertikaikan usaha kita tatkala berusaha menyedarkan masyarakat tentang bahaya Kumpulan Artikel 11 dan IFC. Sungguh, penyelesainannya ialah dengan kita kembali memahami dan melihat keindahan islam. Dan caranya, tidak boleh tidak, melalui tarbiyyah! Persis seperti mana kata mantan mursyidul am yang mulia (Syeikh Musthafa Masyhur); “tarbiyyah bukanlah segalanya, tetapi segala-galanya tidak akan terjadi tanpa tarbiyyah!”

Jadi, tunggu apa lagi. Meh la tarbiyyah!

* penulis adalah Graduate Member kepada Instituition of Engineers Malaysia (IEM), berkelulusan B.Eng (Hons) Electrical Engineering (2004) dan Cert. Syariah (2005). Kini bertugas sebagai engineer di sebuah syarikat power plant.

RUJUKAN

[1] http://saifulislam.blogspot.com/2006/07/aku-salafi-anakku-bagaimana-saya-bukan.html

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog