Monday, June 26, 2006

VIRUS

Dunia hari ini menghadapi serangan dari pelbagai jenis virus yang membawa pelbagai jenis penyakit antaranya influenza, SARS, HIV, H5N1(selesema burung) dan berpuluh lagi virus yang mungkin sedang menunggu masa untuk menyerang manusia saban hari. Lantaran itu mari kita lihat sejenak ciri-ciri umum yang ada pada setiap virus iaitu ia mempunyai saiz yang cukup kecil atau dalam istilah sainsnya disebut ultramikroskopik(ultramicroscopic) yang mana ia hanya dapat dilihat hanya dengan menggunakan mikroskop electron.

Terdapat 5 peringkat serangan virus yang terdiri dari penyerapan (absorption), penembusan(penetration), replikasi(replication), kematangan(maturation) dan akhir sekali pelepasan(release) virus[1]. Semua ini adalah tahapan atau peringkat serangan virus dalam menyebarkan wabaknya kepada sel-sel sasarannya. Hebatkan, walau saiz tidak sebesar mana namun mampu menggegarkan dunia dan membingungkan manusia untuk mencari penawar yang sesuai untuk mengekang serangan mereka. Inilah salah satu makhluk ciptaan ALLAH yang cukup hebat dan istimewa.

“ Kepunyaan ALLAH-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada didalamnya dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu” [Al-Maidah 5:120]

Maka adakah sesuatu yang dapat kita pelajari dari virus-virus ini sedangkan kita ketahui mereka lebih banyak memberikan mudarat berbanding manfaat kepada manusia. Tidak ada satu pun yang patut kita contohi dari mereka melainkan ciri-ciri serangan yang mereka gunakan adalah wajar untuk kita teladani. Sedarkah kalian manusia saat ini memerlukan ‘virus ISLAM’, ‘virus DAKWAH’ dan ‘virus TARBIYAH’ dalam diri mereka. Oleh kerana itu mari kita telusuri kaedah yang digunakan oleh virus untuk kita sebarkan pula ‘virus-virus’ yang baru.

Kaedah yang pertama adalah penyerapan(absorption) nilai-nilai Islam dalam diri agar kefahaman Islam yang syumul dan jelas serta shahih dapat kita garap dengan baik. Seterusnya adalah penembusan(penetration) nilai-nilai Islam tadi dalam kehidupan kita mengikut acuan Al-Quran sebagaimana kata-kata Aisyah R.A ketika ditanya tentang akhlak dan perjalanan hidup Nabi Muhammad S.A.W.

“ Kelakuan dan perjalanan hidup beliau (RasuluLLAH S.A.W) itu ialah Al-Quran”[2]

Begitu juga dengan ucapan seorang pejuang di jalan dakwah ini “ Tegakkan Islam dalam hatimu, supaya ia tegak di bumimu”[3]

Setelah itu adanya replikasi(replication) ataupun pertambahan kualiti diri dalam beribadah mahupun beriltizam dengan Al-Quran dan As-Sunnah disamping ilmu-ilmu sampingan yang lain seiring dengan pertambahan dari segi kuantiti pejuang-pejuang dakwah dengan menyeru orang lain ke jalan kebenaran agar dakwah ini akan berjalan bahkan ia akan tetap berjalan sekalipun kita tidak terlibat dalam perjalanan dakwah ini. Inilah salah satu kewajipan kita wahai saudara-saudaraku, ingatkah kalian akan pesan Sang Mujaddid yang telah berjuang hingga akhir hayatnya

“ Wahai saudara saudara Muslimin, anda beramal hanya untuk dua tujuan, supaya berhasil dan dapat menunaikan tugas kewajipan anda. Jika yang pertama anda gagal, ertinya tidak ada orang yang menyambut seruan anda janganlah melepaskan yang kedua, ertinya anda harus tetap menunaikan kewajipan”[4]

Kemudian adalah kematangan(maturation) dimana jalan dakwah ini memerlukan kematangan dan kesabaran yang tinggi dari pendukung- pendukungnya kerana ia adalah jalan yang panjang dan penuh dengan ujian yang mungkin terpaksa dibayar dengan air mata dan darah. Inilah tabiat dakwah ini.

“ Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta”[ Al-Ankabut 29:3]

Kematangan juga seharusnya membuatkan pejuang-pejuang dakwah selalu berada dalam kebenaran dan mempunyai sikap lapang dada dengan segala perbezaan pendapat, perselisihan mahupun pertelingkahan selagi ia tidak keluar dari ruang lingkup kebenaran. Ini adalah disebabkan perbezaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan di dunia ini. Apa yang penting bukanlah perbezaan tersebut tetapi bagaimana kita bertolenrasi dan menguruskan perbezaan tersebut.[5] Marilah kita renungi kata-kata seorang penggerak dakwah Al-Allamah Rasyid Ridha “ Kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan kita berlapang dada(bertolenrasi) dalam perkara yang kita selisihi” dan juga kata-kata Sang Mujahid Dr Abdullah Azzam “ Kita adalah ibarat sungai-sungai kecil yang sedang menuju ke sungai yang lebih besar”

Terakhir sekali adalah pembebasan(release) dimana suara-suara kebenaran ini akan kita sebarkan, laungkan ke setiap tempat yang kita pergi agar manusia akan keluar dan bebas dari belenggu kebodohan, kehinaan, kelekaan mahupun dari budaya hedonisme yang menjunjung kelazatan dan puja-pujaan emm, cita rasa, cita rasa![6] kepada kesejahteraan, keadilan, kemuliaan dan kehebatan Islam. Marilah kita semai ‘virus-virus’ ini dalam diri kita dan orang lain kerana tanpa ‘virus’ ini nasib umat kita tidak akan pernah berubah andaikata kita tidak mengubahnya. Sesungguhnya anda mampu mengubahnya, Ingatlah orang yang tersayang[7]

‘… Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…[ Ar-Ra’d 13:11]

Mahukah kalian menyahut seruan ini menjadi seperti virus-virus yang tidak pernah kenal henti walau sejenak dalam menyebarkan wabaknya ke seluruh dunia. Maka inilah saatnya untuk kita menyebarkan ‘virus kebenaran’ dalam diri dan orang lain kerana perjuangan ini adalah berdasarkan fikrah dan aqidah, nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja. Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah system ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai[8] Yakinlah bahawa cahaya kebenaran ini pasti menang walau bagaimana hebatnya halangan yang tiba kerana inilah janji-Nya....

“ Mereka hendak memadamkan cahaya ALLAH dengan mulut mereka dan ALLAH tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci”[As-Saff 61:8]

Hayatilah pesanan terakhir seorang syuhada di jalan dakwah ini dengan senyuman di bibirnya saat kematian semakin hampir…
SAUDARA!
SEANDAINYA KAU TANGISI KEMATIANKU
DAN KAU SIRAM PUSARAKU DENGAN AIR MATAMU
MAKA DI ATAS TULANG-TULANGKU
YANG HANCUR LULUH,NYALAKANLAH OBOR BUAT UMAT INI
DAN…
TERUSKAN PERJALANAN KE GERBANG JAYA.
SAUDARA!
KEMATIANKU ADALAH SUATU PERJALANAN
MENDAPATKAN KEKASIH YANG SEDANG MERINDU
TAMAN-TAMAN DI SYURGA TUHANKU BANGGA MENERIMAKU
BURUNG-BURUNGNYA BERKICAU RIANG MENYAMBUTKU
BAHAGIALAH HIDUPKU DI ALAM ABADI
SAUDARA!
PUAKA KEGELAPAN PASTI AKAN HANCUR
DAN ALAM INI AKAN DISINARI FAJAR LAGI
BIARLAH ROHKU TERBANG MENDAPATKAN RINDUNYA
JANGANLAH GENTAR BERKELANA DI ALAM ABADI
NUN DI SANA FAJAR SEDANG MEMANCAR….[9]
RUJUKAN:
[1] A laboratory manual of Microbiology, Seventh Edition,Cappuccino and Sherman Pearson Education Inc. page 245,246- The Viruses
[2] Hadis riwayat An-Nasai dipetik dari buku Syed Qutb- Petunjuk Sepanjang Jalan dalam bab Generasi Al-Quran Yang Unik terbitan Crescent News(K.L.) Sdn. Bhd.
m/s 10
[3] Ucapan Hasan Al-Hudaibi .Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Kedua dalam buku “ Seruan Membebaskan diri dari kejahilan”- Musthafa Masyhur terbitan Galeri Watikah Sdn. Bhd. m/s 205
[4] Ucapan Hasan Al- Banna, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Pertama dalam buku “ Seruan Membebaskan diri dari kejahilan”- Musthafa Masyhur Galeri Watikah Sdn. Bhd.
m/s 236
[5] Dipetik dari kulit buku “ Islam The Misunderstood Religion”- Dr Danial Zainal Abidin terbitan PTS Publications and Distributors Sdn Bhd.
[6] Kata- kata Puteri Simone Sidharra ketika melihat seorang pemuda kacak bernama Sulaiman dalam buku “Advencer Si Peniup Ney” karya Faisal Tehrani m/s 91.
[7] Slogan ketika kempen Keselamatan Jalan Raya
[8] Ucapan hasan Al-Banna dipetik dari buku “Apa Ertinya saya menganut Islam” karya Fathi Yakan dalam bab Ciri-ciri Prinsip Harakah Islamiyyah terbitan Dewan Pustaka Fajar m/s 136
[9] Petikan pesanan dari As-Syahid Syed Qutb yang ditulis beberapa ketika sebelum menemui syahid dalam buku “ Petunjuk Sepanjang Jalan” terbitan Crescent News(K.L.) Sdn. Bhd. m/s 210

Oleh:
Al-‘Abd Al-Faqir.
Mohd Halimi bin Abdul Aziz
Pelajar BS(K)- Mikrobiologi
UPM
28 Jamadil Awal 1427H, 03:57p.m

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog