Friday, May 05, 2006

ARAHAN KERJA (OPERATOR'S MANUAL)

Faridul Farhan Abd Wahab
B. Eng (Hons) Electrical Engineering.
Q.A Department, Hoeken Industrial Sdn Bhd. (2004)


Bagi mereka yang baru sahaja memulakan kerjaya, terutama di bidang yang menjadi “idaman” masyarakat kampung, iaitu sebagai operator pengeluaran, maka tidak ada apa yang harus dirisaukan. Ini kerana mereka –sungguhpun tanpa pengalaman apa pun- telah dipermudahkan tugasan mereka untuk memulakan kerja, dengan hadirnya sehelai kertas yang terpampang dihadapan meja kerja mereka, bernama “Arahan Kerja”.

Dengan adanya Arahan Kerja ini, sebarang orang, pada tahap intelek mana pun, selagi ia mampu membaca dan memahami, maka segala gerak geri, cara-cara, dan petua-petua untuk ia melakukan kerja-kerja pemasangan atau pun penyemburan atau pun menekan butang atau pun apa saja gaya yang ada di dalam kamus pekerjaan seorang operator (pengeluaran), akan mampu ia lakukan dengan jayanya, atas sumbangan sehelai kertas bernama Arahan Kerja tadi.

Demi mencapai standard ISO –bukan sekadar untuk memudahkan operator (pengeluaran)- maka kami di department Q.A (Quality Assurance) diperintah untuk menyediakan kepingan-kepingan Arahan Kerja ini. Dalam erti kata lain, lembaran-lembaran kertas yang padanya terpampang sebuah jadual, dengan tulisan-tulisan bernada arahan mendampinginya, dikatakan sebagai suatu syarat kualiti, bahkan syarat wajib dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pekerja.

Andainya demikian penting lembaran-lembaran dan helaian-helaian kertas itu dalam kehidupan sesebuah industri, maka demikian pentinglah lembaran-lembaran kertas yang di atasnya terkandung semacam “Arahan Kerja”, cuma lembaran-lembaran yang dimaksudkan di sini bukan Arahan Kerja untuk memulakan operasi pekerjaan, tetapi “Arahan Kerja” yang bergelar “al-Quran” ini, adalah suatu kitab yang menerangkan cara-cara menjalani kehidupan.

Andainya kehidupan seorang manusia tidak selaras dan tidak didasarkan pada al-Quran, ini bererti ia melakukan kesalahan dalam ia menapaki pentas kehidupan. Kerana arahan-arahan beserta cara-cara yang dinyatakan dalam Arahan Kerja bernama al-Quran ini, merupakan suatu karya yang ber”kualiti”, sungguh pun tak pernah di iktiraf oleh ISO. Maka Arahan Kerja ini menyebut:

“Hai manusia, sesungguhnya telah datang padamu “Arahan Kerja” dari TUHAN-mu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
(QS Yunus [10]:57)

Masakan tidak al-Quran ini berkualiti, kerana di dalamnya terkandung segala macam sumber, segala macam “software kehidupan”, segala macam petunjuk dan segala macam perkara yang sering menjadi impian segenap manusia. Padanya semacam ada butang “HELP”, beserta juga ruangan “SEARCH” untuk manusia meneruskan kehidupan. “..tiada KAMI alpakan sesuatu apa pun di dalam al-Kitab..” (QS al-An’am [6]:38).

Andainya manusia mengambil al-Quran sebagai “Arahan Kerja” dalam menjalani kehidupan, sedah tentu gelaran “umat terbaik” bisa diraih sebegitu mudah, hingga Islam mengungguli tamadun manusia (ustaziyah ‘alamiyah). Tetapi barangkali kita lebih lembap daripada sang operator asing yang sebetulnya tidak memahami bahasa pada arahan kerja itu, hinggakan kita masih keterbelakang dalam segala serba-serbi. Maka bersedialah wahai teman-teman Q.A, beban tugas kita, perjuangan kita, masih jauh….



Glosari: "Arahan Kerja" di kilang Hoeken adalah sebenarnya "operator manual" yang digunakan di kilang-kilang. Ketika saya bertugas di sana, kami dipertanggung jawabkan untuk mengupdate dan mengupgrade semua manual ini bagi semua komponen spare part kenderaan yang ada. Sehingga akhirnya menjadikan saya agak "pakar" menggunakan Microsoft Excel.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog