Friday, May 05, 2006

"Shift" Kehidupan

Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
B.Eng(Hons) Electrical Engineering
-artikel ditulis pada 2004, ketika sedang menganggur-

Anehnya sang graduan itu. Di saat amat memerlukan –pada pengamatan kebanyakan orang- apa saja peluang yang bisa mengantarnya ke tujuan, ia tetap angkuh menolak. Walhal, di saat-saat sebegini, tambahan pula pada situasinya yang bak kata kebanyakan orang; perlu ambil saja sebarang peluang, tanpa langsung memikirkan tentang pendirian, tetap saja ia menebarkan syarat-syarat dalam membuat pilihan.


Tidak mahu yang namanya “shift”. Tidak akan melakukan yang namanya “travelling”. Tidak mungkin melakukan “overtime”. Walhal, yang namanya sang graduan, harus meng”iya”kan saja semuanya itu, demi memberikan suatu masa hadapan. Agar mudah-mudahan tidak menjadi “graduan lapok” berpanjangan.

Tetapi tidak dengan sang graduan itu. Ia justeru menolak bukan kerana keangkuhan. Ia memilih bukan kerana kecerewetan. Ia tegas bukan kerana kesombongan. Tetapi kerana ia mengerti tentang hakikat kehidupan. Bahawa ia justeru bergelar graduan bukan untuk sekadar menjadi jurutera –pada pemahaman kebanyakan orang- tetapi justeru ia mempunyai cita-cita yang lebih tinggi. Memenuhi tuntutan Ilahi terhadap dirinya; sebagai mujahid pembela agama dan saudara-saudaranya.

Lantas, ia mula melakukan aksi dan pekerjaan yang diluar dugaan. Yang sudah tentunya, “kongkongan kehidupan” seperti yang dinyatakan tadi, sekadar mengheret dan akan menjurumuskan dirinya ke lembah kehinaan. Kehinaan bukan sekadar pada serotan mata manusia, tetapi kenistaan akibat membiarkan agamanya ditindas musuh.

Lalu pendiriannya kini diambil, lantaran memahami kehidupan ini umpama waktu-waktu “shift”. Ia silih berganti. Dalam selang waktu yang lain. Masing-masing dikelilingi persekitaran masa yang berbeza. Masing-masing mempunyai tuntutan dan pengorbanan yang berlainan. Masing-masing bahkan mempunyai elaun yang juga berbeza.

Semacam itulah ALLAH menggambarkan kehidupan ini dalam salah satu firmannya. “…dan masa itu, Kami pergilirkan di antara manusia..” (QS Ali Imran [3]:140). Pada salah satu shift pekerjaan, terkadang memerlukan manusia melakukan pengorbanan yang “luar biasa”. Bangun di awal pagi, sebelum ayam jantan sempat berkokok. Membelah kesejukan dan keseraman gelap, dengan hanya diterangi lampu kenderaan dan lampu jalan.

Dalam al-Quran, cukup ALLAH menggambarkan secuit banyak kisah, daripada sedemikian banyak peristiwa, sekadar apa yang perlu untuk kita ketahui demi melalui kehidupan. Ada yang namanya Firaun: hidupnya mewah, dikelilingi harta, mempunyai kekuasaan, timbul keangkuhan, akhirnya dimusnahkan. Ada yang namanya Ashabul Kahfi: diselubungi kezaliman, lari mempertahankan keimanan, akhirnya dimuliakan. Ada yang namanya Yusuf A.S: sebuah kisah penuh teladan, sebuah cereka kekeluargaan, penindasan, percintaan, kekuasaan. Semuanya itu, dicoretkan dalam al-Quran, hanya sebagai beberapa simpulan, hadir dengan satu tujuan. “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal..” (QS Yusuf [12]:111).

Dan kita sekadar membenarkan putaran kehidupan. Setelah di satu shift kehidupan, umat Islam berada di puncak kemegahan, dengan “elaun” dan “O.T”nya yang tampak menggembirakan, kini kita kembali lagi ke shift yang diselubungi kemurungan. Shift yang mana lebih ramai yang lena daripada yang jaga. Shift yang menyaksikan sekian banyak pengorbanan, dari bangun seawal kebiasaan, kepada meredah kesejukan dan keseraman malam, semuanya itu tetap saja kita lakukan. Dan pada shift kehidupan pun, di tengah-tengah kegelapan kegemilangan, kemalapan prestasi Islam, kita harus bangkit melakukan pengorbanan. Kerana janji ALLAH itu hanya diberikan apabila kita telah siap melakukan suatu amal “luar biasa”, seperti yang pernah dilakukan generasi terawal dikalangan sahabat. Seperti kata Ustaz Anis Matta, “Jangan pernah berfikir menjadi pahlawan, tanpa melakukan pekerjaan sang pahlawan.”

Itulah shift kehidupan. Masa kecerahan, kemeriahan, kekecohan, bertukar ganti kegelapan, kesunyian, dan keseraman. Namun dengan prestasi kerja yang baik, kita bakal dinaikkan pangkat hingga tiada lagi shift buat kita. Dan akan tiba kelak masanya……

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home

Ukhwah.com :: Top Blog