Thursday, June 15, 2006

Boiler 1

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
(selepas penerangan daripada boss saya, sekembalinya daripada Coal Quality Workshop 2005. Masih banyak yang boleh dibahaskan berkenaan boiler. Artikel ini sekadar tadabbur tentangan penerangan boss tentang bentuk nyalaan/api di dalam boiler)

Ternyata, masih ramai di kalangan masyarakat kita yang tidak mengetahui bagaimana tenaga elektrik dihasilkan. Maka, jika kita kembali kepada Prinsip Keabadian Tenaga yang kita pelajari di sekolah dulu, kita akan tahu, bahawa demi sesungguhnya tenaga itu tidak boleh dihasilkan! Bahkan ia juga tidak boleh dimusnahkan! Ia hanya boleh ‘diterjemahkan’ daripada suatu bentuk tenaga, kepada bentuk tenaga yang lainnya, dan kemudiannya bertukar pula kepada bentuk tenaga yang lainnya, berterusan, berkekalan, tidak pernah mengenal erti keputus asaan.

Maka, mari saya bawa anda mendalami dan menziarahi power plant, agar mudah-mudahan anda akan faham bagaimana tenaga elektrik ini dihasilkan. Secara dasarnya, bagi memulakan proses ‘penghasilan’ (tepatnya: ‘penukaran’) tenaga elektrik ini, kita harus menyediakan suatu fuel (bahan) yang akan kita gunakan, yang akan kita ‘mangsakan’, yang akan kita ‘korbankan’ potensi-potensi tenaga yang ada di dalamnya, untuk kita tampilkan ia dalam pakaian yang lain, iaitu pakaian keelektrikan. Arang batu umpamanya.

Arang batu, seperti juga gas, minyak, nuclear dan lain sebagainya, sebenarnya hanya digunakan untuk satu tujuan: menyalakan dan menghidupkan boiler, medan dimana tenaga thermal (wap panas) ini akan dihasilkan. Wap panas berisi tenaga thermal inilah yang kemudiannya akan memutarkan dan menggerakkan turbine yang lalu tenaga kinetik ini, oleh yang namanya generator, akan ‘diterjemahkan’ kepada tenaga elektrik. Maka itulah power plant : medan di mana komponen-komponen dan perkakasan-perkakasan ini bekerjasama, dan saling menyalur potensi masing-masing, dengan peranan masing-masing, untuk menghasilkan manfaat buat manusia seluruhnya. Umpama pentas kehidupan yang kita lalui: harus wujud kerjasama dan saling interaksi bagi kebaikan bersama. Semua ‘watak’ atau ‘peralatan’ dalam ‘power plant’ kehidupan ini sama pentingnya, sama ada ia memegang teraju utama, mahupun sekadar watak sampingan.

Terlanjur berbicara tentang ‘pelakon-pelakon’ yang mementasi ‘panggung kehidupan’, maka, yang namanya boiler adalah antara paparan pertama yang hadir di kaca mata pementasan. Ia –yakni sang boiler- harus mempunyai kualiti-kualiti dan tahap ‘kesabaran’ yang diperlukan dalam menggarap potensinya selaku salah satu watak utama di dalam ‘silsilah perjuangan.’ Kerana, tanpa ketahanan dan kesabaran, sang boiler itu akan tewas pada ‘kepanasan’ suhu rintangan dan dugaan yang memang telah dijanjikan Tuhan dalam perjalanan menuju maqam keimanan.

“Alif-Lam-Mim. Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “Kami beriman” sedangkan mereka belum diuji lagi? Kelak mereka akan diuji seperti umat sebelum mereka, supaya kelak diketahui siapa yang benar dan siapa yang sekadar berdusta”
(Surah al-Ankabut [29]:1-3)

Itulah sebabnya, ketahanan dan kesabaran amat penting dalam melayari samudera perjuangan ini. Kerana samudera yang luas terbentang itu, umpama boiler, harus berdepan dengan suhu yang luar biasa dahsyatnya. Jika ketahanan mu lemah, kelak terbakar dan meleburlah boiler itu, lalu mendatangkan malapetaka yang luar biasa impaknya.

Cuma terkadang kita tidak sedar, bahawa dalam pada kita mereka bentuk sesebuah boiler, antara hal yang paling penting harus kita tentukan ialah jenis arang batu yang akan kita gunakan. Kerana yang sesungguhnya, rekabentuk sesebuah boiler itu harus disesuaikan dengan karakteristik dan keperibadian arang batu yang digunakan. Hal ini wajar, bahkan penting, demi memastikan pembakaran dan penghasilan tenaga thermal yang paling optima dan efisyen mampu diraih.

Maka, ke’ideal’an rekabentuk boiler inilah yang sering kali kita abaikan. Lantaran kita sudah terbiasa melihat dengan mata, bukan dengan hati. Lantaran kita lebih suka melihat dari sudut perspektif dunia, berbanding mengintai daripada jendela Akhirat. Lantaran kita sering mengutamakan yang zahir, lalu mengabaikan dan mengkesampingkan yang batin. Sedang ALLAH SWT menggambarkan keperibadian boiler dalam perjuangan kehidupan ini sebagai “orang-orang yang beriman kepada yang ghaib” (al-Baqarah [2]:3), kerana hakikat keimanan itu sering gagal dikesan oleh pancaindera luaran, melainkan dengan hadirnya roh keinsafan.

Sebab, Nabi SAW sendiri pernah mengingatkan hal ini, ketika menyatakan “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat pada bentuk dan paras rupa kamu, tetapi melihat kepada tahap keimanan dan ketaqwaan kamu”, lalu terbentuklah ilmu syariat dan ilmu hakikat. Lalu muncullah gerakan salafi dan gerakan sufi. Wujud juga yang namanya tareqat, mewarnai diri sepanjang hayat.

Ketajaman penelitian perlu untuk kita merekabentuk boiler-boiler mapan yang ingin kita persiapkan dalam medan perjuangan. Boiler-boiler yang akan kita ketengahkan untuk menukar ‘tenaga kegelapan’ kepada warna-warna ‘tenaga keimanan’. Untuk membakar ‘tenaga kebencian’ kepada kekuatan dan kekuasaan ‘tenaga kecintaan. Inilah peranan dan tugas sebenar baginda Nabi, sehingga begitu dicintai oleh dan dihormati sama ada oleh kawan mahupun lawan.”Seorang Nabi bukan dilihat dari bentuknya,” kata Jalaluddin ar-Rumi dalam Fihi ma Fihi, “sebab bentuk hanyalah tunggangan. Nabi adalah cinta dan kasih sayang, dan itulah yang tetap bertahan selama-lamanya.”

Lalu, ketahanan dan kehebatan boiler-boiler pejuang cinta inilah yang menjadikan mereka merasakan “kehidupan di luar kehidupan”, yang tentunya tak mampu terjangkau oleh pandangan mata kasar kita. “Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan ALLAH itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia ALLAH yang diberikan kepada mereka, dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah ali Imran [3]:169-170)

Adapun bentuk nyalaan yang dihasilkan di dalam sesebuah boiler juga penting, kerana di situ akan tergambar sesuai atau tidak arang batu yang kita gunakan di dalam proses pembakaran. Kerana jika bentuk nyalaannya tidak seragam, bahkan marak sehingga ke puncak, akan mengakibatkan boiler tube yang manaungi bumbung boiler itu melebur, lalu kebakaranlah natijahnya. Lalu, kehebatan mujahid-mujahid boiler ini harus sentiasa dikawal selia (C&I) dengan al-Quran dan sunnah, dengan seliaan dan pengawasan dalam sesebuah madrasah tarbiyah (usrah, halaqah dan sebagainya) agar manhaj (sistem) yang ia pakai tidak melencong daripada tujuan dan sasarannya yang sebenar. Sehingga berkatalah salah seorang ustaz mursyid –tepatnya Syeikh Mustafa Masyhur: “tarbiyah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tak akan terjadi tanpa tarbiyah!”

Itulah yang kupelajari daripada Coal Quality Workshop dan penerangan bos tempoh hari. Mudah-mudahn pemahamanku ini tepat, agar langkah perjuangan tidak terhambat. Bagaimana bos, boleh dijadikan presentation saya tak ni?

Ukhwah.com :: Top Blog