Tuesday, July 04, 2006

"Anak-anak Palestin, Maafkan Kami..."



Satu perkara yang tidak bisa kalian lupa, bahawa saya, dengan tempoh masa 25 tahun berkelana di bumi ALLAH ini, masih merupakan seorang pemuda, dan -sudah barang tentu- mempunyai naluri dan sifat-sifat kepemudaan.

Ya, naluri kepemudaan. Naluri yang mudah bergocak, dan mudah tersentuh. Naluri yang marak bersemangat, sehinggakan sering kali hilang sabar, lalu memungkinkan "isti'jal" (ketergesa-gesaan) dalam bertindak, dalam bersemangat, dalam beramar ma'ruf nahi mungkar, dan dalam meluahkan kemarahan dan kepedulian.

Lantaran penuh dengan naluri kepemudaan inilah, masakan tidak emosi saya terganggu dengan kebiadapan Israel terhadap Palestin? Jika penyokong pasukan bolasepak England sahaja penuh emosi -sama ada sedih atau marah- dengan tersingkirnya pasukan mereka dari Piala Dunia, maka sudah tentu saya lebih emosi apabila Israel menyerang dan menangkap menteri-menteri kerajaan HAMAS Palestin. Tambah marak naluri kepemudaan ini, apabila ada orang-orang yang menyalahkan kerajaan HAMAS di atas serangan ini. Tambah murka naluri kepemudaan ini, tatkala mendengar ada lagi "gerakan Islam" yang tetap sudi membeli barangan-barangan Israel dan Amerika, yang sepatutnya kita semua boikot semaunya.

Lalu, dek kerana naluri kepemudaan ini tidak bisa lagi ku bendung, ku lupakan apa itu "fiqhud da'wah". Ku lupakan apa itu "ma'rifatul medan". Di hadapan jemaah surau yang terdiri daripada generasi-generasi tua, ku sampaikan tazkirah berhubung isu Palestin ini, seraya seruan supaya memboikot sedaya upaya kita barangan-barangan yang menyumbang kepada peluru-peluru yang merobek tubuh dan merampas nyawa anak-anak Palestin.

Dek kerana ketidak sabaranku meng-"establish" diri kepada kariah surau (sungguhpun saya telah dilantik sebagai imam utama surau tersebut), tazkirah ba'da Isya' itu disahut dengan pertanyaan, teguran dan bantahan daripada kariah surau.

Benar saya silap di situ, kerana membenarkan "Ghirah Islamiyah" menguasai diri. Apa kan daya, saya juga seorang pemuda. Namun, kesilapan itu tidak merubah fakta betapa pilunya hati ini dek kerana umat islam Malaysia masih kosong sensitiviti dan usaha terhadap umat Islam di luar saya. Bagaimana bisa saya hilangkan murung, kerana bukan sahaja masyarakat umum yang enggan memboikot barangan Israel/Amerika, gerakan Islam sahaja masih bangga dan tidak rasa apa-apa bila makan di KFC, McDonald dan sebagainya.

Ya ALLAH, sampaikan salam maaf ku pada anak-anak Palestin, kerana aku masih gagal berbuat apa-apa.

Ya ALLAH, ampunkan dosa hamba mu ini. Janganlah kerana dosa yang ku lakukan, membuatkan umat menolak seruan ku ini...

p/s - artikel ini ditulis mengikut perasaan. Perasaan seorang "pemuda"

1 Comments:

Blogger Maryam said...

belum terlambat sekiranya mahu menyumbang. Sungguh! Pengetahuan tentang palestin pun amat dihargai oleh warganya. Dan... bila kudrat dikerah demi melihat pembebasan palestina, usaha itu lebih-lebih lagi dihargai. Semoga kita dapat menjawab soalan warga palestina bila berhadapan dengan mereka di hadapan Allah kelak.

8:59 PM  

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog