Thursday, June 08, 2006

pelajaran daripada kisah Pertelingkahan Para Sahabat

Buku ini-yang ada di dalam genggaman saya- diterbitkan pada tahun 2002. Ia ditulis oleh seorang pakar hadith terkemuka tanahair, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Sayang, bila sebut saja nama beliau, pantas orang yang menggelar diri mereka “ikhwah”, lantas menggelar beliau sebagai tokoh dari ajaran salafi.

Andainya beliau salafi pun, di mana salahnya membaca buku beliau? Tidak pernahkah kalian mendengar hadith baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan dalam qaul yang hampir sama oleh Muslim berbunyi “anzilin nas manaziluhum” (letakkan/posisikan manusia di tempatnya yang sepatutnya.) ? Atau, jika dengan hadith pun kalian masih belum berpuas hati lagi –lantaran merasakan adanya tafsiran “lain” kepada hadith tersebut- maka silakanlah bersaksikan akan kesaksian dan penghormatan tokoh Ikhwan terkemuka yang jauh lebih senior, jauh lebih dihormati, yang jauh lebih “Ikhwan” berbanding kalian, iaitu Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi, terhadap tokoh salafi yang jauh lebih extreme, jauh lebih keras, jauh lebih sempit pandangannya berbanding Ustaz Asri (yang banyak juga merujuk pendapat al-Qaradhawi) iaitu Nashiruddin al-Albani. Ketika mengulas bukunya al-Halal wal haram fil Islam yang telah ditahqiq (diedit/disunting) oleh al-Albani, al-Qaradhawi berkata:

“Tidak diragukan lagi bahawa takhrij yang dilakukan al-Allamah Syeikh Nashiruddin al-Albani –hafidzahullah- terhadap hadith-hadith yang terdapat di dalam kiab saya, al-Halal wal Haram, merupakan semacam penghormatan terhadap kitab tersebut beserta pengarangnya……
….Oleh sebab itu saya merasa gembira jika seorag ahli hadith terkenal, iaitu Syeikh al-Albani, sejak lama menaruh perhatian untuk mentakhrij hadih-hadith dalam kitab saya….
…Demikianlah beberapa catatan penting dan lazim atas takhrij ahli hadith Syeikh Nashiruddin al-Albani, atas kelebihan beliau yang tidak dapat dipungkiri, yang saya taruh di hadapan orang-orang yang membaca kitab beliau dan mempertanyakan hadith-hadith yang beliau lemahkan..”[1]

Saya juga pernah dikritik hebat oleh seorang “ikhwah”, hanya kerana di dalam artikel saya, saya mengutip sebuah hadith, yang saya katakan diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, dan al-Albani mengatakan ianya hasan. Pantas, ikhwah itu yang barangkali merasakan dirinya lebih “Ikhwan” berbanding saya mahupun al-Qaradhawi menegur “check balik siapa al-Albani!” Maka, setelah lebih kurang setahun saya mendiamkan diri, saya jawab, seperti mana jawapan Yusof al-Qaradhawi ketika dikritik oleh seseorang kerana “Sering memuji Nashiruddin al-Albani dalam bukunya dan menjulukinya sebagai muhadith ‘pakar hadith’ yang besar, padahal ia orang sesat terbesar abad ini. Pasalnya ia meminta negara Saudi Arabia agar mengeluarkan kuburan Nabi SAW dan dua sahabatnya dari Masjid Nabawi. Juga berfatwa mengkafirkan dan menyalahkan penduduk Dhifah..” dan macam-macam lagi. Jawab al-Qaradhawi:

“..tanpa ragu, saya bersaksi bahawa Syeikh al-Albani adalah seorang ahli hadith yang besar. …” Selanjutnya, baca rujukan [2]

Kembali kepada perbicaraan asal: bukunya Dr. Asri. Buku ini jugalah yang telah dibahaskan di dalam sebuah seminar dengan tajuk yang sama di UIA pada 16 Febuari 2002. Isteri saya, yang kebetulan hadir di seminar tersebut –dan bahkan membeli buku itu di sana- bercerita kepada saya, bagaimana ramai di kalangan peserta yang menangis tatkala diceritakan kepada mereka kisah dan fakta sebenar pertelingkahan para sahabat ini, dan betapa dosanya kita kerana gagal berakhlaq dalam menyikap pertelingkahan tersebut.

Bukankah Quran telah mengajarkan kita:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
(al-Hujurt [49]:6)

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?
Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.”
(as-Shaff [61]:2-3)

Nah, kenapa kita tidak mempraktikkan apa yang kita dapat bahkan kita sering kali kita sampaikan, di dalam kita menyikap para sahabat? Dan jika telah mampu berlaku adil kepada para sahabat, kenapa kita tidak pula bersikap adil terhadap pertikaian para ikhwah??

Amat malang, seminar yang sama, yang menyaksikan penonton menitiskan air mata, lebih kurang beberapa tahun kemudian, ketika dihadiri oleh “ikhwah”, yang ia dapat bukanlah gelombang-gelombang kesedaran, bahkan gelombang-gelombang kemarahan, hanya kerana Dr. Asri barangkali tidak melihat Hassan al-Banna seperti mana ia melihatnya (bukannya Dr. Asri tak respect, cuma ia lebih respect ulamak-ulamak lain. Salahkah pendapatnya begitu?? Nah, mana aplikasi nyata konsep “berlapang dada”? Nah, mana aplikasi nyata sikap tawadhuk???)

Luqman al-Hakim, ketika mana ia mahu mengajarkan Islam kepada anaknya seperti yang dinukilkan dalam surah Luqman, mula-mula sekali yang diajarkan ialah perihal manhaj aqidah, kemudian manhaj akhlak, kemudian barulah soal ibadat (solat dan segala macam), tetapi bahkan diingatkan akan manhaj akhlaq balik.

Nah, kenapa kita lebih melihat masalah mutaba’ah berbanding masalah ukhwah misalnya, sehingga seringkali kita memarahi ikhwah lantaran mempunyai mutabaah yang teruk? Di mana perginya manhaj akhlak? Adakah Islam tidak mengajarkan akhlak?? Saya berani kata begini, bukanlah kerana nak ngelat. Silakan lihat track-record saya selama ini, mutabaah saya tidak ada masalah. Saya istiqamah khatam al-Quran dalam masa kurang sebulan. Tetapi, saya berani mengatakan demikian, juga bersandarkan pengalaman saya di bawah beberapa orang murabbi di kalangan ikhwah ABC (antaranya XXX, YYY, dan sebagainya) Nah, buktikan bahawa akhlak yang kalian sedang pamerkan kini adalah akhlak “ikhwah”. Saya mampu buktikan bahawa ikhwah-ikhwah ABC yang ada di sini, ataupun buku-buku ulamak-ulamak al-Ikhwanul Muslimun bertentangan dengan akhlak yang sedang kalian pamerkan.

Nah, bukankah kalian marah ketika suatu masa dahulu, ada puak yang menghalang dan memarahi kalian berdakwah, lantaran merasakan bahawa kalian “masuk ke rumah yang telah mereka masuki”, tapi, kenapa kini kalian pula yang melakukan sedemikian? Nah, bukankah dahulu kalian marah, ketika ada satu puak menghalang manusia daripada mengikuti dakwah kalian? Tapi, kenapa kini kalian pula yang bertindak memutuskan ukhwah yang sedang terbina (satu kes, ada sekumpulan pelajar datang KL, bahkan berjanji sekian lama untuk bersama dan membantu seorang dai’e ini. Malang, seorang “ikhwah” bertindak menghalang mereka dan memutuskan ukhwah yang telah terbina.)

Antara ciri-ciri paling menonjol Hizbut Tahrir –itulah gelaran masyarakat pada kalian- berbanding ikhwah sejati ialah:
1) Artikel mereka penuh berfakta, lengkap dengan dalil-dalil (ikhwah pun sama, cukup hebat berdalil, Cuma sering kali tak ilmiah, tak boleh nak bagi reference book apa dia). Cuma, Hizbut Tahrir sering mengambil pendapat ulama’ mereka semata-mata. (benarkah Ikhwan suruh kita hanya mengambil pendapat mereka sahaja? Adakah hanya kerana ulamak-ulamak PAS atau seorang Dr. Asri atau seorang Ustaz Shamsuri atau seorang Ustaz Cahyono, hanya kerana tak ikut halaqah, tak layak diambil pendapat mereka?)
2) Suka berdebat (kalian bagaimana??)
3) Menolak politik (apa pun alasan, sekarang kalian bagaimana??)

Saya menyeru pada kalian, seperti mana yang kita teorikan di dalam halaqah-halaqah, lain sebagainya, kembalilah kepada konsep Rashid Ridha “kerjasama dalam hal yang kita sepakati, berlapang dada dalam hal yang kita khilafkan”. Lihatlah bagaimana akhlak ikhwah PKS tatkala menyikapi kematian tokoh Islam Liberal Nurcholis Majid (bayangkan, pada beliau saja ikhwah PKS berakhlak!!) Atau ikhwah HAMAS yang mampu kerjasama dengan mujahid-mujahid aliran Syiah!!!

Jika dengan orang yang melalui tarbiyah yang sama dengan kalian pun kalian tidak mampu berlapang dada, apatah lagi dengan ikhwah yang berlainan method tarbiyahya. Apatah lagi dengan pejuang-pejuang Islam yang lain.

Adalah amat malang bila ada “ikhwah” yang berbangga ketika ia mampu bergaduh dengan orang Tabligh, bahkan menyuruh sikap itu dicontohi. Walhal, Tabligh adalah satu kelompok yang terkenal tidak suka memusuhi orang. Ternyata, dakwah di Malaysia sedang melalui hari-hari hitam.

Buangkanlah sikap fanatic dan asabiyah individu (ini lebih kepada sikap fanatic individu berbanding jemaah, sebab, jika fanatic jemaah, mana mungkin sesama ikhwah pun boleh jadi macam ni!!!) Jika sikap ini kalian tidak mampu buangkan, maka munasabahlah ALLAH jadikan jemaah lain begitu sukar untuk berlapang dada dengan kalian.

Saya menutup tazkirah saya ini –yang saya tujukan buat orang yang mahu muhasabah, seperti dalam materi tazkiyatun nafs- dengan membawa kembali kata-kata Hassan Hudhaibi. “Jika permasalahan di antara kalian pun tidak mampu kalian selesaikan (iaitu 2 orang ikhwah yang sedang bertikai bagamana kalian mahu menyelesaikan masalah umat?” Barulah saya faham kenapa salah satu buku Fathi Yakan diterjemahkan dengan tajuk “Robohnya dakwah ditangan daie”
RUJUKAN

[1] Qardhawi, Dr. Yusuf, “Fatwa-fatwa Kontemporer (Jilid 2, Gema Insani Press m/s 152-164
[2] Qaradhawi, Dr. Yusuf, “Fatwa-fatwa Kontemporer (Jilid 3, Gema Insani Press m/s 888-889
(Artikel ini diemailkan pada 26 Spetember 2005 kepada beberapa sahabat gerakan Islam, sebagai teguran kepada mereka kerana terlalu "jemaah centric". Saya tiada masalah jika anda mahu berjemaah, tetapi janganlah kemudian kalian lupakan masalah ukhwah. Bak kata ustaz Hasrizal, "Jemaah itu keperluan, ummah itu tujuan". Ber-ummah centriclah)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog