Islam ‘lahirkan’ semula Jermaine Jackson
BARU-BARU ini tersebar melalui Internet dan e-mel kononnya Raja Pop dunia, Micheal Jackson memeluk Islam. Malah beliau juga dikatakan menyanyikan sebuah lagu bertajuk Du’aa yang memuji Allah dengan begitu indah.
Namun, setelah diteliti dan diperhalusi rupa-rupanya lagu tersebut dinyanyikan oleh seorang penyanyi terkemuka dari Afrika Selatan bernama Zain Bhikha. Namun, menurut abang Micheal, Jermaine Jackson, adalah tidak mustahil suatu hari kelak adiknya akan memeluk Islam.
Katanya, apa yang lebih penting Micheal kini tidak mempunyai pandangan yang serong dan sempit terhadap Islam setelah membaca beberapa buku penerangan mengenai Islam yang diberikan kepadanya.
“Micheal kini lebih memahami Islam dan sering juga bertanyakan mengenai agama itu. Berbanding dahulu, seperti kebanyakan warga Barat yang lain, Micheal juga terpengaruh dengan pelbagai dakwaan yang negatif terhadap Islam,” katanya.
Mungkin kerana Islam itu sendiri, Micheal kini beralih tumpuan perniagaannya di Asia Barat. Malah beliau kini mempunyai sebahagian pegangan saham di sebuah syarikat milik Putera Arab yang berstatus bilionair, Waleed Talal.
Jermaine, salah seorang anggota kumpulan Jackson 5 yang mengecap kegemilangan dan kemasyhuran pada era 1980-an, memeluk Islam pada awal 1990. Jermaine atau nama sebenarnya Jermaine LaJaune Jackson yang dilahirkan pada 11 Disember 1954 di Gary, Indiana kini lebih dikenali sebagai Muhammad Abdul Aziz,
Berita pengislamannya itu begitu mengejutkan dunia Barat dan peminat seninya. Mereka sama sekali tidak menyangka Jermaine akan memeluk Islam dan kini memilih hidup yang cukup berbeza berbanding kehidupannya dahulu.
Sedangkan pada akhir kariernya sebagai penyanyi, beliau sempat berduet dengan Pia Zadora pada tahun 1985 dalam lagu When The Rain Begins To Fall yang menduduki tempat teratas beberapa carta single di Eropah. Pada tahun 1989, albumnya yang bertajuk Don’t Take It Personal menjadi hit nombor satu dalam Carta Billboard R&B Singles.
Pada tahun 1989, bersama dengan adiknya, Janet Jackson, mereka mengadakan persembahan di beberapa negara Asia Barat. Ketika menetap di Bahrain, Jermaine berpeluang menemui sekumpulan kanak-kanak negara itu yang datang menemui beliau.
“Kanak-kanak tersebut tanpa segan silu terus bertanyakan mengenai agama anutan saya, lalu saya menjawab saya seorang Kristian dan saya juga terus bertanyakan kepada kanak-kanak itu akan agama mereka pula.
“Tanpa saya sangka, agak mengejutkan apabila mereka menjawab ‘Islam’ dengan bangganya tanpa ragu-ragu,” katanya.
Tanpa perlu bertanya lanjut, kanak-kanak itu juga bercerita kepada Jermaine akan agama Islam dengan pelbagai maklumat yang menarik walaupun bunyinya begitu keanak-anakan.
“Melihat kesungguhan mereka menerangkan Islam, saya menjadi kagum malah saya berasa sungguh damai mendengarkan penerangan mereka itu,” katanya.
Sejak peristiwa itu, Jermaine mengambil peluang mengadakan perbincangan yang panjang lebar mengenai Islam dengan beberapa ulama dan tokoh Islam terkemuka di Bahrain.
“Ini menyebabkan hati dan pemikiran saya mula berkocak hebat,” katanya yang pada zaman kegemilangannya pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy dalam kategori Best Male R&B Vocal Performance melalui albumnya Let’s Get Serious pada tahun 1979.
Begitupun, Jermaine belum sepenuhnya mendapat ‘hidayah’ untuk memeluk Islam dan menganggap semua maklumat yang diperoleh tentang Islam tidak akan mengubah dirinya sebagai penghibur dan dia akan terus kekal sebagai penggiat seni dan muzik Barat.
“Namun hati saya ketika itu sebenarnya telah pun ‘memeluk’ Islam, cuma tidak mampu untuk dilafazkan melalui kata-kata,” katanya.
Beliau kemudian memberitahu perasaannya itu kepada seorang sahabat yang bernama Qunber Ali yang kemudiannya membawa Jermaine ke Riyadh, ibu negara Arab Saudi .
“Sehingga ke saat itu, saya masih tidak mengetahui mengenai Islam sehinggalah sebuah keluarga daripada kerabat diraja Arab Saudi membawa saya untuk melakukan umrah di Mekah. Di situ, buat pertama kalinya saya mengucap dua kalimah syahadah bagi mengesahkan pengislaman saya,” katanya.
Setelah memeluk Islam, Jermaine mendapatinya dirinya bagai dilahirkan semula. Ini kerana Islam telah memberikan jawapan kepada pelbagai keraguan beliau sebelum ini terutama mengenai agama asalnya.
“Islam memberikan jawapan yang sangat memuaskan hati terutama mengenai kelahiran dan kenabian Nabi Isa a.s. dan saya berdoa agar seluruh keluarga saya juga dapat menerima hakikat yang sama,” katanya.
Seluruh keluarga Jackson adalah pengikut ajaran Kristian yang dikenali sebagai Avendance of Jehova (Penyaksian Jehova) dan antara ajaran yang menjadi pegangan adalah hanya seramai 144,000 lelaki di muka bumi ini layak memasuki syurga.
“Dari dahulu lagi akal saya tidak dapat menerima fakta yang sedemikian dan begitu juga apabila kitab Bible sebenarnya lebih mengumpulkan kata-kata manusia di dalamnya berbanding ajaran sebenar dan kata-kata daripada Tuhan,” katanya.
Pelbagai cara dilakukan oleh Jermaine untuk mengenali Islam. Semasa di Mekah beliau mengambil kesempatan menikmati lagu-lagu nasyid dan mendalami lirik lagu seperti yang dinyanyikan oleh Yusuf Islam (Cat Stevens).
“Saya juga banyak belajar daripada beliau mengenai Islam berikutan kami mempunyai latar belakang, kerjaya dan kebolehan yang hampir sama sebelum ini,” katanya yang juga sering belajar mengenai Islam dengan bekas juara tinju dunia, Muhammad Ali.
Namun, apakah sambutan yang beliau terima apabila pulang ke Amerika Syarikat selepas secara rasmi memeluk Islam itu?
“Saat itu merupakan kesempatan yang diambil sepenuhnya oleh media Barat dalam mengalunkan satu orkestra propaganda yang memburuk-burukkan Islam dan umatnya. Apabila mereka mendapat tahu saya memeluk Islam, pelbagai gosip dan tohmahan yang mereka sebarkan mengenai saya sehinggakan saya benar-benar terganggu.
“Malah keluarga saya turut menerima kesannya. Begitu banyak surat-surat dan kiriman kecaman dan ancaman yang tidak putus-putus mengganggu kami,” katanya.
Jermaine bertindak rasional malah berasa hairan dengan fobia pihak Barat terhadap Islam sedangkan mereka tidak cuba mengenali Islam dan jauh sekali cuba menyelami tekanan yang dihadapi oleh umat Islam angkara perbuatan dan sikap melampau Barat sendiri.
Beliau juga tidak ambil peduli dengan apa juga kisah yang cuba didedahkan oleh media mengenai dirinya.
“Kebebasan yang diamalkan oleh media Barat itu akhirnya memakan diri mereka sendiri kerana pada akhirnya ia membentuk dan menyerlahkan lagi sikap hipokrasi masyarakat Amerika ke tahap yang tertinggi.
“Ini kerana siapakah mereka untuk mengutuk atau mencerca Islam sedangkan mereka sendiri tidak mengikut ajaran agama masing-masing dan tidak
berusaha mencari jalan untuk hidup bersama dengan aman malah lebih suka mencari keburukan orang lain. Adakah ini boleh menyelesaikan masalah?”
katanya.
Menurut Jermaine, Islam banyak menguraikan kekusutan jiwa pada dirinya kerana kesanggupan beliau merubah diri mengikut seperti yang diajarkan oleh Islam. Ia benar-benar memberi satu kehidupan baru yang lebih bermakna dan memberinya pandangan hidup yang lebih positif dan rasional.
Bercakap mengenai keluarga Jackson, Jermaine berkata, pelbagai ancaman yang diterima oleh keluarga beliau itu akhirnya dapat ditangani dengan baik.
“Mujur seluruh ahli keluarga saya mempunyai fikiran yang terbuka. Sebenarnya telah menjadi tradisi keluarga kami agar sentiasa membuat kawan dan bersahabat baik dengan sesiapa pun tanpa mengira perbezaan agama.
“Disebabkan amalan seperti inilah mungkin menyebabkan saya terbuka untuk mengenali Islam dan alhamdulillah ia memandu saya kepada kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Mengenai adiknya dan khabar-khabar angin yang bertiup kencang mengatakan Micheal juga telah memeluk Islam, Jermaine berkata, beliau boleh mengesahkan adiknya itu belum lagi mengikut jejak langkahnya.
Menentang
“Micheal tidak memeluk Islam tetapi dia juga tidak menentang atau mencemuh Islam malah lagu-lagunya banyak mengajar supaya kita semua supaya berkasih sayang sebagaimana yang diajarkan oleh ibu bapa kami sebelum ini.
“Tetapi siapa tahu pada suatu hari Micheal akan memeluk Islam. Hanya masa dan takdir yang akan menentukan. Sebagaimana juga tidak ada sesiapa yang memaksa saya untuk memeluk Islam. Begitu juga kepada Micheal, tidak ada sesiapa yang boleh memaksa untuknya memeluk Islam,” katanya yang pernah berduet dengan adiknya dalam lagu yang begitu popular, Tell Me I’m Not Dreamin, pada tahun 1984.
Seorang lagi adik beliau yang juga sangat popular, Janet, sangat terkejut dengan pengislaman abangnya itu. Janet lebih melucukan kerana apabila sebut sahaja Islam, apa yang beliau tahu dan menjadi ketakutannya ialah soal poligami.
“Jadi, saya jelaskan kepadanya bahawa poligami itu sesuatu yang dibenarkan malah ia sebenarnya satu perkara yang mulia berbanding mempunyai hubungan sulit dengan ramai perempuan. Malah itulah yang berlaku kepada kebanyakan lelaki Barat yang telah berkahwin... mereka mempunyai hubungan sulit yang menyebabkan punca kerosakan moral dan menggugat kestabilan masyarakat.
“Jika seorang lelaki secara emosi terpikat dengan wanita lain maka ia patut menghalal dan menghormati hubungan itu dengan perkahwinan. Jika tidak, dia patut mempunyai seorang isteri sahaja,” jelasnya.
Menurut Jermaine, setiap wanita dalam Islam umpama sekuntum bunga yang kembang mekar dalam sebuah taman larangan yang mesti dijaga dan dilindungi daripada sebarang makhluk perosak sekalipun yang bernama lelaki.
Lagipun, katanya, dalam seluruh populasi umat Islam di seluruh Amerika Syarikat, tidak sampai 10 peratus penganutnya yang mengamalkan poligami. Jadi, tidak ada sebab untuk adiknya itu berasa bimbang.
Melalui tiga perkahwinan sebelum ini iaitu dengan Hazel Gordy pada 1973, Margaret Maldonado 1988 (tanpa nikah) dan Alejandra Genevieve Oaziaza (1989), Jermaine mempunyai tujuh anak lelaki dan dua anak perempuan.
“Mereka saya didik sepenuhnya berorientasikan ajaran Islam,” katanya.
Walaupun Jermaine dikatakan sudah bercerai dengan Alejandra pada tahun 2004 namun ada versi yang mengatakan isterinya itu juga berminat dan sedang mempelajari Islam.
Begitu pun, beliau yang kini beristerikan Haleema Rasheed masih belum beroleh anak. Kini mereka memilih menetap di Dubai dan Bahrain dan masih giat melakukan pelbagai kegiatan seni yang berunsurkan Islam.
Baru-baru ini beliau bercadang membuka sebuah kompleks hiburan di Yerevan, Armenia yang turut memuatkan hotel, restoran dan syarikat televisyen yang kesemuanya berorientasikan Islam dan budaya tempatan.
“Insya Allah, semua adik-beradik saya terutama Micheal dan Janet akan hadir dan memberikan sumbangan bagi menjayakan kompleks itu,” katanya penuh yakin.
Faridul: Jermaine Jackson, seorang penyanyi tersohor tertarik dengan Islam lewat da'wah seorang kanak-kanak. Malunya kita sebagai seorang dewasa ketika gagal mempromosikan Islam pada orang, apatah lagi nak mengislamkan orang. Agak-agaknya apa yang kita nak jawab di hadapan ALLAH, di padang mahsyar kelak??
0 Comments:
Post a Comment
<< Home