SERANGGA
SERANGGA
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab "sudahkah aku berjiwa besar?"
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab "sudahkah aku berjiwa besar?"
Berpindah ke rumah baru tidak semesti semuanya meriangkan. Apatah lagi jika keharmonian rumah baru itu diganggu oleh serangga perosak sama ada semut, lalat, cicak, lipas dan lain sebagainya. Bisakah makanan anda kekal bersih lagi menyihatkan jika tidak ditudung, sedang lalat sentiasa menanti-nanti untuk hinggap dan menyebarkan penyakit? Bisakah tidur anda nyenyak sampai mulut anda ternganga, sedang cicak berlatih ketepatan dengan berak tepat ke mulut anda, atau setidak-tidaknya ke bantal anda? Bisakah anda menikmati kekemasan dan kebersihan rumah anda, sedang semut sentiasa berbaris mempamerkan “ukhwah” dan kerjasama mereka? Bisakah anda makan tanpa membasuh pinggan sebelumnya, sedang anda tahu lipas sering merayap-rayap ke rak pinggan mangkuk anda?
Berpindahlah ke mana pun. Terokailah kawasan mana pun. Sama ada membuat rumah di ladang estet, atau menerokai kawasan hutan di sisi air terjun, atau membuat rumah “Laksamana Do Re Mi” di atas pokok, tentunya kelak akan anda sedar bahawa hidup anda tidak akan pernah sunyi daripada hidupan-hidupan, atau setidak-tidaknya serangga-serangga.
Maka jika anda seorang yang terlampau tinggi citarasanya, mahu menginap di rumah yang tiada nyamuk misalnya, tiada semut misalnya, tiada cicak misalnya, maka hotellah tempat yang paling sesuai untuk anda. Namun, sanggupkah anda mendiami hotel seumur hidup anda, sedang anda sedar anda bukanlah hartawan, bukanlah jutawan, bukanlah karyawan, bukanlah ilmuwan, bukanlah Chef Wan, hanya berkemungkinan ditimpa sakit sawan!
Lalu pantaslah berkonklusi, betapa dalam hidup ini, kita tidak bersendirian! Ada makhluk-makhluk lain, ada hidupan-hidupan lain, yang harus sentiasa diperhatikan. Dan harus kita memberikan tumpuan.
Jika anda tidak memberi tumpuan pada lalat misalnya, you’ll never know sama ada makanan anda bersih dan menyihatkan, lantaran anda gagal untuk memantau sama ada sang lalat hinggap di makanan atau tidak. Jika anda gagal menyedari kehadiran semut, maka relakanlah makanan-makanan manis anda itu, menjadi bahan infak buat komuniti yang tahu menghargai makna ukhwah, yang tahu memaknai pengertian disiplin ini. Kesimpulannya mudah; you are not alone in this world!
Itulah sebabnya, lantaran bukan hanya ada kita di dunia ini, maka haruslah kita sedar, bahawa hidup ini bukan hanya ada “diri kita”, dan hidup ini bukanlah untuk “diri kita”. Ertinya, jika kita tertimpa musibah, tentunya orang lain juga tertimpa musibah, namun apakah mereka merenggek-renggek sedahsyat kita, atau mereka mampu sabar, redha dan tawakal dalam mencari penyelesaiannya?
Jika kita sibuk hingga tidak bisa membela agama kita, apakah mereka-mereka yang lain tidak sibuk, kerjayanya hanya goyang kaki saja, sehingga tetap istiqamah membela agamanya walau di mana pun mereka berada? Adakah para sahabat R.A itu semua kerjanya adalah penganggur atau peniaga semata-mata, sehingga munasabahlah mereka mampu menyebarkan Islam di seluruh pelusuk dunia?
Mungkin itulah sebabnya ALLAH menempatkan orang yang tahu berbakti untuk orang lain, di tempat yang istimewa iaitu Syurga. Sabda Nabi SAW; “sungguh, aku melihat seseorang mundar-mandir di dalam Syurga kerana sebuah pohon yang pernah ditebangnya dari punggung jalan yang mengganggu kaum Muslimin.”
(Hadith riwayat Muslim)
Itulah sebabnya, apabila kita sedar bahawa bukan hanya kita saja yang hadir di permukaan bumi ini, kita akan bisa menjauhi sifat keluh-kesah yang sering menghantui diri kita. Kita akan dapat menghindari sikap suka beralasan tatkala kita lewat menyahut panggilan Tuhan, lantaran kita sedar dan senantiasa bermuhasabah, mengapa orang lain bisa (merespon panggilan dakwah dengan cepat) tetapi tidak saya? Jika saya ada urusan dalam menunaikan kewajipan dakwah, tidakkah orang lain juga ada urusan, namun tetap siap menunaikan kewajipan dakwah? Kenapa hanya saya yang diberi “pengecualian” dan “keistimewaan” untuk tidak berdakwah, tapi tidak orang lain? Lalu dengan sikap sebegini, kita pun dihidangkan dengan ganjaran Syurga.
“Siapa yang ingin dijauhkan dari Api Neraka dan masuk Syurga maka hendaklah dia mati dalam keadaan bersaksi tiada Ilah kecuali ALLAH dan bahawa Muhammad adalah utusan ALLAH, dan hendaklah memperlakukan orang dengan apa yang disukainya untuk diperlakukan terhadap dirinya.”
(Hadith riwayat Muslim)
Tidak hairanlah Engineer terkemuka al-ustaz Fathi Yakan dalam karya monumentalnya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam?”, tidak lupa untuk meletakkan satu tajuk tentang kewajipan dan tanggungjawab ukhwah, lantaran benar, apalah ertinya saya menganut Islam, jika saya hidup tanpa menjanakan semangat ukhwah?
Sabda Nabi SAW: “Sekiranya seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dalam usaha untuk menunaikan keperluannya (dan baginda memberi isyarat dengan dengan jejarinya), adalah lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjidku selama dua bulan.”
(Hadith riwayat Hakim dan Tabarani daripada Ibnu Abbas)
Ya, berjalannya kita melayari pentas kehidupan, tidak semestinya demi memenuhi keperluan hidup kita, tetapi bahkan harus diseringkan untuk memenuhi keperluan orang. Bergeraknya kita meredah rimba kehidupan, tidaklah semata memenuhi keinginan kita, tetapi seringkan untuk menjayakan keinginan umat. Hidup kita untuk anda, bukan untuk diri kita semata-mata.
Sabda Nabi SAW; “Barang siapa yang tidak memerhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia bukanlah dari kalangan mereka”[1]
Bukankah Nabi SAW juga memohon perlindungan ALLAH daripada berkeluh-kesah? [2]
Renungkanlah kembali nasihat pesanan ulama’ tersohor bernama Sa’id Hawwa ini:
Setiap ikatan ini memiliki beberapa derajat……
….Demiikian pula persahabatan berlainan derajatnya. Hak persahabatan dalam pengajaran dan kantor (pejabat) lebih kuat ketimbang hak persahabatan dalam perjalanan. Demikian pula persahabatan, bila sudah kuat menjadi ukhuwwah (saudara), bila bertambah menjadi mahabbah (kekasih) dan bila meningkat lagi menjadi khullah (teman setia).[3]
Apabila hidup kita senantiasa memikirkan teman setia, apakah mungkin kita tunduk menangis meratapi musibah, kesulitan dan permasalahan yang menimpa diri kita? Adakah air mata kita yang tumpah meratapi kedukaan diri kita, semahal darah syahid yang tumpah daripada sahabat nabi Khubaib bin Adi (R.A), yang tumpah demi menyalakan lilin agama? Tetap tabah hatinya, hingga menoktahi diari kehidupannya dengan solat sunat 2 rakaat, sebelum menemui kemuliaan di tiang gantung. “Kalau sekiranya aku tidak khawatir kalian menganggapku memanjangkan shalat kerana takut mati, niscaya aku akan melakukannya. Oleh kerana itu, saya memendekkannya”[4] kata Khubaib mantap.
Maka redhalah mendiami rumah baru, dan ingatlah bahawa anda memang tidak bersendirian. Siapa tahu, mungkin anda bisa bersahabat dengan Cicak-man?
RUJUKAN
[1] Hadith ini menurut Qaradhawi adalah dhaif. Namun –menurut sahabat penulis yang merupakan lulusan bidang hadith di Madinah- adalah bertaraf Hasan menurut Bin Baz. Apa pun, hadith-hadith yang lain memperkuatkan matan (kandungan) hadith ini.
[2] Rujuk al-Ma’thurat
[3] Sa’id Hawwa, “Mensucikan Jiwa: Kaedah tazkiyatun nafs bersepadu”, Pustaka Dini Sdn Bhd. (2001), ms. 645
[4] Dr. A’idh al-Qarni, “Jadilah Pemuda Kahfi: Ekspresi cinta seorang ulama kepada pemuda”, Aqwam (2006), ms. 94-95
1 Comments:
salam buat akhi,
lupa sudah bagaimana ana boleh melewati web ini. tapi bersyukur krn masih wujud web2 yg menyuntik nilai islami.justeru,saban minggu,ana pasti melayari web anta.semoga penulisan dpt diteruskan kerana ia salah satu method utk berdakwah.
Post a Comment
<< Home