Monday, June 04, 2007

Umpama memandu di waktu hujan

Umpama memandu di waktu hujan
OLEH: Faridul Farhan Abd Wahab “terjarakkah daku dari ketaqwaan?”

Dikisahkan bahawa Umar al-Khattab R.A, yang trade mark utama namanya adalah sebagai amirul mukminin yang kedua barangkali, telah bertanya pada sahabat nabi yang lain, Ubai bin Ka’ab tepatnya. Bukan kerana keilmuan Umar sangat dangkal -jika itu kesnya, mana mungkin beliau mampu memimpin umat Islam kepada kecemerlangan dan kegemilangan selama lebih kurang 10 tahun zaman kekhalifahannya. Bukan juga kerana beliau sengaja mahu menduga sahabat-sahabat nabi seperti yang sering dilakukan pemuda-pemuda pejuang agama masa kini, yang sengaja mahu menduga sahabatnya, untuk kemudiannya mereka mulakan hujah yang kelak membawa kepada perdebatan yang tidak menguntungkan. Bukan, bukan! Bukan itu sebabnya! Tapi, yang terserlah daripada jiwa sang Umar ini adalah model terbaik sebuah ketawadhukan, sebagai dasar utama sebuah ketaqwaan.

Lalu, apa yang dipertanyakannya? “Apa definisi taqwa?”, begitu, seorang yang telah sedia bertaqwa mempertanyakan kembali. SubhanaLLAH, ingin saja aku jawab saja pada Umar, betapa beliaulah definisi taqwa! Ingin saja ku katakan pada Umar, betapa beliaulah yang harus mendefinisikannya pada kita semua. Tapi, di sana, pada pertanyaan itu, menyerlahkan lagi ketaqwaan, menonjolkan lagi katawadhukan, menampakkan lagi keagungan seorang Umar al-Khattab, redha ALLAH bersama-sama dengannya.

Dan orang yang ditanya itu juga bukanlah calang-calang orangnya. Wajar saja Ubai yang ditanya, kerana Umar merasakan –barangkali- betapa Ubai mempunyai “karisma ketaqwaan” yang lebih jika dibandingkan dengan dirinya. Lalu muncullah definisi dalam nada yang sungguh indah, disulam dalam bentuk sebuah tamsilan, umpama mainan bahasa Karam Sigh Walia bahkan terlebih indah lagi, bahawa taqwa itu “umpama berjalan di jalanan yang berduri.”

Benarlah dikau wahai Ubai.Kunci taqwa itu memang kehati-hatian. Wajah taqwa itu pencegahan. Di jalanan berduri itu, pasti anda mencegah berjalanan laju, lantaran kehati-hatian menjadi sangat perlu. Bukankah “wiqayah” iaitu “pencegahan” -sepertinya pepatah arab “al-wiqayah khairu minal ‘ilaj” (prevention is better than cure)- adalah akar kata kepada ketaqwaan?

Lalu izinkan aku memodenkan sedikit pengertian taqwa, agar bisa anak muda di zaman kini, lebih menghayati konsep “kehati-hatian” yang cuba digarap oleh definisi Ubai Bin Ka’ab itu tadi. Jika kau tanya aku akan pengertian kata “taqwa”, maka ku katakana padamu, taqwa itu “umpama memandu di waktu hujan.”

Bukankah di waktu hujan, kehati-hatian menjadi agenda utama sebuah pemanduan? Bukankah di waktu hujan, lampu depan dan belakang turut kau pasang, sebagai langkah keselamatan? Bukankah di waktu hujan, pedal minyak hanya perlahan dikau tekan, untuk mengekalkan kelajuan pada km/j yang berada pada kesederhanaan?

Ertinya, jika kunci taqwa itu adalah kehati-hatian, mengambil langkah keselamatan, dan upaya-upaya pencegahan, maka insan yang bertaqwa akan sentiasa berhati-hati alam melayari samudera kehidupan. Insan bertaqwa akan sentiasa mengelak daripada hal-hal yang bisa membawanya kepada dunia kemaksiatan, sebagai langkah keselamatan. Insan yang bertaqwa akan mencegah dirinya bukan saja daripada melalui lorong kegelapan, bahkan mencegah dirinya daripada mendekati sempadan kenistaan.

Jika anda lemah pada perempuan, mudah cair, mudah hanyut, maka ketaqwaan akan mencegah anda daripada berinteraksi yang tidak perlu dengan perempuan. Anda tidak melihat keperluan untuk memulakan perbualan, apatah lagi berchatting-ria yang sudah tentu akan membuai anda kepada khalwat yang terlarang.

Jika kelemahan anda adalah pada televisyen, sampai-sampai tilawatul quran anda terganggu, bacaan buku agama anda tergendala, zikir yang ma’thurat mula terleka, maka ketaqwaan akan mendorong anda untuk tidak membuka televisyen, lantaran itulah langkah keselamatan untuk menjamin anda tidak terpelesok ke jurang kelalaian.

Main video game tidaklah haram. Tapi jika kelemahan anda adalah pada video game, hingga anda mula melalaikan solat pada waktu, maka ketaqwaan akan mengilhamkan diri anda untuk mencegah diri daripafa bermain video game, lantaran anda seorang yang mudah ketagih dengan permain sedemikian.

Itulah langkah keselematan, itulah bentuk kehati-hatian, itulah cara pencegahan. Anda menjauhi yang halal, lantaran takut membawa kepada yang haram. Bukankah insan bertaqwa itu juga berhemat dalam pemanduan?

Kelemahan anda itu umpama hujan. Lalu andalah yang menentukan corak “pemanduan”, agar bisa sampai ke tempat tujuan. Tentunya negeri yang kekal abadi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog