Thursday, April 12, 2007

PANDULAH BERLAMPU DI WAKTU HUJAN…

PANDULAH BERLAMPU DI WAKTU HUJAN…


Jika anda seorang pemandu berhemah, tentu anda sudah sedia maklum, akan kesulitan, bahaya dan risiko yang dihadapi oleh seorang pemandu tatkala hujan lebat datang menjelma. Jika sampai hujan yang turun sampai-sampai menyulitkan pemandangan, sekurang-kurangnya dua peralatan yang harus anda hidupkan sebagai langkah keselematan di samping kelajuan yang dikurangkan dan pemanduan yang penuh kehati-hatian: hidupkan wiper dan nyalakan lampu.

Terkadang orang salah memahami akan tujuan atau maqasid syariah untuk menyalakan lampu di waktu hujan. Pada mereka, kehadiran lampu tidak langsung membantu penglihatan mereka, lantaran efek cahaya yang dihadirkan sang lampu seakan tidak kelihatan. Di sini mereka gagal memahami, bahawa menyalakan lampu di waktu hujan justeru bukan untuk kemudahan peribadi, tetapi bahkan untuk orang lain. Anda nyalakan lampu bukan untuk memudahkan penglihatan anda, tetapi memudahkan pemandu lain menyedari kehadiran kenderaan anda!

Ertinya, sifirnya songsang daripada yang anda sangkakan! Menyalakan lampu itu bukan bersifat “menerima”, tetapi lebih kepada “memberi”. Ia lebih kepada “menyumbang”, berbanding hanya “menikmati”. Anda memandu sambil menyalakan lampu justeru kerana memikirkan orang lain, berbanding memikirkan diri sendiri. Lalu, jadilah anda pemandu berhemah yang sering di promosikan oleh JPJ dan media massa.

Jika saja Ubai Bin Kaab hidup di zaman kini, barangkali definasi “taqwa” yang ditanyakan oleh Saydina Umar al-Khattab akan dijawabnya “umpama memandu kenderaan di waktu hujan.” Kerana di sana, terdapat juga unsur kehati-hatian sepertinya juga berjalan di jalanan yang berduri, bahkan ditambah sikap “memikirkan umat” berbanding hanya diri sendiri sebagai pelengkap ciri-ciri insan bertaqwa.

Lalu sedarlah wahai saudaraku, betapa para anbiya’ wal mursalihin, beserta para sahabat dan pengikutnya, adalah orang yang hidupnya “untuk orang lain”, bukan untuk diri sendiri. Mereka hidup untuk “memberi”, bukan hidup merintihkan “pemberian.” Hidup mereka bahkan rela dikorbankan, demi kemanfaatan dan kesejahteraan umat dalam naungan Islam yang indah. Umpamanya ungkapan Mujadid nan mulia Hassan al-Banna; “Kami bekerja untuk manusia kerana ALLAH lebih daripada kami bekerja untuk diri kami sendiri..”

Musibah yang menimpa mereka tidak pernah menikam sukma, lantaran jiwa mereka sibuk memikul musibah umat. Musykilah (permasalahan) mereka umpama kecil hendaknya, lantaran akal mereka sibuk memikirkan penyelesaian musykilah umat. Air mata mereka mahal harganya dan tidak pernah dan tidak akan pernah mereka tumpahkan air mata mereka yang sedia terhad itu untuk menangisi nasib mereka, lantaran air mata itu mereka optimakan guna menangisi kesedihan umat. Kerana mereka “menyalakan lampu kenderaan” itu di waktu “ribut”, bukan untuk diri mereka, tetapi bahkan untuk umat!

Seumpama ungkapan-ungkapan akhir Junjungan tercinta, “umatku! Umatku!”, maka sebegitulah juga mereka, dan sebegitulah pula hendaknya kita. Hingga tenanglah hatimu menghadapi ribut badai kehidupan, kerana “lampu”mu menyala bukan mengubat duka lara jiwamu, tetapi menghibur dan membelai duka lara umat.

Maka marilah kita memikirkan pula nasib saudara-saudara kita, hingga selamatlah pemanduan kita, hingga tiba bahagia, di destinasi abadi sana.

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mencinta iuntuk saudaranya seperti apa yang ia cintai untuk dirinya.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Faridul Farhan Abd Wahab
Electrical Engineer
Jimah O&M Sdn. Bhd
.

Thursday, April 05, 2007

[Mari membela islam]: Jawapan kepada soalan-soalan pelik berkenaan Israk dan Mikraj

Assalamualaikum

Seperti yang diminta oleh seorang ukhti muslimah, berikut saya paparkan jawapan saya dan jawapan yang saya kumpulkan berkenaan soalan-soalan seorang mamat kontroversi yang bertanya soalan-soalan yang juga kontroversi dan entah apa niat sebenar ia menimbulkan soalan ini, sebagai pedoman kita bersama.
Sahabat-sahabat dijemput untuk memikirkan bersama serta memberikan jawapan yang lain kepada soalan-soalan yang diutarakan. Berusaha menjawab soalan-soalan sebegini demi membela Islam rasanya jauh lebih berfaedah daripada dok gaduh sesama Islam, dok melagha, main-main, dan lain sebagainya.

Diakui jawapan-jawapan yang saya compilekan ini -compilation jawapan sendiri campur jawapan sahabat campur jawapan daripada al-ahkam- mungkin mengandungi kelemahan. Nasihat dan teguran amat dialukan. Tapi pastikanlah ia sebuah kritikan yang membina, sebab kita harus bersama-sama membela dan mempertahankan islam dalam kes ini. Jika ada soalan yang sebetulnya berpandu pada hadith yang lemah atau palsu, minta tolong dimaklumkan.

Kepada ukhti yang bertanya, saya pohon maaf kerana mengambil masa 2-3 hari untuk mempersiapkan jawapan.

1) Nabi dibelah dada masa dia kecik2 dulu, dan ketika sblm israk mikraj. Persoalannya, kenapa perlu dibelah dan dicuci hati baginda? Bukankah Tuhan boleh je kasi bersih tanpa perlu dibelah dan dibasuh? Bukankah boleh saja dijadikan Nabi tu time lahir2 je terus hati bersih tanpa perlu dibelah dan dicuci hatinya? Jadi mengapakah berlaku peristiwa begitu?

Kenapa perlu Nabi Isa lahir daripada perut seorang ibu bernama Maryam? Bukankah Tuhan boleh saja kasi terus ada macam Nabi Adam? Maka, terpulanglah pada Tuhan nak menentukan macam mana. Boleh ke setiap benda kita persoalkan, misalnya kenapa panggil singa sebagai singa, bukan rimau bermahkota ke, apa ke… atau kenapa manusia ada satu hidung, tak dua hidung… kalau Tuhan bagi ada dua hidung, nanti kita dok pertanyakan juga awat dua hidung tak tiga hidung ke, satu hidung ke…

Juga, sebagai simbolik. La.. nanti kalau takde peristiwa tu, hang dok pertikai gak betul ke hati nabi bersih. So peristiwa itulah untuk buat hang tahu hati Nabi bersih, coz malaikat dah cuci. Tapi bila ada peristiwa tu, hang persoalkan jugak…

Mengapa perlu di belah dada Nabi sedari kecil hanya kerana untuk menerima nubuwwah kerasulan? Jawapnya oleh kerana tempat terima wahyu itu hati dan hanya hati yang bersih sahaja wajar menerima wahyu maka hati itu perlu di bersihkannya dari sebarang kotoran.Soalnya kenapa perlu mengadakan pembedahan bukankah Allah boleh perintahkan sahaja.Jawapnya itulah hikmah yang tersembunyi 1000 macam pengajaran.Tahukah mereka Bapa kedoktoran itu Ibn Sina mendapat ilhamnya tentang teknik pembedahan dari mana kalau bukan dari peristiwa ini.Tahukah mereka hasil kajian modern juga tidak dapat menolak ubat bagi penyakit hati dan darah ialah dengan mengantikan darah baru yang bebas dari sebarang kotoran dan homoglobin.Tahukah mereka teknik penyucian jiwa lewat yang dilakukan pelbagai aliran tasawuf dan sufi juga mengambil pendekatan ini.Tahukah mereka teknik psikologi juga memerlukan pemusatan pengosongan jiwa dari sebarang masalah sebelum jiwa yang lara itu di ubati secara psikologist. Kesemua teknik - teknik ini di ambil hasil dari peristiwa tersebut.

2) Semasa israk, Nabi ada singgah di satu masjid (tak ingat lak masjid mana) dan mengimami solat yg mana makmumnya ialah semua nabi2. Persoalannya, boleh ke kita mengimami solat yang makmumnya ialah orang2 yang dah mati? Apa hukumnya ya?

Bukankah Nabi SAW balik dari Thaif solatnya diikuti oleh para Jin? Apa masalahnya? Takkan la batal plak coz mengimami jin solat? Tanya hukum tadi kan…? Kalau Nabi mengimami roh solat pun, tak kan la batal plak solat baginda? Kan orang Melayu suka bahaskan bab “perkara-perkara yang membatalkan solat”, tak pernah dengar pulak Antara perkara yang membatalkan solat ialah mengimami orang yang telah mati….

Kalau Allah mampu mencipta manusia dari tiada kepada ada, bukankah lebih mudah bagi Allah mewujudkan barang yang memang sudah ada.Contoh, Ilmu pengklonan - manusia hanya menggunakan bahan yang sudah terhidang dan tersiap hanya perlu diuraikan kondisi molekul - molekul dan sel - sel DNA lalu melalui kecanggihan teknologi terkini para saintis berupaya mengklonkan sesuatu.Kalau ini mereka boleh di terima kenapa pula mereka tidak boleh menerima Allah boleh menghidupkan sesuatu yang tiada kepada ada, apatah lagi menghidupkan sesuatu yang dulunya memang ada sekarang tiada kepada ada.

Apa pun, darjat hadith ini, seperti yang direkomenkan oleh seorang sahabat, harus dicheck balik. (maaf yer, saya tak sempat nak rujuk balik kitab hadith and kitab sirah, sebab mahu jawapan segera kan..)

3) Based on soalan 2 tadi,bukankah time israk mikraj itu baru Nabi diberi oleh Tuhan pasal SOLAT? Jadi bagaimana cara baginda solat sebelum israk mikraj tu kalau time tu tak dapat lagi perintah solat dari Tuhan?

Apa la hang ni… cuba baca balik kitab2 sirah… depa ada bahaskan bagaimana cara nabi SAW solat sebelum israk mikraj.

Sebelum disyariatkan Ibadah Solah seperti yang di buat sekarang, sudah ada ibadah - ibadah khusus seperti mana Sayid Sabiq menukilkan dari hadith yang bertaraf hasan ( Kalau tidak silap - ini berdasarkan ingatan)antara lain nabi berkata aku diutuskan hanya untuk membenarkan doanya Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.Bahkan ibadah haji hingga ke hari ini mengikut seperti mana sunnahnya Nabi Ibrahim dan Ismail.Puasa & Zakat juga sudah ada syariatnya sebelum Islam begitu juga dengan solat (Saya yakin itu) CUMA kedatangan Islam melengkapkan dan mengembalikan kedudukan Ibadah - ibdah khusus ini.Sekali lagi jika mencipta sesuatu yang baru itu sudah mudah perkiraannya apatah lagi kalau memang benda itu sudah ada lebih lah mudah.

Lebih lanjut, boleh tengok perbahasan Ramadhan al-Butty berkenan cara solat Nabi sebelum israk mikraj ni..

4) Nabi dikatakan "NAIK" ke langit. Apa yang dimaksudkan dengan "NAIK" tu? Dan secara pastinya, apabila dikatakan "naik", mestilah ke atas. Dan kita sedia maklum bahawa bumi ni bulat. Jadi, arah manakah yang sebelah atas?? (Jawapan kalau sebijik mcm dalam cerita Sudirman dan Atai tu akan ditolak mentah2..).

Matahari naik dari arah timur… hakikatnya matahari tak naik kan?

Baik, sebelum terciptanya kapal terbang dan roket manusia zaman bahari kalau di ceritakan soal mikraj pasti mereka akan berkata " ini kerja gila".Baik, sekarang tahun 2007, soal terbang keudara lewat pesawat terbang bahkan ke angkasa lepas juga bukan lagi kerja gila.Hanya apabila akal dapat menerima berita tersebut maka sebutan gila dan seumpamanya tidak akan timbul.Ini bermakna akal manusia yang menolak mikrajnya nabi samalah halnya akal manusia yang hidup pada zaman bahari yang tidak pernah terfikir dan tergambar bahawa satu hari nanti manusia bisa terbang keudara bahkan boleh menerewang keangkasa.Semua ini hanyalah faktor waktu dan ketika

5) Based on soalan 4 tadi, "LANGIT" tu apa sebenarnya? Apa definisi langit? Dan cuba sesuaikan dengan jawapan pada soalan 4 tadi.. Sesuai ke tak? Jadi, langit tu apa?

Cuba tanya Rosyam Noor, kan dia berlakon dalam filem “berlari ke Langit”, hehe…

Langit itu apa? kaedah bahasa apabila disebut langit bermakna sesuatu yang berada diatas jauh nun disana.Contoh langit - langit letaknya di atas lidah.Jadi apabila di sebut langit itu kefahaman hari ini adalah angkasa lepas bahkan lebih lagi dan tidak terurai.Ini di sebabkan oleh kerana keterbatasan akal menanggapi hakikat persoalan setiap ciptaan Tuhan.Bahkan Allah mencabar manusia supaya berfikir dan merenung setiap kejadian CiptaanNya.
Itulah indahnya bahasa al-Quran. Nak menafsirkan satu perkataan arab ke dalam bahasa Melayu pun, tersangat luas, sangat sukar nak tahu apa maksud sebenar perkataan itu, dek kerana satu perkataaan arab mempunyai terlalu banyak maksud.

Jika anda tengok huraian Dr. Zakir Naik berkenaan maksud “alaqah” (dalam surah Iqra’ kan dikatakan manusia dibuat daripada alaqah), bahkan semua maksud kepada perkataan “alaqah”, daripada segumpal darah kepada sesuatu yg seperti lintah dsb, semuanya saintifik. Lebih lanjut sila tonton debat Dr. Zakir naik dengan Dr. William Campbell di USA bertajuk (tak silap) “Quran and Bible in the light of science”, boleh didapati di Saba Islamic Media. Nak pinjam dari saya pun boleh…

6) Nabi telah masuk ke syurga dan neraka dan melihat macam2 jenis orang di sana. Persoalannya, mcm mana leh ada orang kat sana sedangkan kiamat pun belum lagi? Bukankah sepatutnya kosong dulu sbb semua manusia tgh hidup kat dunia? Kalau ada yg dah mati pun, bukankah mereka masih di alam Barzakh?

Ingat lagi teori realitiviti Einstein, E=MC2?

diperlihatkan syurga dan Neraka."Di perlihatkan" bermakna Nabi s.a.w. di paparkan peristiwa yang pasti berlaku di suatu masa akan datang samada hal keadaan di dalam syurga mahupun di dalam neraka. Samalah halnya orang yang di beri rukyah atau kelebihan melihat sesuatu peristiwa sebelum berlakunya peritiwa tersebut.Di dalam ilmu sains disebut ilmu knitik/Psikik. Cuma bezanya ilmu ini hanya di beri gambaran - gambaran kasar dan tidak khusus sedang hal keadaan Nabi jauh berbeza Nabi di paparkan kejadian benar yang pasti akan berlaku.

Bukankah orang kena sauntau pun boleh diperlihatkan pada dia macam-macam benda? Atau orang yang dok koya (maksudnya berangan-angan dalam bahasa kelate) pun nampak macam-macam benda? Cuma bezanya, ALLAH berkemampuan memperlihatkan hal yang benar-benar akan berlaku.

7) Bukankah taraf Nabi ialah KEKASIH TUHAN? Dan bukankah baginda juga ada mengaku bahawa baginda itu sendiri adalah "gedung ilmu" (yg mana Ali ialah kuncinya). Bermakna, apabila menjadi kekasih kepada Yang Maha Mengetahui, SECARA PASTINYA, pengetahuan baginda adalah 2nd ranking dalam keseluruhan alam semesta.
Jadi, bila dah mcm tuh, kenapa masih tanya Jibril time perjalanan israk? "Jibril, apa tu?""Itulah sekian, sekian dan sekian, ya Rasulullah.."Sudah geharu, cendana pula.. Sudah tahu, kenapa baginda masih bertanya?

katakanlah kamu di sukai oleh sultan, pada satu hari sultan memerintahkan 'Panglima Dalam' membawa kamu ke Istana yang mana tidak pernah ada orang seperti kamu di beri penghormatan sedemikian.Jadilah kamu seperti jakun masuk ke pekan setiap benda begitu asing bagi kamu, tidakkah ketika itu pasti kamu bertanya kepada 'Panglima' tadi apa itu dan apa ini. Samalah halnya keadaan Nabi s.a.w.

Juga, orang yang tawadhu’ pun selalu begini. Walaupun mereka dah tahu, terkadang mereka tetap bertanya kepada ustaz, demi mendapat jawapan baru yang mengkayakan lagi ilmu mereka.

Juga, Nabi Ibrahim walaupun meyakini ALLAH mampu menghidupkan yang mati, tetap minta pada ALLAH untuk menunjukkan contoh bagaimana DIA menghidupkan yang mati, demi menambahkan keyakinannya.

Apa pun, saya rasa soalan ini sangat tak kena, coz sepatutnya dia tahu bahawa Nabi Saw saja, contohnya soalan berkenaan kiamat (lihat hadith arbain no. 2), atau soalan berkenaan roh (lihat surah 17:85), Nabi tak tau. Juga ketika keluar hadith “antum lebih tahu rusan dunia antum” berkenaan pertanian… so apa masalahnya Nabi Saw bertanya?

8) Israk Mikraj itu merupakan kiranya satu grand ceremony utk semua penguni langit. Maka secara pastinya semua penghuni langit tahu siapa yg datang. Persoalannya, kenapa time tiap2 kali sampai pintu gate, penjaga gate tanya "Siapa tu?" sebelum bukak gate? Kalau dah tau siapa yg datang, kenapa masih tanya?

Berbalik jawapan #7 - untuk masuk keistana perlu melalui banyak pintu, contohnya pintu gerbang, pintu ke balai penghadapan, pintu ke balai santapan dan macam - macam lagi.Dan setiap pintu itu ada pengawalnya.Baik, Sultan sudah pun menitahkan kepada seluruh kakitangan Istana bahawa sekian waktu dan tarikh seorang tetamu Istimewa bakal datang. Wajar atau tidak setiap penjaga pintu - pintu gerbang istana bertanya siapakah yang dibawa oleh Panglima Dalam tadi (si Sang utusan Sultan).Walaupun mereka tahu tetamu istimewa bakal datang hari itu bahkan mereka sudah diberitahu siapa pun dia tetapi untuk konfimasi/kepastian pasti sang penjaga tadi tetap akan bertanya siapa itu bersama dengan panglima tadi? samalah halnya keadaan Nabi s.a.w.

Kalau anda kerja di pejabat misalnya yang takde CCTV di pintu, walaupun anda tahu ada menteri akan buat lawatan ke syarikat anda pada hari ini, tetap saja bila ada orang “ding dong” pintu anda, anda akan tanya siapa dulu, ye kan? Tak kan la asal ada orang “Ding dong” terus anda akan buka? Amboi.. payah la macam tu, kang hilang barang ofis kang….

9) Bila nak sampai Sidratul Muntaha, Jibril cakap yang dia tak boleh lepas sempadan tuh. Kalau diteruskan juga, maka Jibril akan terbakar. Persoalannya, bukankah malaikat itu dijadikan daripada cahaya? Mcm mana cahaya boleh "TERBAKAR"? Kalau pasir dibakar, jadi kaca.. Benda lain dibakar, jadi abu atau arang. Besi dibakar, jadi cecair ogam panas. Tapi kalau cahaya terbakar, mcm mana tuh??

sesampai di balai penghadapan pada setakat itulah yang termampu yang di hantarkan oleh sang panglima, kerana wilayah wewenangnya hanya sekadar itu.Jika ia melampaui sempadan bukankah ia mendapat murka dari sultan maka terbakarlah hatinya.Jika sudah terbakar hatinya bukankah mati akibatnya.....tidak bahkan sang panglima itu masih lagi bernafas yang terbakar jiwanya yang hancur jiwanya bukan jasadnya.didalam kes jibril wallahu'alam.

Siapa kata cahaya tak bisa terbakar? Pernah dengar pasal “laser”?

Juga, pernah dengar kan soalan orang tentang bagaimana iblis rasa sakit tatkala bimasukkan ke neraka sedangkan dua-dua dibuat daripada api?

Apa pun, seperti yang disarankan oleh seorang sahabat, check dulu kisah ni betul ke ada dalam kitab sirah dan hadith atau tidak.

10) Solat tu siapa yg punya? Kenapa Tuhan tak pass je kat Jibril? Kan lebih mudah? Kenapa Nabi yg kena naik ke langit ambik sendiri?

Rasanya soalan ni dah sering dijawab dalam ceramah2 tentang Israk Mikraj. Bila Nabi Saw naik sendiri ke langit untuk urusan wahyu berkenaan solat, maka itu menunjukkan solat itu penting.

Juga, Israk Mikraj ni perlu untuk membesarkan dan menghiburkan hati Nabi SAW sebab tahun tu kan tahun dukacita. Nabi SAW kehilangan 2 orang yang sangat disayanginya.

11) Bila balik ke bumi, kenapa nabi jumpa Abu Jahal dulu? Kenapa tak jumpa Abu Bakar dulu?

Mintak check dulu cerita ni, hadith shahih ke idak. Camana ceritanya? Jumpa memang saja nak jumpa ke atau terjumpa?

12) Atas dasar apa Abu Bakar terus percaya pada kes Israk Mikraj tu? Ya, Abu Bakar sememangnya diberi gelaran As-Siddiq (yang membenarkan) kerana mengiyakan segala apa yang Nabi perkatakan. Tetapi dia bukan jenis ikut buta2. Maka atas dasar apa, dan atas rasional apa dia percaya kepada apa yang Nabi cakap?

Bila mana seseorang insan tak berbohong langsung sepanjang hidupnya...then bila diceritakan sungguh2 apa yang berlaku pada dirinya sudah tentu dia akan percaya.
Seorang isteri yang selama ini dilayan dengan baik oleh suaminya, tentunya akan percaya bila suaminya mengatakan betapa ia cinta pada dirinya. Sama la dengan kes ni..

13) Selepas peristiwa tu, orang banyak kecoh. Persoalannya, kenapa orang ramai time tu hanya mempersoalkan tentang Israk, dan susah gila nak percaya apa yg Nabi cakap sebab hal Israk semata2. Tetapi kenapa haram sekor pun takde nak mempersoalkan tentang Mikraj?

Macam ni la, boleh tak lain kali kita check dulu hadith tentang peristiwa ni.

Tu sebab, masalah memastikan kesahihan hadith sangat penting, agar tak terjadi tuduhan-tuduhan dan dakwaan-dakwaan sebegini. Janganlah bila kita habaq hadith ni tak betul, hadith ni palsu, Nabi SAW tak buat begini, kita bahkan menjawab “ada ustad dok buat” atau “hang ni mesti wahabi” dan lain sebagainya. Saya rasa soalan ni sangat pelik, iye iye je orang dok sibuk sembang pasal Israk je tak sembang pasal Mikraj.

Marilah sama-sama kita baca balik kitab sirah dan sambil itu kita lihat juga status hadithnya agar kita tak tersesat jalan. Saya menyeru pada sahabat-sahabat semua, dan pada diri saya juga (sebab saya pun tak sempat check hadith dan kitab sirah sebenarnya..)

Wallahu a’lam.

Tuesday, April 03, 2007

MAGNET FUEL-SAVER

MAGNET FUEL-SAVER
Oleh: Engr* Faridul Farhan Abd Wahab


“Lebih kilometer dengan perjalanan pergi balik KL-Ipoh setiap minggu.”
-pemandu kereta Proton Perdana v6 2.0a


“…dulu 40 liter (RM77) dapat 350km, sekarang boleh sampai 450km. Enjin pun lebih smooth.”
-pemandu kereta Toyota Vios 1.5



Dewasa ini, produk penjimatan minyak untuk kenderaan berenjin tampil dengan banyaknya. Komen di atas adalah antara testimoni sebenar (kononnya) pelanggan yang telah merasai penjimatan minyak “hingga 35%” seperti yang dicanangkan oleh salah sebuah syarikat pengeluar magnet fuel-saver yang mendeklarasikan produknya sebagai “terbukti berkesan!” Konon, selain penjimatan minyak, enjin lebih senyap dan lancar, pecutan lebih baik, kurang gegaran enjin, jaminan 15 tahun, tidak luput waranti kenderaan dan macam-macam lagi hikmah dan manfaat menggunakan produk berasaskan magnet ini.

Bagi alat penjimat minyak berasaskan magnet, ia dipasang di hos minyak untuk membantu pemecahan molekul bahanapi (hidrokarbon) dengan lebih efisien. Hasil penyelidikan membuktikan bahawa super-magnet NdFeB boleh membantu pemecahan kelompok molekul bahanapi (petrol/ diesel/ gas). Ini membantu pembakaran enjin lebih efisien yang membantu mengurangkan penggunaan petrol serta meningkatkan kuasa. Maklumbalas pelanggan juga membuktikan ia membantu 10 hingga 35% lebih kilometer.

Namun, produk penjimatan minyak yang manakah merupakan yang terbaik dan harus menjadi pilihan? Yang berasaskan pil kah, atau yang tampil dalam bentuk magnet yang lebih berkesan? Produk terbitan Jerman kah, atau yang ditampilkan Jepun yang lebih membawa penjimatan?

Di sini, setiap pengeluar alat fuel-saver harus menguasai ilmu marketing, jika ingin melihat produknya menguasai pasaran. Sungguhpun benar produk fuel-saver jenama A misalnya lebih terbukti berkesan berbanding produk fuel-saver jenama B, semua itu tiada ertinya jika produk B lebih terjual lagi menguasai pasaran berbanding A yang hakikatnya lebih berkesan.

Semacam suatu tindakan yang bodoh jika pengeluar jenama A tetap sombong dan angkuh dengan spesifikasinya yang justeru lebih baik dan lebih berkesan berbanding jenama-jenama lainnya, hingga enggan memperbaiki marketing produknya sungguhpun produknya itu paling tidak laris di pasaran. Apa ertinya andalah yang paling benar, jika langsung tidak ada orang yang mahu membeli produk anda, hanya kerana kegagalan anda dalam permasalahan marketing?

Lalu, begitulah juga dengan kita, wahai pengikut sunnah, wahai pengikut manhaj salaf. Apalah ertinya dalil kita yang paling benar, hadith kita yang paling sahih, namun kedegilan kita berpegang pada pendapat kita, lalu menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak hingga langsung menolak seruan kebenaran yang kita bawakan? Benar, pendapat kita yang paling kuat, tapi adakah memenangkan pendapat yang paling kuat sahaja yang harus kita laksanakan, sedang marketing kepada masyarakat agar mereka pula bisa menerima pendapat yang paling kuat itu tidak sangat penting sehingga kita sanggup bergaduh dan enggan memikirkan pendekatan yang lain hanya kerana pendapat yang paling kuat yang padanya kita bersandar tadi?



Bukankah Nabi kita yang mulia –selawat dan salam ke atas-nya- pernah memperingatkan tentang pentingnya marketing da’wah ini lewat hadithnya; “Kami diperintah, supaya berbicara kepada manusia menurut kadar akal (kecerdesan) mereka masing-masing.” (Hadith rowayat Muslim)

Bukankah menyelesaikan segala kezaliman dan kerusakan secepatnya –misalnya- adalah antara pendapat yang paling benar, sehinggakan anak kepada Umar Abdul Aziz sahaja pernah bertanya pada ayahnya atas gerangan apa ayahnya kelihatan semacam bertangguh-tangguh untuk menegakkan sebuah kebenaran? Lalu, Umar sebagai bukan sahaja pengeluar “produk kebenaran” tetapi juga “pemasar produk kebenaran”, dalam pengertian bukan sahaja ingin menegakkan kebenaran tetapi juga inginkan umat mengikuti kebenaran itu tadi, lantas menjawab [1];

“Wahai anakku, janganlah engkau tergesa-gesa! Sesungguhnya ALLAH telah mencela khamar lewat al-Quran sebanyak 2 kali, dan mengharamkannya pada kali yang ke-3.Jika aku memaksakan kebenaran pada manusia dengan sekaligus, aku khuatir mereka akan menolaknya sekaligus pula, sehingga hal itu menjadi fitnah.”

Umpama produk fuel-saver, kita bukan hanya mahu berbangga sebagai produk penjimat minyak yang paling benar dan terbaik, tetapi kita juga inginkan agar produk kita menjadi yang terlaris dan paling laku di pasaran.

Adakah kita wahai pencinta sunnah memahami apa yang pernah dilakukan oleh baginda Nabi S.A.W pada saat Fathu Mekah, iaitu tatkala baginda membiarkan Baitul Haram (Ka’bah) apa adanya, padahal sebenarnya beliau ingin mengembalikan keaslian bangunan itu sebagaimana ia dipancangkan pertama kali oleh Nabiyullah Ibrahim A.S, seperti hadith-nya seperti yang diceritakan oleh Aisyah R.A;

“Seandainya kaummu bukan kamu m yang baru sahaja meninggalkan Jahiliyah, nescaya akan aku robohkan Baitullah itu dan akan kubangunkan kembali berdasarkan fondasi (Nabi) Ibrahim.”[2]

Maka marilah perbaiki “marketing dakwah” kita, wahai pengikut sunnah, agar bisa menepati da’wah bil-hikmah yang dilaung-laungkan oleh al-Quran, insyaALLAH. Kita mula mendengar keluhan dan cemuhan para “pengkritik AF” yang hanya tahu mengkritik kita, untuk kita bina suatu strategi baru demi memastikan masyarakat menerima hujah kita. Kerana “Fuel save”r yang terbaiklah, yang harus menguasai pasaran!

RUJUKAN

[1] Dr. Yusuf Qardhawi, “Fatwa-fatwa Kontemporer (Jilid 2)”, Gema Insani Press (1995), ms. 1040-1041

[2] Jum’ah Amin Abdul Aziz, “ad-Da’wah, Qawa’id wa Ushul (Fiqih Dakwah: Prinsip dan Kaidah Asasi Dakwah Islam)”, Era Intermedia (2003), ms. 169



*Penulis adalah Graduate Member kepada Institution of Engineers Malaysia (IEM) yang membawa gelaran “Engineer (Engr.)”. Berkelulusan B.Eng (Hons) Electrical Engineering dan Sijil Pengajian Syari’ah. Kini bekerja sebagai engineer di sebuah power plant.

Ukhwah.com :: Top Blog